Walaupun Tan Sri Ismail Hussein sudah meninggal dunia pada 20 Oktober 2014, beliau sempat melihat impian dan harapan dalam soal penglibatan penulis Bukan Melayu dalam Sastera Kebangsaan menjadi kenyataan.

Sepanjang menjadi Ketua I Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) iaitu dari tahun 1971 hingga 2013, beliau secara terus-menerus bersikap amat optimis bahawa Sastera Kebangsaan merupakan medan terbaik bagi penulis pelbagai kaum, agama dan latar belakang berkarya demi melahirkan karya sastera yang boleh mewakili negara.

Seawal April 1971, aktivis bahasa dan sastera kelahiran Yan, Kedah itu menegaskan bahawa hanya karya sastera yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia layak dianggap “Kesusasteraan Nasional Malaysia”.

Demikian katanya menerusi esei berjudul “Kesusasteraan Nasional Malaysia” yang turut termuat dalam buku Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957-1972 (1981) selenggaraan Anwar Ridhwan.

  • Save

<

“Sastera-sastera di dalam bahasa-bahasa Mandarin, Tamil dan Sukuan adalah juga kesusasteraan Malaysia, tetapi oleh sebab sastera-sastera ini terbatas penonton-penontonnya kepada golongan-golongan yang tertentu, maka tidak dapat kita menganggap sebagai kesusasteraan Nasional,” katanya dalam esei berkenaan.

Hujah beliau selaras keputusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaya pada 16-20 Ogos 1971.

Ismail Hussein sangat praktikal dan amat kritikal dalam soal bahasa dan sastera. Beliau yang merupakan lulusan sarjana muda kelas pertama dari Universiti Malaya, Singapura (1959) dan ijazah kedoktoran dari Universiti Leiden (1964) mengakui bahawa “kesusasteraan Melayu untuk masyarakat Melayu sendiri belum begitu luas tersebar dan belum benar-benar menyerap kepada segala lapisan.”

Dalam ucapan pada mesyuarat agung tahunan GAPENA di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 April 1972, beliau turut menegaskan pendirian bahawa Sastera Kebangsaan tidak harus hanya tertumpu kepada penulis dan khalayak kaum Melayu, tetapi perlulah melibatkan semua kaum di negara ini.

Perlu Menjadi Media Pengucapan Pelbagai Kaum

Penulis buku Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita (1966) itu amat optimis terhadap kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang mula dilaksanakan secara serius pada tahun 1972.

“Saya rasa satu perubahan radikal akan mencetus tidak lama lagi dan ini malah akan mengancam sikap superior penulis-penulis golongan Melayu sendiri,” tegas beliau dalam ucapan itu yang turut disiarkan dalam majalah Dewan Sastera (Jun 1972).

Sewaktu wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berbual-bual bersama bekas Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1976-1980) itu di Festival Sastera Perpaduan Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah pada Ogos 2003, beliau melahirkan rasa bangga kerana Sastera Kebangsaan kini menjadi milik bersama semua rakyat Malaysia.

  • Save

Situasi itu amat berbeza dengan kebimbangan yang dilahirkan oleh Ismail Hussein pada Seminar Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Malaysia anjuran Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada April 1974.

Menerusi kertas kerja berjudul “Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Kebangsaan dan Kebudayaan Kebangsaan”, Ismail Hussein melahirkan kekesalan kerana pada penelitiannya, “Kesusasteraan Kebangsaan Malaysia masih merupakan sastera kaum Melayu dan belum lagi merupakan pengucapan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.”

Ismail Hussein yang pernah menterjemah karya klasik Tamil, Thirukkural (1967), turut menegaskan bahawa wujud ikatan kebudayaan yang amat besar antara kaum India dan Melayu. Hal ini dinyatakan dalam buku Sastera dan Masyarakat (1974).

Katanya: “Peradaban India telah mempengaruhi kebudayaan Melayu untuk lebih seribu tahun, dan kesannya dapat lihat di mana-mana sahaja di dalam bahasa, di dalam kesusasteraan, di dalam masakan, di dalam kepercayaan dan dalam berbagai-bagai tatacara hidup sehari-hari.”

Menjelang tahun 1982, Ismail Hussein melahirkan rasa bangga dan gembira kerana Dasar Pelajaran Kebangsaan sudah mula menunjukkan hasil yang diharapkan.

Dalam wawancara yang disiarkan di majalah Dewan Sastera (April 1982), beliau menyebut bahawa sudah muncul sekitar 20 penulis Bukan Melayu yang mampu menghasilkan Sastera Kebangsaan.

“Berikan dua atau tiga dekad — saya amat pasti akan muncul bakat-bakat Bukan Melayu yang cukup menarik,” katanya sewaktu diwawancara oleh Wan Omar Ahamed.

Wawasan Yang Sudah Menjadi Kenyataan

Apa yang menarik, “dua atau tiga dekad” itu merujuk kepada tahun 2000 dan 2010, di mana memang sudah muncul ramai penulis Bukan Melayu yang turut memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan.

Sesi Penulisan Intensif anjuran Kavyan-DBP sejak Disember 2018 menyaksikan kemunculan semakin ramai penulis baharu daripada kalangan kaum India khasnya, dan Bukan Melayu amnya.

Impian Ismail Hussein bukan sekadar mahukan penulis Bukan Melayu yang mampu menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Beliau juga memberikan tumpuan kepada usaha “pengertian dan penyebatian” dalam kalangan masyarakat majmuk.

Beliau tidak mahu penulis Bukan Melayu menulis karya fiksyen mengenai kaum dan budaya Melayu. Sebaliknya, Ismail Hussein menegaskan menerusi wawancara itu: “Yang saya inginkan, agar mereka dapat mentafsirkan dan menyalurkan alam fikiran Bukan Melayu yang mereka ketahui dengan erat, ke dalam Kesusasteraan Kebangsaan.”

Sewaktu menjadi Ahli Lembaga Pengelola DBP, tokoh yang bervisi dan berwawasan itu menulis dengan penuh yakin dalam Dewan Sastera (Jun 1982) bahawa menjelang tahun 2010, Sastera Kebangsaan akan menyaksikan “penyertaan sepenuhnya daripada warganegara Bukan Melayu.”

Amat jelas menerusi setiap ucapan dan tulisan penerima ijazah doktor kehormat Universiti Indonesia (1984) ini bahawa beliau yakin sepenuhnya terhadap kemampuan Bahasa Malaysia sebagai medium “pengucapan kebudayaan” bagi penduduk pelbagai kaum dan bahasa ibunda di negara ini.

Pada pandangan Ismail Hussein, sastera tanah air yang “sekian lama terkurung dalam tradisi alam pemikiran Melayu-Islam” akan turut menampilkan “alam pemikiran Cina-Buddhis, India-Hindu dan tidak kurang pentingnya alam pemikiran Barat-Kristian dengan lebih terbuka” (Dewan Sastera, Jun 1982).

  • Save

<

Ismail Hussein telah berpeluang melihat impian beliau menjadi kenyataan sedikit demi sedikit sejak tahun 1970-an. Kehadiran kelompok penulis Cina, India, Siam, Orang Asli, serta etnik Sabah dan Sarawak menjadi bukti.

GAPENA, DBP, Persatuan Penulis Nasional (PENA), Kavyan, dan pelbagai pihak lain perlu menjadi penerus kepada visi, wawasan dan impian murni yang dibawakan oleh Allahyarham Ismail Hussein demi perkembangan Sastera Kebangsaan.

*** Gambar ehsan Uthaya Sankar SB.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Kaki Wayang Bahagian 1 oleh M. Mahendran

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.