Saya tamat S.P.M pada tahun 1985. Dalam percutian atau lebih sesuai dikatakan semasa menunggu keputusan S.P.M, saya tidak membuat kerja sambilan seperti rakan-rakan saya yang lain. Saya lebih gemar duduk di rumah mendengar radio, menonton tv dan membaca novel-novel yang dipinjam dari perpustakaan daerah Bentong. Selama lima bulan itu adalah syurga bagi saya.

Itu bukan bermaksud, sepanjang masa saya duduk goyang kaki di rumah. Segala urusan ke kedai, ke pasar, mencuci pinggan mangkuk dan memulakan dapur arang adalah tugas harian saya. Kadang-kadang saya juga perlu memasak nasi. Bapa saya bekerja di Temerloh dan abang pula belajar di Kuala Lumpur. Bapa akan pulang seminggu sekali dan abang akan pulang sebulan sekali. Jadi semua beban adalah di atas bahu saya. Ini sudah pun berlangsung sejak saya di tingkatan satu lagi. Walaupun saya merungut ketika itu, namun ia jugalah mendewasakan saya.

Cuti selama lima bulan itu juga, saya menghabiskan masa dengan menulis surat kepada sahabat-sahabat pena (tidak tahu di mana mereka semua sekarang) dan menulis untuk ruangan ‘surat darpada pembaca’, ‘soal jawab dengan editor’ dan rencana-rencana pendek,  ke akhbar-akhbar dan majalah bulanan Tamil ketika itu. Walaupun perkara ini sudah dimulakan sejak tahun 1983, namun pada cuti lima bulan itu saya gunakan sepenuhnya melibatkan diri dalam bidang penulisan. Memang gembiralah bila nama saya (M.Prabhu, Bentong) sering keluar di dalam akhbar-akhbar seperti Tamil Nesan, Tamil Osai, Tamil Malar, Thina Mani, Vaanampaadi dan majalah-majalah seperti Thoothan, Komali, Salanggai, Samuthaya Neethi dan Sooriyan. Nasib baiklah keluarga saya menggalakkan saya membeli akhbar dan majalah-majalah setiap minggu dan bulan.

  • Save

M. Mahendran di Akademi Semantan, Temerloh.

Seperti yang ditunggu, keputusan S.P.M pun tiba pada hujung bulan Mac tahun 1986. Dan keputusan saya memang seperti yang disangka. Gred 3 dengan lima kredit. Zaman itu tidak seperti sekarang. Jarang sangat murid mendapat A dengan banyak. Bahasa Malaysia saya pun cuma cukup lulus sahaja. Jadi saya membuat keputusan untuk mengambil ‘Kertas Julai’, matapelajaran Bahasa Malaysia. Memang sedihlah mendapat keputusan yang tidak seberapa itu. Bila dibandingkan dengan rakan-rakan yang gagal dalam S.P.M, saya fikir masih bertuah jugalah.

Dengan keputusan yang tidak seberapa itu saya tidak dapat berbuat apa-apa. Hendak melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi atau ke Maktab Perguruan, memang tidak bolehlah. Ke tingkatan 6 pun tidak boleh. Hendak belajar di bidang- bidang lain di kolej persendirian, keluarga saya tidak mampu untuk itu.  Jadi bapa memberi cadangan/peluang untuk saya ke tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta di Temerloh. Fikir punya fikir, saya akur dan bersedia untuk berhijrah ke Temerloh pada pertengahan bulan Mei tahun 1986.

Saya amat gembira kerana dapat keluar dari bandar Bentong yang sudah dihuni hampir 18 tahun lamanya. Ibu saya pun hairan yang saya pergi begitu sahaja tanpa bersedih-sedih. Perjalanan ke Temerloh dengan bapa, pada kali pertama menaiki  bas ‘Pahang South Union’ amatlah melecehkan, kerana ia berhenti di setiap tempat penumpang tahan dan turun. Ia mengambil masa selama sejam empat puluh lima minit untuk tiba di bandar Temerloh. Saya tidak tahu ketika itu, ia akan menjadi rutin mingguan dan bulanan untuk 19 tahun akan datang.

Bapa saya menyewa bilik dengan seorang rakan sepejabat Cinanya di Jalan Serindit di bandar Temerloh. Tuan rumah kami menyewa rumah itu. Saya sempat tinggal di rumah itu selama sebulan sahaja (bapa saya sudah menyewa di situ hampir tujuh tahun) sebab tuan rumah berpindah ke sebuah rumah atas kedai di Jalan Ngau Ken Lok, kami turut berpindah ke situ. Pada tahun itu juga rakan sebilik  yang bernama Ah Kau meninggal dunia dengan membunuh diri dengan alasan masalah rumah tangga. Mendiang juga berasal dari Bentong.(Beliau membunuh diri di rumahnya di Bentong)

  • Save

Akademi Semantan.

Akademi Semantan merupakan sebuah sekolah swasta di Temerloh yang menampung pelajar-pelajar yang mengulang tingkatan tiga, lima dan enam. Begitu juga sekolah itu mengambil masuk pelajar-pelajar ke tingkatan empat dan enam, di mana sekolah kerajaan tidak menerima mereka kerana tidak cukup syarat.  Yuran bulanannya adalah sebanyak 28 ringgit. Pada waktu itu, amat besar jugalah jumlahnya. Oleh kerana sekolah itu kecil dan bilangan bilik darjahnya tidak banyak, kelas tingkatan enam rendah dan enam atas diadakan pada sebelah petang.

Jadi peluang baik saya untuk tidur sepuas-puasnya pada waktu pagi, tercapai. Biasanya saya akan bangun selepas 8.30 pagi. Dua orang anak lelaki tuan rumah telah pun ke sekolah ketika itu. Bapa pun telah ke pejabat yang terletak tidak berapa jauh dari rumah. Saya akan bersarapan roti paun dan minum air milo. Selepas itu saya akan ulangkaji mata pelajaran ataupun membuat kerja-kerja sekolah yang masih belum diselesaikan. Lebih kurang pukul 12 tengahari saya akan ke rumah seorang makcik India untuk mengambil makanan dalam ‘tiffin carrier’. Saya dan bapa akan berkongsi makan,  cukup untuk dua kali makan. Ramai pelanggan makcik itu. Pada Sabtu dan Ahad, jika saya tidak balik ke Bentong, saya akan terus ke rumah makcik itu dan makan di situ.

Berbalik pada sekolah Akademi Semantan. Pelajar-pelajar tingkatan enam bebas berpakaian. Namun pelajar perempuan masih memakai  seragam baju kurung, cuma kasut sahaja berwarna.  Kami pelajar lelaki pula mengenakan baju putih, seluar hitam atau pun seluar jeans dan berkasut pelbagai jenis.

  • Save

Saya akan berjalan kaki setiap hari ke sekolah lebih kurang pukul 1 tengah hari. Tidak ramai murid dalam kelas saya. Berbelas orang murid sahaja. Begitu juga dengan guru-guru. Terdapat empat orang guru sahaja. Ada guru yang dari sekolah kerajaan mengajar secara sambilan di situ. Pengetua adalah seorang wanita dan seorang kerani bernama Kak Sarimah. Sebelum kelas petang bermula atau pada waku rehat kami akan lepak di pejabat membaca akhbar dan berborak-borak dengan Kak Sarimah. Pada waktu rehat kami akan makan biskut tawar dan minum air nescafe atau teh O uncang yang dibeli menggunakan wang kelab yang dikutip setiap bulan dalam kelas. Saya menguruskan urusan kewangan dan urusan membeli. Pelajar perempuan akan bergilir-gilir buatkan air.

Jika saya malas hendak balik setiap minggu ke Bentong, pada Sabtu pagi-pagi lagi saya akan ke perpustakaan daearah Temerloh,membaca akhbar, membuat kerja sekolah dan berborak-borak dengan Encik Aseri Malek yang bertugas sebagai pegawai perpustakaan di situ. Encik Aseri merupakan rakan saya semasa  belajar di Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong. Beliau menjadi ketua perpustakaan sekolah dan saya menjadi pembantu perpustakaan. Pada waktu tengah hari, saya akan ke rumah makcik India itu untuk makan tengah hari dan menonton tv atau video di situ.

Pada hari Ahad pula saya akan ke pekan sehari Temerloh yang dibuat sepanjang jalan sungai Pahang. Saya akan lepak di cerun atas bangku sambil memandang keindahan sungai Pahang yang sungguh luas itu. Terdapat juga beberapa rumah rakit di pinggir sungai. Saya juga akan menikmati gelagat manusia membeli-belah di situ dan juga melihat mereka yang naik dan turun dari bot, pergi dan balik dari seberang Temerloh. Tambang adalah lima puluh sen ketika itu. Terdapat dua atau tiga buah bot sahaja yang ke hulu dan ke hilir. (Bersambung).

*** Gambar ehsan M. Mahedran dan Elena Vakker

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Penghijrahan Ke Temerloh Oleh M. Mahendran – Bahagian 2

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.