Image by 【中文ID】愚木混株 【ins-ID】cdd20 from Pixabay

Jalan Bangsar sarat dengan kenderaan ketika saya baru turun dari jejantas berhampiran Apartmen Putra Ria. Jam baru tujuh setengah pagi. Saya berhenti seketika di pondok bas, menunduk dan mengemaskan ikatan tali kasut. Rapid KL sampai. Pintu terbuka dan pekerja-pekerja yang setia menunggu pantas naik ke perut bas. Seekor kucing mengiau dan saya menoleh ke arahnya. Kucing berwarna oren dan putih. Berdasarkan rupanya dia sudah tua. Kucing itu menghampiri saya, menggesel-geselkan kepalanya ke kaki saya. Saya agak dia lapar. Ia kucing betina dengan wajah monyok, seakan Grumpy Cat yang terkenal tu. Kemudian saya terfikir dia mungkin teringatkan tuannya yang pernah membelainya dengan baik dan apabila sudah bunting, dia dibuang kerana anak-anaknya yang kecil lebih comel dan si ibu yang sudah tua itu tidak berguna lagi. Tapi boleh jadi kucing ini memang kucing terbiar turun-temurun yang menghuni lorong ini dan mengharapkan belas ihsan penunggu bas untuk memberinya makanan. Saya usapnya perlahan, macam saya usap kucing saya di kampung. Pada telinganya ada luka yang sudah kering. Kucing itu terpejam-pejam. Sedap agaknya dibelai begitu. Di bawah dagunya terasa lembap. Baunya busuk semacam nanah. Kasihan kucing ini. Saya berpusing ke kedai Speedmart, beli sebotol air, tisu dan satu pek kecil makanan kucing. Saya sapu nanahnya dan beri dia makan. Lega melihat dia kenyang.

Saya meninggalkan kucing itu bersimpuh sendirian. Langkah diteruskan sehingga melepasi stesen LRT dan saat melewati kaki lima bangunan kedai, kaki saya terhenti. Ada seekor anjing warna coklat yang gemuk di depan saya. Lidahnya terjelir dan ekornya menegak, dalam posisi defensif. Di belakangnya seorang makcik tua sedang duduk, menjual surat khabar. Melihatkan suasana yang mungkin menjadi tegang itu, makcik tersebut menenangkan anjingnya dengan kalimat ‘sit down’. Anjing yang comel itu terus duduk, mendengar cakap tuannya. Saya menghampiri makcik itu dan bertanya apa namanya. “Nama dia Brown,” balas makcik tersebut. Betapa renungan matanya dan warnanya mengingatkan kepada anjing saya yang pernah dibela dahulu yang kemudiannya mati akibat dirodok babi hutan. Saya minta kebenaran untuk menyapu kepala anjing itu dan makcik itu berkata okey. Tetapi Brown takut. Dia mengelak pabila saya cuba mendekatinya. Saya kata tak mengapalah. “Dia tak biasa,” kata makcik itu. Menurutnya lagi Brown sudah tiga tahun bersamanya. Ia dikutip ketika masih kecil di tapak pelupusan sampah. Saya tidak cerita tentang nasib anjing saya yang malang itu walaupun hati saya hendak memperkatakannya. Brown terkebil-kebil ketika saya melambainya sebelum meninggalkan kawasan itu.

Peluh merinik perlahan-lahan apabila saya memecut di suatu lorong yang tidak sesak. Dari lorong itu saya keluar dan terus melewati Jalan Maarof. Salakan anjing bertalu-talu ketika saya memperlahankan langkah berhampiran kawasan rumah banglo. Mujur kawasan itu berpagar. Kalau tidak, pasti anjing garang itu akan mengejar saya. Dadah terasa berat kesan merokok. Saya berhenti, menyeka peluh dan sempat mendongak. Ada seekor tupai sedang meniti kabel letrik sebelum meloncat ke dahan pokok dan terus menghilang. Saya memerhati celahan pagar, dan terlihat anjing itu. Ia terusan menyalak dan sayup-sayup ingatan dari masa lalu bercambah dalam fikiran. Ketika itu petang dan cuaca sedang redup. Saya dan tiga orang kawan yang tinggal di asrama melompat keluar dari pagar untuk ke padang majlis daerah bagi menonton perlawanan bola sepak. Namun untuk sampai ke situ kami perlu melalui sebuah rumah banglo milik tauke kontraktor yang kaya. Laman rumahnya penuh dengan kenderaan berat seperti lori, backhoe dan excavator. Dan yang lebih menakutkan dia memiliki banyak anjing yang besar dan garang belaka. Kami semua tahu itu. Seorang kawan kami yang suka bercakap besar, Jazlan namanya, telah berkata sebelum melompat dari pagar; “Alah, anjing-anjing tu aku baling je dengan batu, senyaplah diorang”. Kami berjalan dengan berhati-hati dan sampai saja berhampiran rumah banglo agam itu kami bersa lega melihat anjing-anjing tauke itu terlentok lena berhampiran sebuah topekong merah merelip. Saya benar-benar berasa lega sehinggalah entah bagaimana seekor daripadanya terbangun dan terus menyalak sebelum meluru ke arah kami. Jazlanlah yang mula-mula membuka seribu langkah. Anjing-anjing lain terbangun dan ikut mengejar. Cuma seorang kawan saya, yang pendiam, tidak bergerak dan berdiri tegak sebelum, menunduk mengambil seketul batu dan mengacah baling ke arah anjing-anjing itu. Saya ketika itu berasa aneh. Anjing-anjing itu terdiam dan berundur. Sekarang melihat anjing itu menyalak dengan nyaring, saya berasa hendak mengutip batu dan membaling ke arahnya. Tapi saya membatalkan hasrat itu. Ah, mereka cuma menjaga rumah tuan mereka.

Bukan saja alam yang mengajar kita tetapi haiwan juga. Kerana itu tidak sedikit perumpamaan atau peribahasa yang menyertakan haiwan atau perlakuan mereka. Kita mengambil pengajaran daripada mereka. Kita belajar gerakan-gerakan mereka dan mengaplikasikannya dalam bentuk seni bela diri atau teknologi. Tetapi bukan kita saja. Mereka juga mengikuti kita, mencermati perlakuan kita dan memerhatikannya dengan penuh rasa ingin tahu. Kadang, mereka perlu bertindak dan menjadi agresif demi kepentingan mereka.

Saya kini tinggal di kampung berhampiran hutan simpan yang tebal. Boleh dikatakan setiap waktu asal keluar menapak dari rumah dan memandang sekilas baik ke arah kabel letrik, celahan dedaun hutan atau di halaman rumah saya dapat melihat monyet, beruk, tupai, itik, ayam, kucing dan banyak lagi haiwan-haiwan. Setiap pagi saya akan berjalan kaki dari rumah, menyusuri bahu jalan raya sepanjang 2 kilometer, membelok ke kanan dan masuk ke satu denai yang terus melurus sehingga ke kaki bukit. Dan saya akan terus mendaki bukit itu dengan perlahan sambil cahaya matahari menyusup perlahan melumurkan kuningnya, dan angin dingin bertiup menjamah kulit muka sehinggalah sampi ke puncak dengan termengah-mengah serta percikan peluh. Sepanjang jalan itu saya diperhatikan mereka. Haiwan-haiwan yang jinak dan liar.

Di puncak bukit separa gondol itu saya membuang pandang ke arah kanan. Hutan masih tebal tetapi saya fikir tidak lama lagi kawasan itu juga akan ditarah. Dahan-dahan pokok bergoyang. Kera-kera berwarna kelabu bergayut dari satu dahan ke satu dahan. Sambil duduk, saya sempat mengira mereka. Ada dalam lebih kurang 15 ekor termasuk anak-anak kecil yang tergantung di bawah perut ibu mereka. Saya tahu ke arah mana mereka hendak tuju. Di seberang sana, turun dari kawasan bukit, terdapat kebun pisang milik seorang pesara kerajaan. Saya pernah berkunjung ke kebun itu dan berbual dengan tuannya, Haji Dol. Dia memberitahu memang kerap binatang hutan datang seperti kera, monyet dan babi. “Kadang-kadang aku biarkan aje. Kadang-kadang aku bakar mercun untuk halau mereka,” katanya bila aku bertanya bagaimana dia menghalau haiwan-haiwan itu. Bukit yang selalu saya lepak ini sebenarnya ada jaga – tiga ekor anjing masing-masing berwarna coklat, hitam dan putih. Di kaki bukit ini ada sebuah rumah yang dihuni dua orang pekerja asing. Anjing-anjing itu diberi makan oleh mereka. Saya tidak lepas naik ke bukit sebab anjing-anjing itu menjaganya dan tidak takut langsung apabila saya cuba membaling batu. Tapi itu dua tahun lepas. Sekarang pekerja itu sudah tidak ada lagi. Anjing-anjing itu pula semakin membesar walaupun tubuh mereka sangat kurus – tidak seperti Brown atau anjing-anjing milik tauke kontraktor. Setiap pagi juga anjing-anjing itu seperti saya, menysuri bahu jalan raya untuk mencari makanan. Kadang-kadang ada bungkusan sampah. Ia akan menyelongkarnya dan mencari apa makanan yang ada. Saya terfikir, apakah ia belajar dari saya atau kerana kelaparan telah mendorong mereka keluar dari kawasan jagaan mereka? Malah tiga ekor itu beberapa kali masuk ke kawasan tanah rumah saya, ke ke kawasan belakang dan cilok sedikit makanan angsa dan itik peliharaan keluarga saya. Kadang-kadang saya nampak dengan mata saya sendiri tapi membiarkannya saja kerana mereka kelihatan sangat terdesak. Tidak lama kemudian saya terlihat tiga ekor anjing itu di perkarangan rumah Haji Dol yang terletak dekat kebunnya juga. Saya nampak dengan mata saya sendiri, Haji Dol memberi makanan kepada mereka dan kemudian stelah habis makanan itu, tiga ekor anjing tersebut mengekori dia ke mana saja. Betapa lega hati saya.

Apabila saya berbaring sebelum melelapkan mata, sambil membelai kucing saya yang montel, saya teringatkan kucing di Jalan Bangsar itu dan kucing-kucing jalanan lain yang bertarung untuk kekal hidup dan anjing-anjing terbiar yang taruma dengan manusia sebelum dijangkiti penyakit lalu menyerang manusia, nasib monyet, kera dan beruk di hutan yang mencari makanan untuk terus bernafas dan semua itu terhapus pabila mimpi menelan saya.

  • Save

Jauhar Senapi pernah tinggal di Kuala Lumpur sebelum menetap di kampung. Dia menulis sajak dan esei yang pernah tersiar di web Tukang Puisi dan akhbar Selangorkini. Koleksi puisinya Recik Elektrik yang Menjamah Tubuh akan diterbitkan Laras 99 tidak lama lagi.

Ingin siarkan cerpen atau anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.comBanyak lagi cerpen disini