Sudah sekian lama saya tidak bercakap tentang teater dan performans. Kali ini kita cakap kehidupan harian dengan satu premis mudah tentang hubungan cinta lelaki dan perempuan.

Kita ambil satu bit dalam satu adegan.

Kisahnya begini: Watak utama yang diberi nama Naim, ada perasaan cinta pada kawan perempuan dia yang bernama Susan. Mereka berdua biasanya duduk bersebelahan dalam kelas. Satu hari, Naim beli satu gelang biji yang dia fikir cantik dan sesuai untuk Susan. Berwarna turquoise. Dia simpan kemas-kemas dalam kotak yang dibaluti kertas berwarna jingga gelap. Ada ribbon warna putih. Dia simpan kotak itu dalam beg dia.

Naim waktu itu sedang duduk dengan tenang menunggu Susan di kedai makan yang tidak banyak orang. Di hadapan Naim, ada air teh tarik yang dia belum habis minum. Tinggal separuh sebab menunggu Susan selama lebih kurang 30 minit.

Susan datang. Senyum. Duduk. Terus order air carrot susu. Susan senyum pada Naim.

“Lama tunggu?” tanya Susan sambil tengok air teh tarik Naim.

Naim senyum. Dia menolak gelas air yang dia minum tadi kepada Susan. Susan terus minum air itu.

“Kita dah lama kawan” kata Naim. Waktu itu Susan masih cuba menghabiskan air. Jadi, dia tidak dapat memberi riaksi apa-apa. Fokus utama dia ialah untuk menghabiskan air teh Naim. Selepas habis, barulah dia membuka mulut untuk bercakap.

“Ya. Dah lama. Dari sem satu lagi. Sekarang dah sem lima.” kata Susan.

“Ada benda nak cakap ni” Naim cakap pendek sambil tangan dia mula membuka beg yang ada kotak itu tadi.

“Susan pun ada benda nak cakap”

Datang satu perempuan kurus, berbaju merah dari kiri pentas. Dia tengok Naim. Sekali imbas macam kenal. Ya. Dia kenal Naim.

“Naim?” Naim dan Susan memandang perempuan itu serentak. Susan menoleh ke belakang sebab perempuan itu hanya beberapa langkah di belakang dia.

“Diana?” Naim kenal perempuan itu.

“Yes. Diana. Can I sit here?”

Baik.

Itu sebahagian daripada drama yang terhasil. Satu drama pendek. Ini dibentuk oleh satu jalan cerita dan bergerak dari satu premis mudah. Secara asas, semua penonton mungkin akan memikirkan pelbagai kemungkinan;

  • Siapa Diana?
  • Kenapa Diana datang situ?
  • Apa sebenarnya benda yang Susan ingin cakap?
  • Kenapa Naim buka beg?
  • Apa dalam beg Naim?
  • Diana dapat duduk tak?
  • Dan segala macam kemungkinan teaterikal seperti blackout!

Dari aspek teater, kualiti pengarahan akan terserlah apabila pengarah berjaya untuk pegang konsep yang pengarah inginkan. Soal utama ialah apa konsep yang ingin dicuba? Nuansa apa yang ingin dimasukkan? – misalnya. Kenapa blocking dibuat begitu? Kenapa perlu untuk watak perempuan itu masuk dari kiri pentas?

Bagaimana lakonan yang akan dipersembahkan? Dari aspek kekaguman pula:

  • Mengapa carrot susu?
  • Mengapa teh tarik?
  • Mengapa kedai makan yang sunyi?
  • Mengapa gelang biji berwarna turquoise?

Dari aspek performans:

  • Kenapa gerak begitu?
  • Adakah adanya elemen kudus dalam persembahan ini?
  • Adakah dia mendekati kehidupan seharian atau mendekati kosmologi?

Dari aspek drama pula:

  • Mengapa karya ini ditulis begini?
  • Apakah motivations bagi watak yang ada dalam naskhah ini?
  • Apakah nilai budaya yang ingin ditonjol?

Itu baru satu bit dalam satu drama dan teater. Belum lagi kita lihat persoalan-persoalan teks dan persembahan secara lebih mendalam. Dari sini, kita boleh lihat bahawa pengalaman menghasilkan teater itu boleh jadi seronok dan juga dapat membawa kita kepada perbincangan seterusnya iaitu bagaimana untuk membuat pementasan ini? Adakah ia dekat dengan kehidupan seharian? Kalau ya, bagaimana permainan membalas dialog dibuat?

Kalau anda sebagai pengarah, apa anda akan akan hasilkan untuk pementasan ini? Bagaimana rencahnya?

*** Gambar ehsan Walid Ali.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

Perkembangan psikologi dan trend teater millennial di Malaysia

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.