Perpindahan

Seingat saya, kami sekeluarga telah berpindah rumah beberapa kali dalam kawasan Bentong, Pahang. Di Chammang Baharu sahaja kami berpindah dua buah rumah, kemudian kami berpindah ke M.E.S Hostel (asrama Methodist English School) yang terletak berhampiran bandar Bentong. Sebuah asrama lama sekolah persendirian Methodist disewakan sebagai rumah. Kemudian kami ke Kampung Baharu Perting selepas itu ke Chammang Baharu semula dan kini kami menetap di Jalan Tras. Ini tidak termasuk perpindahan yang dilakukan oleh ibu bapa saya sebelum saya dilahirkan.

Kami sekeluarga meninggalkan rumah di Chammang Bahru dan berpindah ke M.E.S hostel, Jalan Kelab (kini Jalan Annuar) pada tahun 1979. Oleh kerana pejabat bapa, sekolah rendah kami, pasar, kedai dan yang paling penting pawagam semua berdekatan dengan rumah ini, kami membuat keputusan untuk berpindah. Sewanya lapan puluh ringgit ketika itu. Rumah di Chammang pula disewakan kepada sebuah keluarga yang menguruskan perniagaan dobi.

Di kawasan rumah yang baru kami pindah ini terdapat sebuah rumah lagi di seberang anak sungai. Rumah itu berfungsi sebagai asrama guru (Teacher’s Hostel) pada tahun 60-an.  Tidak jauh dari situ terdapat pula sebuah bangunan tadika dan sebuah bangunan sekolah yang sudah usang. Kawasan ini dikelilingi oleh rumput lalang yang tumbuh subur menghijau. Manakala di belakang rumah kami pula, pokok buluh berdiri kukuh secara rapat-rapat serta pokok-pokok hutan yang tumbuh liar. Terdapat juga sebahagian kecil kebun getah di atas bukit.

Methodist English School (M.E.S) mula beroperasi di bandar Bentong pada awal tahun 1950-an. Ia adalah sebuah sekolah swasta yang tidak besar. Murid-murid sekolah rendah dan menengah hingga peringkat Malaysian Certficate of Education (M.C.E; kini SPM) mendapat tempat di sekolah ini. Di samping mata pelajaran biasa, di sini juga diadakan kelas menaip dan kelas trengkas pada sebelah petang. Sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, mendapat perhatian daripada semua kaum di bandar Bentong malah dari bandar-bandar lain. Malah anak-anak kerabat diraja Pahang turut menyertai sekolah ini. Selain itu bangunan sekolah ini berfungsi sebagai gereja pada setiap hari Ahad.

  • Save

<
M.E.S menamatkan operasinya awal tahun 70-an. Selepas itu asrama murid dan guru disewakan kepada guru-guru atau staf Sekolah Rendah Kebangsaan Sulaiman yang terletak berhampiran dengan M.E.S.  Oleh kerana ibu saya mengajar di sekolah tersebut, kami mendapat peluang untuk menyewa di sini.

Pada hari kami berpindah ke rumah di M.E.S, saya telah ke sekolah. Selepas waktu sekolah, saya berjalan ke rumah tersebut. Saya terpaksa naik bukit dan turun bukit. Amat gerun juga pada kali pertama melangkah kaki ke dalam rumah yang sungguh besar itu. Pada masa itu, saya masih di darjah lima dan tidak tahu bezakan antara asrama dan rumah. Terkejut melihat rumah batu itu sungguh besar. Terdapat sebuah ruang tamu yang besar, lima bilik tidur, empat bilik mandi dan empat bilik air.

Di ruang tamu terdapat sebuah almari besar dan panjang. Di dalamnya  penuh dengan pelbagai jenis buku-buku berbahasa Inggeris. Mungkin almari untuk buku-buku perpustakaan. Kebanyakan buku dicetak sekitar tahun 50-an dan 60-an. Bau almari dan buku-buku tersebut  boleh membawa seseorang ke waktu silam.

Selama kami tinggal di kawasan bekas sekolah M.E.S, banyak perkara yang telah berlaku. Bekalan elektrik sentiasa  terputus, begitu juga dengan  bekalan air. Saya dan abang terpaksa turun ke belakang rumah untuk mengambil air dari anak sungai, berbaldi-baldi naik ke atas rumah. Kami seronok dapat mandi air sungai yang tidak dalam bersama ikan-ikan kecil. Bunyi air sungai mengalir menjadi irama yang sungguh merdu sewaktu kami tidur.

Kadang-kadang pada waktu malam akan terdengar bunyi seperti sesuatu menyeret di atas siling rumah. Apabila hujan turun dengan lebat, kami terpaksa tadah basin dan baldi di sana-sini. Yang paling menakutkan adalah sentiasa boleh bersua dengan lipan, kala jengking, labah-labah besar, biawak dan ular yang sering mengunjung di dalam dan di luar rumah. Kadang-kadang babi hutan juga datang menyodok pokok ubi kayu yang bapa tanam pada waktu malam.

Selama kami tinggal di sini, saya tidak tahu-menahu tentang asal-usul sekolah ini. Hanya saya pernah mendengar bapa menyebut nama Encik. Ted Miles yang pernah menjadi pengetua di M.E.S. Beliau berasal dari Amerika Syarikat.

Biodata Ted Miles

  • Save

Gambar ehsan arleneanddennis.

<
Walaupun Ted Miles sudah lama berada di Bentong, saya tidak pernah berjumpa dengan beliau sehingga tahun 2006. Hanya nama beliau sahaja yang pernah saya dengar. Lagi pun selepas Sijil Pelajaran Malaysia (S.P.M), saya telah ke Temerloh untuk sambung belajar dan bekerja hingga tahun 2005.

Nama Ted Miles sering muncul di ruangan “Past Notes” di akhbar New Sunday Times setiap Ahad pada tahun 90-an. “Past Notes” adalah himpunan pengalaman Ted Miles di Bentong. Ia telah diambil daripada diari Ted Miles sejak beliau menjejak kaki di Malaya, iaitu tempoh 1951 hingga 1969. Setiap pergerakan dari pagi hingga ke malam ditulis secara terperinci. Sebagai pengetua, warden hostel dan orang terpenting di Bentong, Ted Miles mempunyai banyak perkara untuk ditulis.

Oleh kerana saya sendiri adalah orang Bentong dan pernah tinggal di asrama M.E.S, setiap pergerakan beliau di asrama, sekolah dan bandar Bentong dapat saya bayangkan dengan sungguh benar. Saya dapat mengimbas kembali suasana tahun 50-an semasa membaca dairi beliau di ruangan akhbar itu.

  • Save

<
Setelah saya berpindah ke Bentong semula dari Temerloh pada tahun 2006, saya mendapat peluang berjumpa dengan beliau. Rumah papan banglonya berdiri teguh di atas sebuah bukit di Jalan Tras. Beliau tinggal bersendirian di rumah itu bersama beberapa ekor anjing. Isteri Cina beliau telah meninggal dunia dan anak lelakinya pula menetap di Australia. Kami berkongsi pengalaman yang berbeza perihal kisah-kisah lampau semasa di M.E.S.

Saya membeli beberapa buku yang ditulis oleh beliau pada kali pertama kunjungan ke rumahnya. Beliau juga sering menghadiahkan buku-buku baharu beliau kepada saya setiap kali terbit. Kebanyakan kandungan buku Ted Miles berkisar di sekitar pengalaman di Amerika Syarikat sebelum ke Malaya, kisah pelayaran semasa menuju ke Malaya, perihal masyarakat Bentong dan M.E.S. Beliau juga menulis tentang alam semula jadi dan kehidupan sunyi beliau pada hari-hari terakhirnya.

Walaupun Ted Miles merupakan warga Amerika dan mempunyai  sanak saudara di sana, demi kecintaan pada negara ini, beliau bertungkus lumus dan akhirnya  mendapat status warganegara Malaysia pada pertengahan tahun 60-an. Makanan kegemaran beliau adalah sambal petai dan kari ayam, manakala lassi adalah minuman kegemarannya. Setelah meninggalkan M.E.S Bentong, beliau menyambung tugasnya sebagai pengetua di M.E.S Kuantan; kemudian di Taylor’s College Kuala Lumpur sehingga bersara. Ted Miles menghembuskan nafasnya yang terakhir di Bentong pada tahun 2016 pada usia 89 tahun.

Generasi sekarang yang tinggal di Bentong pasti tidak tahu akan kisah hidup mendiang Ted Miles. Ramai tidak sedar seorang penulis berbangsa Amerika pernah tinggal di sini dan berbakti kepada masyarakat setempat selama empat dekad lamanya. Perpustakaan Awam daerah Bentong mahupun Majlis Perbandaran Bentong boleh melakukan sesuatu seperti mengadakan ruang atau galeri khas untuk mendiang Ted Miles bagi memperingati jasa bakti mendiang.

Walaupun saya tidak pernah berguru dengan mendiang Ted Miles, buku-buku tulisannya sudah pun membuatkan saya “hidup” pada era beliau menjadi pengetua di M.E.S.

Senarai buku-buku yang dihasilkan oleh Ted Miles:

  1. Typing for Malayans
  2. Living All the Memories
  3. Appeal to Surrender
  4. Past Notes, Volume 1, 1951-1956
  5. Past Notes, Volume 2, 1957-1962
  6. Past Notes, Volume 3, 1963-1969
  7. Letters from Malaya, 1951-1956
  8. More Letters from Malaya, 1957-1962
  9. A Tree to Remember
  10. Window of Stars
  11. A Candle for Company
  12. Sea Sprays and Flying Fish
  13. Letters from Malaysia 1963-1969
  14. Letters from Malaysia: the Seventies

*** Gambar ehsan M. Mahedran. 

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Hiburan Di Rumah Bahagian 1 oleh M. Mahendran

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.