Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Dalam majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dari keluaran Mac 1998 hingga Januari 2000, seorang individu bernama Belham K menulis siri rencana berkaitan penterjemahan.

Nama sebenar penulis berkenaan ialah Belaetham Kalimuthu, tetapi beliau menulis menggunakan nama Belaetham K, Belham K, dan K.B. Tham. Beliau lahir dan belajar di Taiping, Perak sebelum meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM) dan memperoleh ijazah sarjana muda pada tahun 1973.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, Belaetham K giat menulis ulasan buku di akhbar dan majalah, sebelum menumpukan perhatian kepada kerja-kerja terjemahan. Beliau berpengalaman menjadi pendidik di beberapa buah sekolah sebelum bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Teronoh, Perak. Kemudian, bekerja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai tahun 1994.

Topik-topik yang dipilih oleh Belaetham K dalam tulisan dan ulasan buku adalah pelbagai tetapi beliau mampu menguasai persoalan yang mahu dibincangkan dengan mendalam. Misalnya, “Sejarah Kemajuan Filem-filem Melayu” (Utusan Malaysia, 28 Februari 1981), “Sejarah Bahasa dan Bangsa Melayu” (Utusan Malaysia, 19 September 1981), “Penguasaan Bahasa Malaysia di Sarawak Perlu Diperluaskan” (Dewan Budaya, Ogos 1986), dan “Kemiskinan dan Kehidupan Golongan Berpendapatan Rendah” (Sarina, Mei 1985).

Dengan nama Belham K, beliau mengulas buku 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia (1987) karya Abdullah Hassan dalam tulisan berjudul “Proses Perancangan Bahasa Malaysia” (Dewan Masyarakat, Mei 1988). Dalam usaha memperkenalkan penulis sastera Melayu kepada khalayak yang lebih mengenali karya bahasa Inggeris, Belaetham K menulis rencana “Who’s Who in Malay Literature” (Sunday Star, 24 Disember 1982).

Belaethem K juga menulis rencana “Penerbitan Buku Kajian Sastera Lesu” (Mingguan Wanita, 15 Oktober 1982) dan “Penulis Kreatif Tidak Dapat Kuasai Kaedah Penulisan Rencana?” (Mingguan Malaysia, 12 Disember 1982).

Menerusi esei dalam majalah Pelita Bahasa (Januari 1992), beliau mengkaji bagaimana sarjana sastera seperti Mana Sikana, Ramli Isin, Othman Puteh, A. Wahab Ali, Hashim Awang dan Abdullah Tahir, serta penulis yang memenangi Hadiah Sastera menggunakan kata sendi nama.

Belaetham K yang merupakan ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) turut menulis rencana seperti “Analisa Cerpen Melayu Selepas Perang” (Utusan Malaysia, 8 Ogos 1983), “Sastera dan Media Elektronik” (Dewan Sastera, Januari 1997) dan “Penterjemahan di Mata Khalayak” (Dewan Sastera, April 2004).

Beliau turut menterjemah sebuah esei E.M. Forster dengan judul “Tanggungjawab Masyarakat Kepada Seniman” (Dewan Sastera, Julai 1991). Kertas kerja berjudul Industri Buku Terjemahan di Malaysia: Suatu Tinjauan dibentangkan pada Program Sehari Bersama Penerbit (2004) di Kuala Lumpur.

Belaetham K menerusi tulisan di Dewan Sastera (Oktober 1994) menjelaskan bahawa kerja-kerja terjemahan bukan sekadar menterjemah “kata demi kata” tetapi melibatkan aspek budaya yang pasti ada persamaan dan perbezaan antara kedua-dua bahasa terbabit.

Beliau menyedari betapa sukar membuat terjemahan yang baik, lalu tidak mahu mengiktiraf dirinya seorang penterjemah yang sudah pakar. Sikap rendah diri itu masih jelas terpancar sewaktu pengkaji menemuinya di Kajang, Selangor pada 1 Jun 2019.

Beliau memaklumkan sudah bersara pada tahun 2005 dan kini menjadi penyunting buku secara sambilan. Walaupun Belaetham K banyak menghasilkan esei dan kritikan, serta terjemahan, beliau tidak terlibat dalam menghasilkan karya kreatif, khasnya cerpen.

Namun begitu, sumbangan beliau kepada perkembangan Sastera Kebangsaan menerusi terjemahan, khasnya, tidak dapat dinafikan. (Bersambung)

Baca Bahagian 7.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 7