Desperado ialah antara filem yang saya akan ingat sampai bila-bila. Saya sangat suka melihat bagaimana gitar boleh menjadi satu alat muzik yang sangat menarik – boleh juga jadi senjata. Watak yang dimainkan oleh Antonio Banderas sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran saya. Pada waktu itu, saya masih lagi anak kecil. Apabila cerita ini ditayangkan, saya sentiasa membayangkan yang saya pada satu hari nanti akan jadi pemain gitar, penyanyi dan juga penembak tepat. Kau bayangkanlah. Apabila Banderas membuka tempat letak gitar, ada terdapat banyak pistol di dalamnya.

Ada satu adegan di mana Banderas kelihatan sudah dapat dikepung dan hampir ditewaskan oleh pihak lawan. Kemudian, datang dua pemain gitar yang entah dari mana, dengan penuh dramatik dan sinematik, membawa gitar masing- masing. Salah seorang daripada mereka mula mengeluarkan senapang gitar dan menembak banyak musuh. Salah seorang lagi dengan penuh stail menjadikan gitar di tangannya sebagai bazooka. Oh Tuhan. Inilah kekaguman yang saya sentiasa tunggu sebagai anak kecil. Malangnya, kedua-dua mereka meninggal di tempat kejadian. Lebih malang lagi, watak lelaki bazooka itu tadi mati kerana bazooka sendiri.

Pada waktu itu, saya tidak pernah tahu siapa pengarah, siapa pelakon dan kenapa saya perlu untuk menonton filem ini. Tidak ada satu jawapan untuk semua persoalan ini. Tetapi, filem telah membawa saya kepada satu dunia fantasi. Filem juga berjaya membawa saya untuk merasai perasaan setiap watak yang ada. Kekaguman dalam Desperado ini menjadikan saya mula meminati filem selain daripada keindahan visual yang dipaparkan dalam skrin.

Tujuan setiap watak untuk berada dalam satu filem amat perlu dalam Desperado. Banderas tidak mahu membunuh saudara sendiri walaupun dia tahu saudara rapat dia itu ialah musuh utamanya. Dia putuskan untuk tidak menembak saudara dia itu walaupun dia ada peluang dengan hanya perlu menarik picu rifle. Pergolakan pilihan ini menjadikan satu cerita filem sebagai menarik.

Semakin saya meningkat dewasa, saya mula meminati filem aksi yang ada nilai melodrama. Filem-filem aksi Hong Kong banyak menggunakan formula ini. Biasanya watak utama perlu membuat satu pilihan untuk membunuh watak yang mana satu. Jackie Chan ada banyak menggunakan formula ini. Watak Jackie Chan biasanya akan perlu memilih antara dua watak yang perlu dia bunuh kerana permainan gila watak musuh. Sekiranya kita melihat filem Saw, kita akan faham bahawa setiap tindakan atau pilihan yang dibuat oleh watak akan membawa kepada pelbagai kesan. Dalam erti kata lain, tidak ada satu pilihan yang tepat tetapi, hanya ada satu pilihan yang terbaik berdasarkan keadaan semasa.

New Police Story memerlukan Jackie Chan untuk membuat banyak pilihan pastinya antara filem aksi kegemaran saya. Jackie Chan berlawan dengan generasi yang lebih muda, yang lebih bijak, lebih pakar teknologi dan lebih gila dalam membuat pilihan. Ini pastinya membuatkan polis biasa atau mereka yang kurang mengikut perkembangan semasa mula terkial-kial. Pihak polis mula menggunakan kekeluargaan dalam menyelesaikan masalah ini. Mereka membawa keluarga penjenayah untuk memujuk yang pastinya membuatkan anak-anak muda ini mula terkesan dan seorang demi seorang menyerah.

Saya mula semakin menghargai pilihan yang dibuat oleh setiap watak dalam filem berbanding aspek lain selepas menonton filem New Police Story. Saya mula merasakan bahawa pilihan ialah antara penggerak utama cerita. Mungkin pilihan yang dipilih watak ialah pilihan yang salah. Tetapi, inilah yang menjadikan filem lebih menarik. Filem yang kebanyakannya berkomunikasi dengan menggunakan visual telah membuatkan fikiran saya bergerak sepanjang menonton. Pencahayaan lebih suram memberi kesan yang suram kepada saya. Cahaya cerah memberi kesan ceria dan gembira ditambah lagi dengan pelbagai efek. Semuanya bergerak serentak sebagai satu bentuk komunikasi visual yang membantu saya menikmati filem.

Penguasaan komunikasi visual ini sangat banyak terdapat dalam filem Jepun. Kurosawa melalui filem-filem Samurai membawa saya dari satu adegan ke satu adegan dengan sangat kemas. Setiap watak yang ada dan setiap pergerakan cerita telah disusun dengan sangat kemas. Berbeza dengan  filem yang lebih banyak menggunakan dialog seperti filem-filem Tarantino, sinema Jepun ternyata sangat kemas. Mungkin kerana faktor budaya – Jepun; kemas. Setiap kata bual tidak disia-siakan dalam filem Jepun. Frame filem boleh jadi mata saya sebagai watak utama dalam cerita. Frame filem juga boleh jadi watak saya sebagai watak lain yang sedang bercakap dengan watak utama. Frame filem juga boleh jadi mata saya sebagai satu makhluk yang sedang memerhati mereka.

Kebanyakan filem yang saya nyatakan tadi, saya tonton bersama banyak orang. Desperado, saya tonton bersama keluarga; New Police Story pula saya tonton bersama rakan-rakan di universiti; filem-filem Kurosawa pula saya tonton di Aswara satu ketika dahulu. Duduk bersama dengan orang ramai menonton filem di panggung biasa atau di ruang penontonan alternatif memberi saya perasaan lebih puas kerana kita dapat merasai sedikit sebanyak perasaan orang lain. Adakah penonton lain merasakan rasa yang sama seperti saya menonton filem-filem ini tadi? Atau adakah mereka merasakan bahawa apa yang saya katakan tadi tidak sama seperti apa yang mereka rasa?

Ini ialah persoalan yang selalu hadir dalam fikiran saya. Selalunya, filem popular akan ada banyak penonton dan saya akan dapat menikmati pelbagai perasaan. Tetapi, kadang-kadang saya akan tengok filem seorang diri atau duduk bersama beberapa orang sahaja kerana filem itu tidak mendapat sambutan ramai. Dulu, saya selalu bertanya kenapa satu-satu filem itu banyak dan penuh penontonnya berbanding filem lain. Jawapan paling tepat bagi soalan ini kini dalam fikiran saya, pastinya kerana filem itu dapat dijamah oleh orang ramai dan juga ada nilai tambah dari aspek lain seperti kekaguman misalnya.

Reaksi penonton apabila menonton filem bersama saya ialah satu pengalaman yang selalu saya tunggu. Paling saya suka ialah apabila penonton katakan satu-satu filem itu bosan. Saya akan duduk sehingga tamat tayangan sebelum saya buat kesimpulan. Adakah filem itu menarik seperti Desperado, Police Story, dan siri Samurai Kurosawa atau saya akan setuju dengan penonton yang melafazkan dialog bosan di panggung itu tadi?

*** Gambar ehsan Walid Ali.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

Perkembangan psikologi dan trend teater millennial di Malaysia

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.