Televisyen diperkenalkan di Malaysia pada Disember tahun 1963. Pada masa itu orang berada sahaja yang mampu memiliki peti TV. TV hitam putih pada ketika itu membawa satu arus perubahan baharu di negara kita. Oleh kerana saya dilahirkan selepas lima tahun  TV berada di Malaysia dan di rumah kami pula tidak ada TV ketika itu, saya seperti  ketinggalan di era itu.

Hiburan saya dan sekeluarga di rumah ketika itu adalah cuma radio dan pemain kaset sahaja. Saya amat sedih kerana rumah kami tidak ada TV. Saya tahu bapa tidak mampu membeli TV dengan gaji kecil daripada pendapatannya sebagai kerani di pejabat NUPW. Saya cuma sedar tentang kewujudan TV   sejak umur saya yang ke tujuh. Rumah nenek di Batu Caves mempunyai sebuah peti TV yang besar. Pintunya boleh ditolak di kedua-dua belah. Ketika itu siaran TV di negara kita masih belum berwarna lagi.

Saya dan abang sentiasa tertunggu-tunggu untuk ke rumah nenek yang terletak di Batu Caves, yakni ibu kepada emak saya. Di rumah neneklah saya menonton siri-siri  seperti The Six Million Dollar Man, Combat, Ultraman dan sebagainya. Cuma yang melecehkan adalah nenek tidak memberi kebenaran  kami untuk menyentuh  TV tersebut tetapi saya tetap akan putarkan punat untuk menukar siaran yang cuma ada TV1 dan TV2 sahaja ketika itu. Juruhebah Taufik Latiff dengan suara merdunya akan bacakan intisari rancangan setiap petang ketika itu.

  • Save

Photo by Constellate on Unsplash.

<

Di sekolah pula, rakan-rakan sekelas sentiasa berbual-bual tentang rancangan-rancangan TV yang mereka tonton dengan begitu gembira sekali. Saya hanya dapat mendengar sahaja tanpa memberi sebarang reaksi. Sedih saya. Untuk memuaskan hati yang sedang bergelojak ketika itu, saya dan abang akan ke rumah-rumah jiran yang memiliki peti TV. Kami akan pergi ke rumah mereka untuk menonton tayangan gambar Tamil. Siaran itu akan  diberhentikan beberapa kali untuk siaran Berita, Azan Isyak, Peristiwa dan Hari Ini Dalam Sejarah. Selepas pulang ke rumah,  emak akan membebel dan kadang- kadang akan merotan.

Saya juga sering  bermimpi, di rumah papan kami itu sudah ada TV besar di suatu sudut di ruang tamu. Apabila bangun daripada tidur, perasaan sedih akan menyelubungi diri kerana tidak ada TV seperti dalam mimpi di tempat itu. Bapa pernah memnijam sebuah TV kecil yang boleh dbimbit daripada rakan sejawatnya pada suatu hari untuk menonton siaran ulangan pertandingan tinju gandingan Mohd. Ali dan Joe Bugner.  Walaupun TV itu adalah dipinjam dan perlu dipulangkan pada keesokan harinya, namun perasaan saya amat gembira sebagai TV itu adalah milik  kami sendiri.

Kami ke kampung bapa di Segamat pada bulan Disember tahun 1978  sempena majlis perkakahwinan adik lelaki  bongsu bapa  yang dilangsungkan pada 10haribulan, bulan itu.  Selepas majlis itu, bapa ke Singapura dengan menaiki kereta saudara-mara sebelah emak. Apabila bapa pulang pada sehari selepas itu, dia memberi satu kejutan gembira. Bapa membawa sebuah peti televisyen bersaiz kecil (14 inci) hitam putih berjenama Philips. Walaupun negara sedang sibuk untuk melancarkan TV warna pada hujung tahun itu, bapa cuma mampu miliki TV jenis itu pada harga yang dikira murah. Pada masa itu ramai dari Semenanjung sentiasa berpusu-pusu ke Singapura untuk membeli-belah kerana harga barangan murah di sana. Lagipun ketika itu nilai mata wang Ringgit Malaysia hampir sama dengan Singapura.

  • Save

Photo by Sven Scheuermeier on Unsplash.

<

Sejak adanya  TV kecil itu di rumah kami di Bentong, corak kehidupan saya pun mula berubah. Oleh kerana siaran TV ketika itu bukan 24 jam seperti sekarang, saya hanya dapat menonton TV lebih kurang jam 5 petang. Ketika itulah siaran saluran  1 dan 2 bermula. Pada Sabtu dan Ahad akan bermula pada jam 3 petang.

Kebanyakan rancangan-rancangan TV ketika itu adalah diimport dari Amerika Syarikat. Siri-siri terbitan Amerika amat digemari oleh semua lapisan masyarakat ketika itu. Baik tua,  muda dan juga kanak-kanak: semua rancangan TV ketika itu ditonton bersama-sama.  Di sekolah, kami sentiasa berbincang tentang siri-sri TV, Tayangan Gambar India/ Cina/ Melayu/ Indonesia dan Inggeris. Rancangan tempatan  hujung minggu seperti Drama Minggu Ini, Sendarama, Puspawarna, Hiburan Minggu Ini dan Tumpuan Minggu juga mendapat tempat di hati kami dan akan menjadi topik perbualan yang penting di kelas pada pagi hari Isnin dan pada hari-hari yang lain.

Selain daripada memberi hiburan kepada saya.  Siaran TV juga memperkayakan ataupun mengajar pelbagai bahasa  saban hari. Rancangan-rancangan berbahasa Inggeris  saya tonton  sambil membaca sarikatanya.  Minat terhadap ketiga-ketiga bahasa berkembang di dalam diri saya tanpa disedari. Tetapi perkara ini tidak diketahui oleh ibu saya. Setiap kali saya membuka TV, pasti ibu akan ‘bersuara’ dari dalam biliknya. Jadi hanya pada Sabtu dan Ahad saya bebas menonton TV. TV dianggap  akan membuat kita leka  hingga akan lalai dalam pelajaran sekolah. Ini mungkin benar pada situasi saya ketika itu.

  • Save

Photo by Aleks Dorohovich on Unsplash.

<

TV  pada era itu tidak menggunakan alat kawalan jauh seperti terdapat sekarang. TV hitam putih Philips itu rosak pada tahun 1986. Setiap kali mahu menonton, perlu ketuk di kepalanya, barulah ada gambar. Ini amat menyedihkan hati saya. Emak juga anggap saya yang membuat TV itu rosak.

Oleh kerana TV hitam putih itu telah rosak,  bapa terpaksa beli TV baharu yang berwarna pula  setelah lapan tahun pelancarannya. Kali ini di rumah kami muncul TV warna National Quintrix 16 inci  yang juga beroperasi tanpa alat kawalan jauh. Oleh kerana saya telah pun ke Temerloh untuk sambung belajar pada tahun 1986 – 1987 dan seterusnya bekerja di situ, saya tidak bermanfaat besar  dengan TV warna itu. Cuma pada hari-hari cuti sahaja saya dapat mengusiknya, bila balik kampung.

TV warna National itu pula mula menunjuk ketuaannya pada tahun 2005 dan saya menukarnya dengan TV Sharp  21 inci dan kemudian TV Sharp HD pada tahun 2011 yang masih beroperasi hingga sekarang. Di samping itu saya juga ada  pernah membeli TV 16 inci Panasonic sewaktu tinggal di Temerloh pada tahun 1999 dan diberikan kepada adik saya setelah saya berpindah semula ke Bentong pada tahun 2005.

Walaupun ini semua adalah suatu perkara yang biasa sangat berlaku dalam kalangan masyarakat kita, bagi saya ia adalah suatu perkembangan yang amat penting bagi diri saya mahupun ahli keluarga saya amnya.

Kalau diamati secara halus kita akan dapat lihat ada nilai sejarah  dan proses perkembangan diri   walaupun ia adalah cuma sebuah peti televisyen.  Sebuah peti yang menceritakan kehidupan sebuah keluarga ketika itu dan sekarang. Peti itu juga yang merubah cara pemikiran seisi keluarga dan sebuah negara.

*Cover image by Pawel Kadysz on Unsplash.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Hiburan Di Rumah Bahagian 1 oleh M. Mahendran

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.