Baca Bahagian 1 disini.

Meninggalkan Bentong

Selepas tamat tingkatan enam, saya kembali ke Bentong dari Temerloh dan bekerja di sebuah kilang papan di jalan Kuala Lumpur pada tahun 1988. Saya bekerja di situ selama enam bulan sahaja. Kawan sekelas saya semasa di tingkatan 5, Dickson Ching yang mendapatkan kerja itu untuk saya. Itulah pekerjaan pertama yang saya lakukan dalam hidup saya.

Kerja saya bermula pada jam 8 pagi dan habis pada 5 petang. Ada tiga kali waktu rehat. Pagi 15 minit, tengah hari satu jam dan petang15 minit. Saya ke kerja dengan menaiki bas Kuala Lumpur, kadang-kadang menumpang kereta seorang Unlce Cina yang sudah lama bekerja di situ dan banyak masa juga saya menaiki basikal ke kerja. Oleh kerana kerja itu berat dan selalu sahaja saya mendapat luka, saya berhenti dan berehat semula di rumah. Kilang papan itu masih beroperasi hingga sekarang.

Temerloh Supermarket

  • Save

Saya ke Temerloh semula pada bulan Januari, tahun 1989. Bapa saya yang bekerja di Temerloh, mendapatkan saya kerja sementara di sebuah pasaraya di situ. Ketika itu saya tidak tahu kerja sementara itu akan bertahan sehingga 16 tahun.

Saya masih ingat tarikh 20hb Januari 1989, saya ditemuduga oleh pengurus/pemilik pasaraya Temerloh Supermarket, Mr. Lai. Beliau adalah bekas pengetua dari sebuah sekolah menengah di kawasan Temerloh. Beliau berasal dari Mengkarak.  Agak kekok dan tergagap juga saya ketika ditemuduga. Saya diterima bekerja sebagai pembantu stor di pasaraya itu. Saya tahu kerja itu adalah suatu kerja yang berat. Saya masih rela untuk melakukannya.

Kerja pertama yang saya lakukan adalah mengikat bungkusan maggi 5 bungkus sekali dalam satu pek dan masukkan semula ke dalam kotak. Rakan saya pertama di situ, Tarmizi yang mengajar saya cara-cara mengikatnya dengan baik menggunakan chellophone tape. Mula-mula agak payah. Kemudian kerja itu menjadi kegemaran saya, sebab boleh lakukan sambil duduk di atas tong bir kosong.

  • Save

M. Mahendran dan Tarmizi (kanan).

Sambil kami mengikat bungkusan maggi, kami juga perlu keluarkan barang-barang yang dinaikkan ke dalam lif dari tingkat bawah ke stor atas di tingkat lima. Saban hari barang akan sampai dan stor keeper, Micheal Chan akan menaikkan barang dari bawah. Kami berdua akan mencari tempat dan akan susun dengan baik-baik. Berpusing juga badan saya pada hari pertama memikul barang-barang yang berat seadanya dan susun tinggi-tinggi. Kami akan gunakan troli tolak untuk memunggah setiap barang yang dihantar melalui lif. Paling siksa adalah mengangkat guni beras pulut dan guni gula. Berat guni beras pulut adalah 100kg manakala berat guni gula CSR adalah 50 kg.  Kami akan memikul guni-guni tersebut dengan menggunakan tangan sahaja tanpa troli. Seorang aunty Cina akan membuka guni-guni tersebut menimbang dan membungkus dan hantar ke tingkat bawah untuk jualan. Selain daripada kerja-kerja itu, kami juga akan menampal harga setiap barangan yang sampai dan masukkan semula ke dalam kotak dan turunkan ke tempat jualan. Dahulu tidak ada sistem scan barcode lagi. Harga akan ditentukan oleh penyelia bahagian.

Pasaraya Temerloh Supermarket merupakan  bangunan sebesar 5 tingkat. Bahagian bawah menjual barangan keperluan harian. Tingkat 2 menjual pakaian bayi dan wanita. Tingkat 3 menjual kain, kasut dan pakaian lelaki dan tingkat 4 adalah tempat untuk alat tulis. Tingkat 5 pula adalah pejabat, stor dan surau. Keadaan ini berubah pada tahun 2005 di mana cuma tinggal tingkat bawah sahaja kerana terdapat banyak saingan.

Asrama

Semasa di Temerloh, saya tidak tinggal bersama bapa di biliknya. Kali ini saya tinggal di asrama. Asrama itu terletak di Taman Setia, tidak berapa jauh dari tempat kerja saya. Asrama berupa rumah dua tingkat itu dihuni oleh hampir 15 orang. Baik supervisor hingga ke juru-jual, semua tinggal di situ. Kebanyakan kami yang tinggal di asrama bukan orang asal Temerloh.  Asrama perempuan pula terletak di bangunan Supermarket dan bangunan berhampiran. Memang seronok tinggal di asrama. Kebebasan dirasa bersama rakan-rakan. Tidak ada seseiapa untuk mengongkong. Yang penting sebelum pukul dua belas malam semua perlu berada di asrama. Setiap minggu perlu bersihkan asrama mengikut hari off day staf. Ini bukan bermaksud semua staf seratus peratus melakukan apa yang tertampal (jadual) pada dinding asrama di ruang tamu. Ramai juga yang malas.

Sebulan sekali kami akan beramai-ramai ke Pawagam Sri Temerloh untuk menonton wayang gambar midnight show. Saya juga sering ke Mentakab yang terletak tidak jauh dari Temerloh untuk menonton wayang berseorangan pada hari-hari cuti, jika tidak balik ke kampung.

Semasa saya tinggal di asrama, saya masih makan makan tengah hari dan makan malam di rumah aunty seperti yang dilakukan pada tahun 1986 dan 87. Jika saya hendak makan di luar bersama kawan-kawan, saya akan beritahu pada aunty terlebih dahulu. Semasa di rumah auntylah saya dan anak bongsunya Mohan Rao menjadi kawan hingga sekarang. Beliau kini sudah pun menjadi pengarah filem dan orang penting di Finas. Abangnya Jagga Rao   kini merupakan CEO Agenda Suria Communication.

Tugas

  • Save

Waktu kerja di pasaraya memang agak panjang. Pagi hingga ke malam selama 12 jam perlu berada di dalam pasaraya. Ada dua kali waktu rehat. Shift full (9.45am-10pm), seminggu empat kali, manakala shift morning (9.45am-6.45pm) untuk dua kali dan cuti mingguan biasanya tidak akan jatuh pada Sabtu dan Ahad. Jadi memang sukarlah untuk ke mana-mana majlis pada Sabtu dan Ahad.

Saya memulakan kerja sebagai pembantu stor, kemudian perlahan-lahan dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Jualan, Penolong Penyelia dan Penyelia Bahagian.

Pada tahun 1990 hingga 1992 saya telah bekerja sebagai guru sandaran (akan diceritakan kisahnya dalam esei lain), namun pada sebelah petang atau pada cuti-cuti sekolah yang panjang saya masih akan meneruskan kerja saya di pasaraya.

Selama saya bekerja di pasaraya di Temerloh, banyak perkara yang dipelajari dan banyak pengalaman yang dialami. Setiap hari adalah hari untuk bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Daripada pemandu lori yang turunkan barang hingga pelbagai ragam pelanggan digauli saban hari.  Jadi, pelbagai jenis perasaan akan membanjiri diri saya.  Ketidaksabaran pemandu lori untuk turunkan barang, kecerewetan pelanggan dan kerenah staf akan mengundang kemarahan sebab kami di pasaraya perlu melakukan segala macam kerja bila tidak cukup staf. Daripada kerja terima barang,angkat barang, susun barang, tolong pelanggan, layan pelanggan, tempah barang, jaga staf hingga ke kerja juruwang semua perlu dilakukan sebaik mungkin. Ini dengan sendirinya mengundang stres dan saya mudah marah. Bukan sahaja itu, sebagai penyelia saya juga perlu pegang kunci pasaraya. Jadi perlu tiba lebih awal dan balik lebih lambat. Tidak boleh ikut masa seperti yang ditetapkan. Jadual seperti ini berterusan setelah saya kembali bekerja di Bentong di sebuah pasaraya yang lain untuk 14 tahun lagi.

  • Save

Walaupun kerja harian adalah berat, itu bukan bermaksud setiap hari adalah sama. Ada masa-masa yang menggembirakan bersama rakan-rakan dan pelanggan yang peramah. Ramai pelanggan menjadi kawan di luar walaupun saya sudah tidak bekerja di situ selepas itu.

Setiap tahun pasaraya Temerloh Supermarket akan mengadakan pelbagai jenis acara untuk para pelanggan dan staf. Selama saya bekerja di situ, kami telah pergi rombongan ke Melaka, Shah Alam, Genting Highlands, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. Ini semua adalah pada awal tahun 90-an. Selain daripada itu setiap bulan akan diadakan sambutan hari lahir staf pada semasa perjumpaan pagi. Dua tahun sekali akan diadakan makan malam ulang tahun syarikat. Begitu juga akan diadakan jamuan hari raya bersama staf dalam pasaraya.

Semasa mengadakan jualan hebat dan pertandingan lukisan/mewarna, pertandingan memasak dan lain-lain acara untuk pelanggan yang dianjurkan bersama syarikat penaja, saya akan menjadi juruhebah dan juruacara. Ini adalah suatu tugas yang saya minati sejak bangku sekolah lagi. Walaupun bukan bagus sangat dan masih akan terketar di hadapan khayalak, ia masih menyeronokkan.

Saya bertugas di Temerloh Supermarket dari tahun 1989 hingga 2005. Saya kembali ke Bentong pada hujung tahun 2005 disebabkan bapa tinggal seorang diri setelah kematian ibu pada tahun 2003. Adik-beradik lain sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur dan Klang. Kemudian pada penghujung tahun 2006 Temerloh Supermarket sudah tidak beroperasi lagi.

Saya bertuah dapat balik semula ke Bentong, kerana saya masih dapat menikmati semula tempat kelahiran saya dan mengimbas kembali setiap tempat yang saya pernah lalui sewaktu kecil.

Bagaimanapun, Temerloh tetap terpahat di hati.

*** Gambar ehsan juwitacute/Flickr

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Asrama Methodist English School Dan Ted Miles Oleh M. Mahendran

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.