Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Berita bertajuk “Veteran Journalist NS Maniam Dies” (The Star, 26 Oktober 2012) melaporkan penulis dan wartawan bernama N. Superamaniam meninggal dunia pada 20 Oktober 2012. Beliau yang lebih dikenali dalam bidang penulisan dengan nama N.S. Maniam dan Samudera N.S merupakan wartawan veteran yang pernah menjadi wartawan sambilan bagi Malaysia Nanban, Tamil Nesan, Makkal Osai dan Suara Melaka. Beliau pernah berkhidmat di Jabatan Perpaduan Negara selama 29 tahun.

N.S. Maniam dilahirkan di Melaka pada tahun 1952 tetapi mendapat mendidikan rendah dan menengah di Tampin, Negeri Sembilan. Selepas itu, beliau megikuti kursus jurulatih prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau pernah bekerja sebagai pembantu makmal dan penyelia Kelas Perpaduan Rakyat (KPR) sebelum menjadi penolong pegawai perpaduan di Jabatan Perpaduan Negara. Beliau juga pernah menjai guru di Alor Gajah, Melaka.

Pada tahun 1990-an, N.S. Maniam bertugas sebagai Penolong Pegawai Perpaduan I di Jabatan Perpaduan Negeri Melaka. Beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa dalam Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Persatuan Wartawan Negeri Melaka (MJA Melaka).

  • Save

Malah, N.S. Maniam mengikuti Bengkel Penulisan Hujung Minggu anjuran PENAMA, lalu aktif menulis berita dan rencana, sebelum mula menulis sajak. Puisi, rencana dan berita tulisannya turut tersiar di Berita Harian, Utusan Malaysia, Watan, Medan Rakyat, Balai Muhibbah dan Jiran.

Sajak-sajak beliau termuat juga dalam antologi  Titik Permulaan (1987), Dari Musim ke Musim (1977) dan Simfoni Kasih (1996). Pengkaji sastera bandingan, Krishanan Maniam, merujuk kepada N.S. Maniam sebagai seorang “sasterawan Tamil” yang berjaya “mencatatkan namanya dalam dunia kesusasteraan Melayu melalui sajak-sajaknya.”

  • Save

Anak N.S. Maniam pernah juga mengikut jejak bapanya pada tahun 1990-an. Krishna N.S. Maniam atau nama sebenarnya Krishna a/l Superamaniam pernah mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dua buah sajak Krishna termuat bersama-sama karya bapanya dalam antologi Simfoni Kasih (1996).

Pegawai di Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Ganes Rethanam, berkongsi maklumat mengenai N.S. Maniam yang dikenalinya sejak kanak-kanak kerana Joseph Selvam dan N.S. Maniam adalah kawan kepada bapanya.

Keluarga N.S. Maniam berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Bapa N.S. Maniam, iaitu Gopal @ Nagalingam, sering menulis cerpen untuk akhbar Tamil. Semasa remaja, N.S. Maniam aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Merah bersama-sama bapa Ganes Rethanam.

  • Save

Beliau juga terlibat dalam Kelab Bell Belia Tamil cawangan Rembia. Dalam mesyuarat agung penubuhan kelab itu pada tahun 1972, beliau dipilih sebagai setiausaha, manakala isterinya, Meenatchy, menjadi ketua wanita.

Semasa ditemu bual, menurut Ganes Rethanam, selain menulis di akhbar-akhbar Tamil dan bekerja di Jabatan Perpaduan Negeri Melaka, N.S. Maniam juga menjadi pembaca berita Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris di Radio Malaysia Melaka. Beliau juga sering diundang menjadi pengacara majlis dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris, selain menjadi penterjemah kandungan akhbar Tamil kepada Ketua Menteri Melaka.

Dalam bidang politik pula, N.S. Maniam pernah menjadi Ketua MIC Cawangan Limbungan, Melaka sebelum menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP). Beliau yang tinggal di Bukit Beruang, Melaka pernah dua kali terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Selepas bersara, N.S. Maniam kurang aktif dalam penulisan kerana masalah kesihatan. Akhirnya, beliau meninggal dunia pada tahun 2012. Pengkaji masih sedang berusaha menghubungi anaknya, Krishna, untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Baca Bahagian 6.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 6