Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu. 

Mahendran Mathavarayan @ M. Mahendran yang turut menggunakan nama pena M. Prabhu adalah antara sekelompok kecil penulis kaum India — iaitu Sasterawan Kavyan — yang aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1980-an.

Mahendran merupakan anak jati Bentong, Pahang. Tempat ini juga merupakan tempat kelahiran Kamaludin Muhammad @ Keris Mas yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama pada tahun 1981.

Beliau lahir pada tahun 1968 serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sulaiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Ketari dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman, Bentong sebelum melanjutkan pelajaran di Akademi Semantan, Temerloh.

Bengkel Sasterawan Kavyan.

Tulisan M. Mahendran sudah mula dicetak dan dibaca oleh orang ramai sejak beliau berada di Darjah Tiga di SRK Sulaiman, Bentong, Pahang. Hasil karya beliau tersiar di SUPRIMA, iaitu majalah tahunan sekolah, hasil galakan daripada ibu bapa.

Mahendran pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Mentakab dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungei Tekal (1990-1992) sebelum bekerja dalam sektor swasta. Pengalaman berkhidmat sebagai guru sandaran membantunya sewaktu menghasilkan cerpen “Cikgu Habibu”.

SAJAK | Politikus oleh M. Mahendran

Kumpulan cerpen sulung berjudul Karupaya lahir pada tahun 2018. Buku ini memuatkan 13 buah cerpen yang pernah tersiar di pelbagai akhbar, majalah dan antologi sejak tahun 1988. Beberapa cerpen yang asalnya ditulis dalam bahasa Tamil telah diterjemah sendiri oleh M. Mahendran bagi buku ini.

Pengarang ini juga pernah menterjemah kumpulan cerpen penulis Tamil veteran, M. Ramaiah, dan terbit dengan judul Mimpi dan Impian (2013). Kemampuan melakukan terjemahan silang seperti ini merupakan suatu kelebihan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh M. Mahendran.

Cerpen M. Mahendran termuat dalam antologi Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Meniti Pelangi Senja (1993), Vanakam (2002) dan Segugus Aksara Sealur Kasih (2003). Tulisan beliau juga tersiar di Mingguan Watan, Berita Minggu, Sarina, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera.

Antologi Busana Bahasa (2019) turut memuatkan karya beliau. Cerpen “Lintah” meneruskan gaya dan kelaziman M. Mahendran memaparkan gejala sosial yang melanda masyarakat India di Malaysia. Sebagaimana diakui sendiri dalam bahagian prakata buku Karupaya (2018), penulis ini “cuma merakamkan kejadian yang sering dilihat dan dibaca di media”.

Mahendran bukanlah orang baharu dalam Sastera Kebangsaan. Beliau mula menulis karya Bahasa Malaysia dan Tamil secara serius pada tahun 1987. Karya beliau menang Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1988 dan 1991) dan Peraduan Menulis Puisi dan Cerpen Pelbagai Kaum (2003).

Beliau adalah penulis kaum India “seangkatan” dengan Saroja Theavy Balakrishnan, di mana mereka sama-sama menang saguhati Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1988). Malah, beliau turut terlibat dalam pertemuan pada 22 Ogos 1999 yang menyaksikan kelahiran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Walau bagaimanapun, akibat pelbagai faktor, hambatan, dan persekitaran yang kurang kondusif, M. Mahendran mengambil masa yang lebih lama berbanding Saroja Theavy untuk menonjol dalam peta Sastera Kebangsaan.

Pada Januari 2019, beliau mengambil keputusan berani dan menjadi penulis sepenuh masa. M. Mahendran juga menyertai Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan anjuran Kavyan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 2018 dan Mac 2019.

SAJAK | Berubahlah oleh M. Mahendran

Walaupun sudah terlibat dalam bidang penulisan kreatif sejak tahun 1987, M. Mahendran sentiasa bersedia untuk belajar dan diajar, serta bersikap terbuka dalam menerima teguran membina. Sikap ini membolehkan beliau mampu menghasilkan karya-karya yang lebih baik berbanding dahulu.

Misalnya, selepas berpengalaman menulis selama lebih 30 tahun, karya M. Mahendran berjaya mendapat tempat dalam majalah sastera terulung tanah air. Cerpen “Bahasa Kita” tersiar di Dewan Sastera pada Mac 2019, diikuti skrip drama “Milik Siapakah Dunia Ini” pada Jun 2019.

Baca Bahagian 11.

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 11

 

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.