Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Identiti sebenar Nagalingam yang menulis cerpen “Cerita Orang Yang Tidak Menerima Syukur” pada tahun 1932 tidak diketahui secara mendalam. Apa-apa pun, penulis kaum India yang muncul dan terlibat secara aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan Bahasa Malaysia selepas itu hanya kelihatan pada tahun 1960-an.

Pada tahun 1966, terdapat cadangan menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan Persatuan Pengarang-pengarang Antara Bangsa Malaysia. Berita bertajuk “Penulis-penulis Bahasa Kebangsaan Hendak Tubuhkan Badan Sendiri” di akhbar Berita Harian (20 April 1966) melaporkan bahawa persatuan itu khusus bagi penulis Bukan Melayu yang menulis karya Bahasa Kebangsaan.

Ignatius Dev Anand dari Kuala Kangsar, Perak menerajui usaha penubuhan persatuan itu kerana katanya, ada ramai orang Bukan Melayu di Malaysia menulis karya Bahasa Kebangsaan. Melalui persatuan ini, diharapkan bahawa para penulis Bukan Melayu dapat bersama-sama golongan penulis kaum Melayu “membuat derma bakti kepada tanah air” dengan cara mendaulatkan Bahasa Kebangsaan serta meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara kaum.

Walau bagaimanapun, tidak ada maklumat susulan mengenai cadangan penubuhan persatuan ini. Tidak diketahui juga siapakah para penulis Bukan Melayu yang dimaksudkan.

Ignatius Dev Anand seorang penulis yang prolifik pada pertengahan tahun 1960-an. Beliau menghasilkan beberapa buah buku di bawah Penerbit Metro di Klang, Selangor. Lima buah buku diterbitkan di bawah Siri Cerita-cerita Dongeng iaitu penceritaan semula dongeng tempatan. Contohnya, Pesta Ria dan Cerita Lain (1966) dan Jantan Handal dan Cerita Lain (1967).

Selain daripada penulisan dalam Bahasa Kebangsaan, Ignatius Dev Anand turut mengarang puisi bahasa Inggeris. Puisi pertama bertajuk “Mirrors of Nature” tersiar dalam ruangan Edwin Thumboo’s Poetry Corner di akhbar The Straits Times (8 Mac 1969). Puisinya kemudian termuat dalam buku The Second Tongue: An Anthology of Poetry from Malaysia and Singapore (1976) selenggaraan Edwin Thumboo.


Ignatius Dev Anand bukan hanya seorang penulis, sebaliknya turut memegang jawatan sebagai editor di sekurang-kurangnya dua buah majalah. Majalah Kancil diterbitkan mulai Julai 1974 oleh Kancil Publishing Company, Shah Alam. Pengarah urusan majalah ini ialah Ghazi Hasbollah, manakala Ignatius Dev Anand diberi tanggungjawab ketua pengarang.

Majalah Kancil sebuah majalah dengan kandungan yang agak dewasa dari segi artikel, komik, iklan dan poster yang dimuatkan di dalamnya. Moto majalah ini adalah “Hiburan Untuk Muda Mudi”. Karikatur wajah Ignatius Dev Anand disiarkan dalam keluaran Mei 1975.

Mulai Mei 1980, Creative Enterprise Sdn Bhd menerbitkan majalah Lelaki iaitu sebuah lagi majalah yang menyiarkan kandungan dewasa, khususnya bagi pembaca lelaki dengan moto “Bulanan Maskulin Sejati”. Antara penulis yang menyumbangkan karya ialah Jufrie Jantan (Rahman Shaari), A. Talib Mohd Hassan dan Khoo Kay Kim. Editor perunding terdiri daripada Hashim Awang, Alias Mohamad dan Abdullah Tahir.

Bermula keluaran sulung (Mei 1980), Ignatius Dev Anand menjalankan tugas sebagai editor majalah Lelaki, manakala bermula keluaran September 1980, beliau diberi tanggungjawab besar sebagai ketua pengarang.

Hal ini membuktikan bahawa Ignatius Dev Anand bukan calang-calang penulis. Malangnya, hasil karya beliau kurang diketahui umum dan kurang dijadikan bahan kajian oleh peneliti dan pengkritik Sastera Kebangsaan.

Baca Bahagian 3.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 3