Saya pun tidak tahu bagaimana saya terjebak ke dalam bidang penulisan. Suatu bidang yang saya libatkan diri dengan tidak begitu serius.  Perkara yang digesa dan dipaksa oleh ibu bapa saya untuk menulis di majalah sekolah semasa saya di darjah dua berterusan hingga kini. Mungkin kerana nama saya ditatap oleh orang ramai, ia membuatkan saya gembira.  Walaupun saya bukan seorang penulis tersohor seperti mereka yang lain, saya  masih menulis.

Setelah menghasilkan karangan dan rencana untuk majalah sekolah rendah dan menengah dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan Tamil, saya mula menulis ke ruangan ‘Surat Daripada Pembaca’ ke akhbar-akhbar Tamil pada penghujung tahun 1983. Kebanyakan surat-surat itu adalah pandangan saya berkenaan dengan cerpen atau novel bersiri yang disiarkan di akhbar tersebut. Cadangan juga diberi untuk editor untuk memperbaiki mutu akhbar. Kadang-kadang bertelagah juga dengan pembaca-pembaca lain yang aktif menulis di ruangan itu.

Kebanyakan akhbar harian Tamil akan terbitkan sisipan pada hari Ahad. Di situlah saya menulis ke ruangan ‘Surat Daripada Pembaca’, ‘Ruangan Soal Jawab Dengan Editor’ dan ‘Ruangan Soal Jawab Filem’. Setahu saya, hanya akhbar-akhbar dan majalah Tamil yang adakan ruangan-ruangan seperti itu dengan begitu luas, baik di India mahu pun di sini hingga kini. Saya menggunakan nama pena M.Prabhu, Bentong ketika menulis di dalam bahasa Tamil.

  • Save

Memang amat gembiralah saya ketika itu kerana nama saya sering tersiar di dalam akhbar saban minggu. Sebenarnya abang saya ‘Mad Sentul’ juga sudah mula melukis kartun dan menulis ke ruangan yang sama sejak awal 80-an lagi. Ini menimbulkan minat saya untuk mengikut langkahnya. Cuma saya tidak melukis kartun seperti beliau. Bapa saya S. Mathavan juga pada usia mudanya sering menulis ke akhbar mingguan Tamil dan majalah bulanan Indian Movie News.

Selain daripada menulis ke ruangan- ruangan seperti itu, saya juga akan menulis catatan-catatan pendek yang diambil daripada buku-buku yang saya pernah baca. Walaupun itu bukan idea saya sendiri, namun saya gembira kerana nama tersiar di akhbar dan majalah Tamil.

Semasa di tingkatan enam, sekolah swasta kami mengendalikan makalah bulanan yang bertajuk Gapetas. Para pelajar  menulis rencana, puisi dan nukilan-nukilan pendek ke makalah tersebut. Saya menaip tulisan mereka ke atas stensil dan mencetak dengan mesin siklostil menjadikan sebagai buku nipis. Dalam masa inilah iaitu pada tahun 1987 saya mula menulis cerpen saya yang pertama ke makalah tersebut. Saya sudah lupa akan tajuknya. Rakan-rakan semua memuji akan kehebatan kisahnya. Bagi saya, cerpen itu tidak sehebat mana pun. Makalah itu terhenti dalam masa beberapa bulan sahaja atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kemudian saya mencuba menulis cerpen ke akhbar-akhbar mingguan dan majalah bulanan Tamil. Untuk beberapa bulan, tidak ada satu pun cerpen pun disiarkan. Kemudian impian saya tercapai apabila cerpen saya disiarkan di majalah Mayil pada tahun 1987 dengan tajuk Yezhmaiyin Vilaiyatu (Mainan Kemiskinan). Sebuah cerpen yang penuh dengan tangisan air mata. Tidak tahu berapa kali saya baca cerpen tersebut pada hari yang sama dan selepas itu.

Pada tahun yang sama, DBP dan Malayan Banking mengadakan ‘Peraduan Menulis Cerpen’ untuk kaum bukan Melayu. Saya mengambil bahagian. Cerpen pertama dalam bahasa Malaysia yang ditulis agak panjang, menuruti syarat-syarat peraduan. Cerpen itu saya namakan Karupaya. Kisah seorang tua bernama Karupaya meghabiskan sisa-sisa hidupnya di Rumah Orang Tua. Saya memenangi hadiah sagu hati dan karya saya itu diterbitkan bersama karya penulis-penulis lain dalam bentuk antologi bertajuk Menara. Saya menerima hadiah tersebut pada bulan April 1988 di Menara Maybank daripada Encik. Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

  • Save

Selepas itu saya mula menulis cerpen ke akhbar-akhbar Tamil dan sedikit cerpen ke akhbar dan majalah berbahasa Malaysia. Namun bukan mudah mendapat tempat. Dalam masa setahun cuma dua atau tiga buah cerpen bahasa Tamil saya disiarkan dan cerpen dalam bahasa Malaysia pula langsung tidak disiarkan. Mungkin kualiti cerpen saya tidak mencapai kehendak editor agaknya. Ini membuatkan saya malas untuk terus menulis. Lagi pun saya sudah mula bekerja dan tidak ada masa yang sesuai untuk memberi tumpuan kepada penulisan.

Selepas memenangi hadiah cerpen untuk kali kedua dan ketiga pada tahun 1991 dan 2003 dalam peraduan yang dianjurkan oleh DBP, saya sentiasa menghantar cerpen untuk setiap kali peraduan diadakan, nasib tidak selalu menyebelahi saya.

Pada pertengahan tahun 90-an cerpen-cerpen saya mendapat tempat di akhbar Watan dan majalah-majalah keluaran DBP.

HUBUNGAN DENGAN SAUDARA UTHAYA SANKAR S.B DAN KAVYAN 

  • Save

Saya ketahui selain daripada saya, saudari Saroja Theavy Balakrishnan dan saudara Uthaya Sankar S.B rajin menulis cerpen dalam bahasa Malaysia dan jauh lebih aktif berbanding dengan saya. Saudara Uthaya  sudah pun ada kumpulan cerpennya sendiri di bawah terbitan DBP pada awal tahun 90-an, sedangkan saya yang menulis lebih awal lagi, tidak mencapai apa-apa lagi.

Saya sudah lupa bagaimana saya dapat nombor telefon rumah saudara Uthaya, saya menghubungi beliau pada tahun 1994. Saya bertanyakan tentang penglibatan beliau dalam bidang penulisan. Saya menulis sebuah artikel ringkas tentang beliau di majalah mingguan Nayanam selepas itu.

Pada tahun 1999 saudara Uthaya tubuhkan Kavyan. Pertubuhan khas untuk penulis kaum India yang menulis dalam bahasa Malaysia. Makalah Kavyan diedarkan dan pelbagai aktiviti diadakan. Oleh kerana saya tinggal di Temerloh ketika itu, tidak dapat hadir ke semua aktiviti yang dianjurkan oleh Kavyan. Cuma baru-baru ini sahaja saya dapat melibatkan diri secara giat.

Saudara Uthaya sering memberi dorongan untuk saya teruskan menulis. Cuma saya yang kurang aktif. Masa kerja yang panjang menghalang saya untuk tujuan itu.

Kavyan menerbitkan  antologi cerpen Vanakam’ yang memuatkan karya yang ditulis oleh penulis-penulis kaum India pada tahun 2002. Cerpen saya yang bertajuk Manggei dimuatkan di dalam antologi tersebut. Cerpen tersebut  disiarkan sebelum itu di majalah Dewan Siswa, terbitan DBP.

  • Save

Sehingga kini Kavyan telah menerbitkan banyak buku-buku tulisan saudara Uthaya sendiri dan rakan-rakan penulis lain, termasuk antologi cerpen sulung saya yang bertajuk Karupaya. Suatu pencapaian yang membanggakan diri saya. Tanpa saudara Uthaya, sudah pasti impian saya tidak tercapai.

Bengkel-bengkel penulisan yang sering dianjurkan oleh saudara Uthaya telah mewujudkan ramai penulis baharu dalam kalangan kaum India. Karya-karya mereka mendapat tempat di media-media utama tanah air.

Saya yang sudah menulis lebih daripada tiga puluh tahun, masih sedang belajar dan akan terus belajar untuk memperbaiki mutu tulisan saya. Dengan banyak membaca, sudah pasti kita akan lebih mahir menulis.

Cita-cita saya adalah untuk menerbitkan buku setiap tahun sebuah buku baik dalam bahasa Malaysia dan bahasa Tamil.

Saya juga amat berterima kasih kepada pihak Eksentrika yang sentiasa menyiarkan pengalaman dan memori hidup saya.

Saya akan terus menulis.

*** Gambar ehsan M. Mahendran. 

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Pengalaman Menonton Filem Oleh Walid Ali

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.