Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Selain daripada penulis kaum India yang muncul tetapi kemudian hilang, terdapat juga penulis yang secara relatif masih dianggap baharu tetapi terus menggilap nama dalam Sastera Kebangsaan.

Ramakrishnan Ramasamy.

Pada tahun 2018, Ramakrishnan Ramasamy muncul dengan kumpulan sajak sulung berjudul Kurnia. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Klang dan Sekolah Menengah Raja Mahadi, Klang, sebelum melanjutkan pengajian diploma dalam bidang senireka grafik komputer di Cosmopoint Institute of Technology, Klang.

Ramakrishnan turut memperoleh Diploma Keusahawanan, Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sewaktu berada di Tingkatan 5, sajak berjudul “Kesenian Yang Tersorok” tersiar di majalah Dewan Siswa (April 1995). Seterusnya, pada tahun 1997, beliau terpilih menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pemuda ini merupakan antara individu yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 22 Ogos 1999. Beliau menyertai Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan anjuran DBP dan Kavyan pada Disember 2018.

Sajak-sajak Ramakrishnan tersiar di akhbar Berita Harian, majalah Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Karya, surat berita Kavya, serta antologi Harapan di Joyrampur (1997) dan Sebuah Hati di Cheng Du (1999). Rencana beliau tersiar di majalah Dewan Budaya.

Terkini, karya beliau termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan beliau terus aktif menghasilkan sajak dan esei.

 

KA. S. Annadurai.

KA. S. Annadurai @ Annadurai Subramanian pernah menjadi guru Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris di beberapa sekolah selepas tamat latihan di Maktab Perguruan Kinta, Ipoh. Beliau yang berasal dari Kamunting, Perak mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang bahasa dan linguistik (Bahasa Jerman) dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kini, Annadurai berkhidmat sebagai guru dan Ketua Panitia Bahasa Jerman di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya.

Beliau mengikuti Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan pada Mac 2019 dan esei yang dihasilkan di sana tersiar di majalah Dewan Bahasa. Sajak dan cerpen beliau juga termuat dalam antologi Busana Bahasa.

Anuradha Chelliah.

Graduan bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Anuradha Chelliah pula berasal dari Banting, Selangor.

Beliau yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sri Langat, Banting, aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan Inggeris. Dua sajak yang sudah tersiar ialah “Pesta Cahaya” (Dewan Budaya, Oktober 2017) dan “Ponggal” (Dewan Budaya, Januari 2018). Sajak dan cerpen Bahasa Inggeris pula tersiar di Eksentrika.

Anuradha aktif dalam Kavyan dan menyertai Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan pada Disember 2018 dan Mac 2019. Sajak dan cerpen beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa.

Elavarassan M. Suppiah lahir di Ipoh, Perak. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Putra, Bercham, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Malim Nawar, Malim Nawar, Perak, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok bagi ijazah sarjana muda Pengajian Warisan dengan pengkhususan dalam Kesusasteraan Hybid.

Minatnya untuk menulis semakin membara selepas menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 2012 dan 2018. Sajak awal beliau berjudul “Malaysiaku Tercinta” tersiar di majalah Kuntum (Mei 2007), diikuti sajak “Ibu” di majalah Remaja (Julai 2012). Karya yang dihasilkan selepas menyertai MPR termuat dalam antologi Anugerah Terindah (2012), manakala antologi peserta tahun 2018 dalam proses penerbitan.

Pada Mac 2013, Elavarassan terpilih menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Pengalamannya ditulis dalam rencana berjudul “Perjalanan Sastera Seorang Penulis Bukan Melayu” (Tunas Cipta, Ogos 2014). Cerpen berjudul “Senduk Sakti” pula tersiar di majalah Tunas Cipta (Februari 2018). 

Baca Bahagian 14.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 14

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.