Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Dalam bidang Sastera Kebangsaan, G. Soosai dikenali sebagai “Sasterawan Tamil yang paling aktif”, “orang yang popular dalam bidang terjemahan” dan “penulis, penterjemah, budayawan dan ahli bahasa Tamil di Malaysia yang terkenal pada suatu masa dulu.”

Beliau lahir di Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1930 dan pernah menjadi guru bahasa dan menjadi penasihat di beberapa maktab perguruan. Pada tahun 1970-an, G. Soosai menerbitkan beberapa buku panduan pelajar di bawah syarikat Raybooks of Malaysia, Kuala Lumpur.

Beliau juga menulis siri “Learn Bahasa Malaysia” di akhbar The Star sepanjang tahun 1977, dan siri “Belajar Bahasa Inggeris” di akhbar Watan dari tahun 1981 hingga 1983. Siri panduan berbahasa ini diterbitkan dalam bentuk buku, misalnya Bahasa Malaysia: Learn and Understand, Malay Queries: Mastering the Malay Language dan Converse in Malay.

  • Save

Empat buku iaitu Learn a Word a Day, Learn a Phrase a Day, Converse in Malay dan Comprehend Bahasa Malaysia diterbitkan berdasarkan tulisannya yang disiarkan secara harian menerusi stesen radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

G. Soosai juga amat dikenali sebagai penterjemah. Beliau telah menterjemahkan karya (cerpen) V.S. Muthiah, Ram Gopal, P.P. Narayan, Sanggu Shanmugam, Mageswari Nadeson, R. Karthigesu, S.V. Shanmugam, dan ramai lagi, kepada Bahasa Malaysia. Pada pendirian G. Soosai, karya-karya Tamil tempatan perlu diterjemah ke Bahasa Malaysia bagi menyerikan Sastera Kebangsaan.

Beliau menterjemah kumpulan cerpen T.M. Anna Mary yang terbit dengan judul Wanita Malang (1972), kumpulan puisi S. Anbanantham dengan judul Cepu Pahala (1972), dan koleksi lagu puji-pujian agama Hindu karya Subramaniya Iyer @ Abirami Pattar dengan judul Mazmur Abirami (1974). Turut diterjemah adalah karya etika Tamil oleh Thiruvalluvar dengan judul Thirukkural: Kitab Murni Tamil Nadu (1978).

Puisi panjang Panchali Sapatham (1912) karya Subramania Barathi @ Bharathiyar diterjemah oleh G. Soosai dan diterbitkan dengan judul Ikrar Pancali (1982). Buku Bahana Kesetiaan Teruji (1984) pula terjemahan autobiografi Mahathma Gandhi. G.

  • Save

Soosai kemudian menterjemah sajak panjang Kuyil Paattu (1923) oleh Bharathiyar dan terbit dengan judul Madah Unggas Merana (1986).

Dalam tulisannya di majalah Dewan Sastera (Mei 1975), G. Soosai menegaskan: “penulis mestilah berani mendedahkan kebenaran, walaupun kebenaran itu pahit.” Katanya, dengan adanya kebebasan dan keberanian, maka seorang penulis akan mampu meluahkan hasil pemerhatian terhadap pengalaman dan kehidupan masyarakat menerusi tulisannya yang teliti dan kritikal.

Kebanyakan buku-buku beliau didedikasi kepada ahli keluarganya, atau nama mereka dinyatakan pada ruangan penghargaan. Isterinya bernama Kolande Mary. Anak perempuan tunggal bernama Anne telah membantu menyemak manuskrip Ikrar Pancali (1982). Buku Bahana Kesetiaan Teruji (1984) didekasi kepada Sebastian (anak bongsu), Ezhilselvan (cucu) dan ibunya yang meninggal dunia pada tahun 1949.

Kejayaan G. Soosai juga selalu mendapat liputan berita sepanjang tahun 1970-an dan 1980-an; khususnya di akhbar Watan, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan New Straits Times.

Berita beliau meninggal dunia akibat sakit jantung pada usia 61 tahun dilaporkan di akhbar New Straits Times dan The Star pada 16 November 1991. Walaupun beliau sudah tiada, hasil karya terjemahan G. Soosai memberi peluang kepada khalayak pelbagai kaum di Malaysia untuk menikmati keindahan karya Tamil tempatan dan negara India.

Baca Bahagian 4.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 4