Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Saroja Theavy Balakrishnan boleh diiktiraf sebagai individu yang mengembalikan semula kegemilangan penglibatan penulis kaum India – Sasterawan Kavyan – dalam bidang Sastera Kebangsaan, iaitu penulisan karya Bahasa Malaysia.

Kisah bagaimana beliau mula terlibat dalam bidang penulisan cerpen boleh dibaca dalam bahagian prakata kumpulan cerpen sulung beliau, Gemerlapan (1997). Catatan dalam kumpulan cerpen Keinginan Kecil di Celah Daun (2003) pula memperlihatkan bagaimana beliau mula beralih kepada isu-isu alam sekitar dalam penulisan.

Saroja Theavy dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Haji Mohd Shariff dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar. Saroja Theavy menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dan diploma pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, serta ijazah sarjana di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Kepong Baru, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah, Shah Alam sebelum bersara awal dan menumpukan pada pekerjaan sebagai ahli naturopati.

Cerpen-cerpen tulisan Saroja Theavy antara lain mendapat pengiktirafan menerusi Hadiah Cerpen Malayan Bank-DBP (1988, 1989, 1991, 1998), Peraduan Menulis Cerpen Pelbagai Kaum (2002), Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia (2000), dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (1998, 2000, 2002, 2004).

Beliau “hilang sebentar” dari dunia Sastera Kebangsaan selepas cerpen “Merdu Buluh Perindu” tersiar di majalah Dewan Sastera (April 2016). Mujurlah beliau muncul kembali menerusi cerpen “Kabus Doa di Perbukitan Pertiwi” (Dewan Sastera, Jun 2019).

Saroja Theavy mula mendapat perhatian selepas menyertai Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1988). Cerpen “Anggerik Berkembang di Puncak Hati” berkisar tentang watak-watak dan budaya orang Melayu-Islam. Cerpen itu menang saguhati dan termuat dalam antologi Menara (1988).

Dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1989), cerpen “Putih Mata Putih Tulang” menang hadiah kedua, dan termuat dalam antologi Menara 2 (1989). Cerpen itu menumpukan kepada watak wanita kaum India-Hindu bernama Vadivoo yang ditampilkan sebagai seorang ibu yang penyayang dan jiran yang mesra. Dilema timbul apabila anaknya membunuh anak Mak Kiah, iaitu jirannya.

Dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1991), cerpen “Kandasami” karya Saroja Theavy menang hadiah pertama, dan termuat dalam antologi Menara 4 (1991).. Situasi kehidupan kaum India di kawasan berek buruh (pekerja) stesen kereta api dilukiskan secara penuh teliti serta membantu pembaca memahami cara hidup, pemikiran, cabaran, dan realiti kehidupan sekelompok kaum India di Tanah Melayu pada tahun 1950-an.

Dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1996) yang terakhir, Saroja Theavy menang hadiah kedua menerusi cerpen “Mendamba Puyu di Air Jernih”. Cerpen ini menampilkan hubungan dan kasih sayang antara Munusamy dan anak sulungnya, Saraswathy, yang sedang mengandung anak sulung. Adat dan budaya kaum India-Hindu seperti “sulu kappu” (lenggang perut) dan tradisi wanita pulang ke rumah ibu bapa untuk melahirkan anak sulung diperincikan dalam cerpen ini dengan penuh kreatif.

Cerpen “Lambaian Malar Hijau” yang menang saguhati pula berkisar tentang watak-watak dan budaya Orang Asal. Cerpen ini turut termuat dalam antologi Anak Laut (2000) iaitu teks Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Malaysia di sekolah. Beberapa cerpen beliau turut diterjemah kepada bahasa Inggeris.

Maka, tidak salah jika Saroja Theavy diiktiraf sebagai pelopor dan perintis kepada kelahiran generasi baharu penulis kaum India dalam Sastera Kebangsaan di Malaysia.

Baca Bahagian 10.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 10

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.