Istilah “Sasterawan Kavyan” mula digunakan secara rasmi susulan Diskusi Sastera Kavyan anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 10 Julai 2004.

Ia merujuk kepada golongan penulis kaum India yang menghasilkan karya kreatif seperti puisi, sajak, cerpen, novel, ulasan, dan esei dalam Bahasa Malaysia.

Apabila bercakap mengenai Sasterawan Kavyan yang prolifik dan aktif mewarnai peta Sastera Kebangsaan sejak tahun 1990-an, dua nama yang sering disebut ialah Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.

Bagi Mohamad Saleeh Rahamad (Dewan Sastera, Januari 2003), dua nama itu menjadi “mercu tanda” bagi kejayaan penulis kaum India di Malaysia. Manakala, Krishanan Maniam menerusi esei dalam buku Pengajian India: Bicara Pelbagai Perspektif (2006) menyimpulkan bahawa selain daripada dua nama di atas, “yang lain hanya muncul semasa peraduan sahaja.”

Dalam senarai dokumentasi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), terdapat sekitar 30 orang penulis kaum India yang pernah menulis cerpen sejak tahun 1985. Jumlah ini tidak termasuk penulis veteran seperti Joseph Selvam dan N.S. Maniam yang aktif berkarya pada tahun 1970-an, serta penulis yang hanya mengkhusus pada penulisan sajak atau esei.

  • Save

<

Dalam akhbar Mingguan Malaysia (26 Mei 2013), dinyatakan bahawa hanya ada empat penulis kaum India yang masih berkarya secara konsisten sehingga kini. Malangnya, nama empat penulis terbabit tidak pula dinyatakan.

Raja Rajeswari Seetha Raman yang membentangkan kertas kerja pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum (7-8 Ogos 2015) di Kota Kinabalu, Sabah mengatakan hanya ada tiga penulis kaum India yang masih aktif berkarya; dan hanya seorang daripadanya menulis cerpen.<

Menurut data Kavyan, pada masa kini, terdapat sekitar sepuluh sahaja penulis kaum India yang masih aktif menghasilkan karya Sastera Kebangsaan (Mingguan Malaysia, 12 Mei 2019).

  • Save

Joseph Selvam.

<
Di manakah penulis selebihnya? Rencana ini berusaha “memperkenalkan semula” beberapa penulis kaum India yang hadir dalam peta Sastera Kebangsaan mulai tahun 1980-an, tetapi kebanyakannya hilang selepas menghasilkan tidak sampai tiga buah cerpen.

Hasil tinjauan mendapati bahawa seramai sembilan penulis hanya ada sebuah cerpen yang tersiar. Terdapat lima penulis yang pernah menghasilkan (menyiarkan) dua buah cerpen, empat penulis dengan masing-masing tiga buah cerpen, manakala masing-masing seorang penulis dengan lima dan enam buah cerpen.

Saroja Theavy Balakrishnan, Uthaya Sankar SB dan M. Mahendran pula paling banyak dan produktif menghasilkan cerpen. Selebihnya, sejak tahun 1985, terdapat sejumlah 42 buah cerpen yang dihasilkan oleh 20 penulis kaum India yang dikategorikan sebagai “tidak prolifik”.

  • Save

<

Kenali Penulis yang “Hilang”

Berikut dipaparkan sedikit maklumat yang berjaya dikumpul mengenai beberapa penulis kaum India yang sudah tidak lagi aktif menghasilkan karya kreatif.

Amerjit Singh pernah disifatkan oleh Amir Tan (Dewan Sastera, November 1988) sebagai “antara penulis baru yang berbakat”. Pemuda ini menghasilkan cerpen berjudul “Siswazah Majid” yang tersiar di akhbar Mingguan Malaysia (10 Ogos 1986). Sebuah lagi cerpen karya Amerjit berjudul “Skandal di Menara Gading” dan tersiar di majalah Dewan Sastera (Januari 1987).

Bathmavathi Krishnan pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perpustakaan Universiti Malaya (UM). Cerpen sulung beliau berjudul “I Love You, Raj” termuat dalam antologi Vanakam (2002), manakala sebuah lagi cerpen berjudul “Meredah Belantara” tersiar di majalah Dewan Masyarakat (November 2003). Beliau pernah dilantik menjadi Senator Dewan Negara (2013-2019).

Devaraj P. Thangaraju merupakan anak jati Kuala Lumpur. Selepas tamat pengajian di UM, Devaraj berkhidmat (sehingga kini) sebagai editor di Penerbit Universiti Malaya. Cerpen beliau berjudul “Kampung Dunia” (Mingguan Malaysia, 26 September 1993) dan “PPBI vs KPUG” (Mingguan Malaysia, 26 November 1995).

Dhranee Nathan Gopinathan lahir di Melaka. Beliau mula menulis puisi, cerpen, rencana dan novel semasa menjalani latihan praktikal sebagai wartawan di akhbar Berita Harian. Cerpen “Hibiscus Rossa” adalah cerpen sulungnya. Cerpen itu menang saguhati Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP III dan termuat dalam antologi Menara 3 (1990).

Ganesan Duraisamy lahir di Banting dan membesar di Shah Alam, Selangor. Beliau menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP pada tahun 1997. Cerpen tunggal tulisannya berjudul “Tidak Sehaluan” dan termuat dalam antologi Vanakam (2002).

Gunasegaran Sangani menyertai program MPR pada tahun 1988. Talib Samat dalam buku Menangani Penulisan Kreatif Sastera Remaja (1992) menyenaraikan Gunasegaran bersama-sama “penulis-penulis cerpen yang berpotensi.” Beliau merupakan bekas guru dan kini menjadi pengurus takaful. (Bersambung).

*** Gambar ehsan Uthaya Sankar SB.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Ismail Hussein dan Sastera Kebangsaan

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.