Pada awal tahun 70an kebanyakan penduduk di Bentong sudah pun memiliki radio. Seingat saya, saya mendengar bunyi radio berkumandang di kebanyakan rumah-rumah jiran yang bertaburan di Jalan Chammang. Cuma saya tidak mengetahui jenis-jenis radio yang mereka miliki ketika itu.

Di rumah,  kami sudah memiliki radio jenis Philips kecil berwarna biru yang beroperasi menggunakan tiga biji bateri. Sebelum itu, kami juga memiliki alat perakam suara menggunakan pita ‘reel to reel’ jenis mudah alih menggunakan, kemudian pakcik saya memberi sebuah alat perakam  menggunakan kaset pula.  Kesemuanya  berjenama Philips. Kebanyakan lagu-lagu Tamil tahun 40an hingga 60an bapa mendengar menggunakan alat perakam ‘reel to reel’ ini. Peti televisyen tidak ada di rumah kami sehingga penghujung tahun 1978.

Radio cuma akan dibuka siarannya ketika bapa berada di rumah. Saluran yang biasa kami dengar adalah dari stesen Radio Malaysia, Rangkaian Merah(RTM) dan Radio Singapura(SBC) yang disiarkan dalam bahasa Tamil. Ketika itu saluran FM tidak ada lagi. Jadi kami mendengar kedua-dua siaran dari SW1 dan kadang-kadang dari MW. Memanglah siaran tidak sehebat seperti mendengar dari FM sekarang, namun itulah hiburan kami di rumah ketika itu.  Saluran FM dalam bahasa Tamil mula bersiaran pada tahun 1986.

  • Save

<
Memang banyak gangguan ketika mendengar siaran radio menggunakan frekuensi SW. Kadang-kadang jelas, kadang-kadang tidak. Bunyi sentiasa akan timbul dan tenggelam. Ada masa satu saluran akan bertindih dengan saluran yang lain dengan mengundang pelbagai jenis bunyi.

Saya kebiasaannya mendengar lagu-lagu daripada filemTamil , berita, rancangan-rancangan yang berupa motivasi sosial, drama, cerpen dan cerpen diselitkan dengan lagu sejak sebelum ke sekolah rendah lagi. Lagu-lagu Hindi pula kebanyakan hari saya dengar dari rumah jiran yang berketurunan Pakistan, sekitar pukul empat petang. Jiran itu ada membela beberapa ekor kambing biri-biri dan lembu. Amat indah mendengar lagu-lgu Hindi sambil melihat kambing dan lembu berkeliaran di kawasan rumah mereka. Oleh kerana ada pagar berduri di antara rumah mereka dan rumah kami, binatang peliharaan mereka tidak dapat berkunjung ke kawasan rumah kami. Cuma ayam-ayam peliharaan kami dan mereka bebas melintasi sempadan.

Saya meminati kesemua jenis lagu. Walaupun ketika itu tidak faham  akan maksud yang disampaikan, baik dalam bahasa Tamil dan Hindi, irama lagu yang merdu dan rancak mendapat tempat di hati saya. Begitu juga dengan lagu-lagu Inggeris daripada kumpulan ABBA, BEE GEES, BONEY M dan ERUPTION. Rentak dan irama menggerakkan badan dan hati menjadi ceria.

Saya juga suka menyanyikan kebanyakan lagu-lagu dengan lirik saya sendiri, walaupun lagu-lagu tersebut tidak dinyanyikan sepenuhnya. Bapa akan merakam suara kami adik beradik dalam alat perakam ‘reel to reel’ dan di dalam perakam kaset menggunakan mikropon. Memang saya amat menunggu hari-hari suara saya untuk dirakam. Bila mendengar semula suara saya di alat perakam tersebut, gembira bukan kepalang. Rasa jauh beza suara saya yang didengar dari corong alat perakam tersebut.

Merakam suara sendiri ke dalam alat perakam dan mendengar semula adalah suatu nikmat kegembiraan yang sukar diluahkan. Lebih-lebih lagi melihat alat perakam jenis berpita itu memutar dari satu hujung ke satu hujung amat mengasyikkan. Selepas mendengar, pita itu akan dikeluarkan dan akan dimasukkan ke dalam kotak kecil. Begitu juga dengan kaset. Malangnya kebanyakan rakaman suara kami tidak disimpan dengan baik. Perpindahan ke rumah-rumah lain di kawasan Bentong sudah menghilangkan kesemuanya.  Cuma rakaman yang dibuat di dalam kaset sejak awal tahun 80an masih disimpan.

Oleh kerana sejak kecil lagi  saya sudah terdedah kepada rakaman audio ke dalam pita. Ia masih berterusan semasa di sekolah menengah dan hingga di alam pekerjaan. Bermula daripada kaset, rakaman lagu-lagu kegemaran  masih dibuat dalam bentuk cd dan pendrive hingga kini. Cuma saya tidak seaktif dahulu.

Alat-alat perakam yang dimiliki pada tahun 70an satu persatu tidak dapat digunakan lagi. Begitu juga dengan radio kecil  Philips, sudah rosak pada tahun1981. Pada tahun 1981 kami memiliki sebuah radio jenis Toshiba Bombeat yang  mempunyai alat pemain dan perakam kaset. Toshiba Bombeat itu mempunyai dua speaker dan berbunyi stereo.  Ini amat menggembirakan saya. Saya sudah mula pandai merakam  ke dalam kaset, baik suara sendiri atau rancangan-rancangan radio ketika umur saya yang ke tiga belas. Perakam ini tidak memerlukan mikropon asing sebab mikropon sudah terbina di dalam radio/alat perakam tersebut.

  • Save

<

Bapa saya akan ke Singapura mengunjungi rumah adik-beradiknya dua tahun sekali atau tiga tahun sekali. Bapa  akan pulang ke rumah dengan membawa ole-ole berupa kaset TDK kosong, satu kotak  mengandungi 12 keping kaset.  Harga  murah ketika itu di Singapura.  Membuka kotak yang mengandungi kaset serta membuka bungkusan kulit plastik, kaset kosong itu amat menyeronokkan. Bau kaset baharu itu sendiri menggairahkan. Tangan tidak sabar-sabar untuk memulakan rakaman.

Setiap pagi  seawal jam 5.30 pagi, radio jenis Toshiba Bombeat akan berkumandang dengan lagu-lagu pujaan Hindu. Ibu saya yang tidak arif dalam urusan pengeoperasian radio tersebut, menjadualkan saya untuk membuka radio ataupun memainkan lagu-lagu Hindu dalam kaset dan menutupnya sebelum saya  ke sekolah dalam pukul 6.30 pagi. Begitu juga pada sebelah petang, pukul 6.00 petang hingga 7.00 malam adalah waktu untuk lagu-lagu Hindu dimainkan. Ini berlangsung daripada tahun 1981 hingga 1985 sebelum saya ke Temerloh pada tahun 1986.

  • Save

<

Selain daripada kerja-kerja sekolah dan kerja-kerja lain di rumah, masa senggang digunakan untuk merakam lagu-lagu daripada saluran Radio Malaysia Rangkaian Merah (kini Minnal FM). Kaset kaset TDK D60 minit adalah kegemaran saya berbanding dengan kaset TDK D90 minit. ‘Side A’ 30 minit dan ‘Side B’ 30 minit.  Tidak tahu mengapa saya tak minat kaset TDK atau yang lain yang durasinya 90minit (‘side A 45 minit dan side B’ 45 minit). Mungkin kerana durasinya yang agak panjang. Di pasaran pun yang 60 minit yang paling laris.

Merakam lagu daripada radio ke kaset kosong, bukan boleh dilakukan dengan ikut suka.  Ia memerlukan teknik  tersendiri. Ramai rakan-rakan pada era saya pasti pernah melakukannya dan pasti pakar dalam bidang ini. Persediaan yang rapi perlu dilakukan. Butang ‘record’ dan ‘play’ perlu ditekan pada masa sama, kemudian butang pause perlu ditekan juga selepas itu. Ada setengah-setengah perakam pula apabila butang ‘record’ ditekan, butang ‘play’ akan tertekan secara automatik. Sebelum  kaset dimasukkan ke dalam alat perakam untuk kali pertama untuk setiap ‘side’,  bahagian pita putih  akan kelihatan pada permulaan pita. Ia adalah bahagian itu tidak boleh dirakam. Bahagian putih itu perlu diputarkan  sedikit dengan pen  atau jari sehingga nampak pita berwarna perang. Jari sentiasa perlu berada pada butang ‘pause’. Apabila lagu dimulakan atau selepas juruhebah habis bercakap, butang ‘pause’ harus dilepaskan dan apabila lagu tamat , butang ‘pause’ perlu ditekan semula.  Setelah selesai urusan rakaman baru butang ‘stop’ boleh ditekan. Teknik yang sama perlu diulang untuk setiap lagu. Jika lagu yang kita tidak minat sudah terakam, kita masih boleh rakam semula lagu baharu di atas lagu lama setelah ‘direwind’ pada posisi yang diperlukan.

  • Save

<

Lagu boleh didengar setelah selesai rakaman. Kebiasaannya bunyi tidak 100% sama dengan bunyi daripada radio. Setiap ‘side’ boleh dirakam lima hingga enam buah lagu, bagi jenis kaset 60 minit. Saya masih menyimpan koleksi lagu dan rancangan-rancangan yang dirakam daripada radio. Selain daripada itu, saya juga sering membuat rancangan radio saya sendiri  dan dirakam ke dalam kaset. Saya menjadi DJnya. Kualitinya masih bagus hingga kini. (Bersambung).

*** Gambar ehsan Rewind Museum

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

ESEI | Kaki Wayang Bahagian 1 oleh M. Mahendran

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.