Dia tahu kalau dia pulang, ibunya akan bertanya, “Bila nak kahwin? Umur dah semakin meningkat. Ibu ada beberapa orang calon. Cubalah tengok dan bagi persetujuaan. Kalau kamu berkenaan dengan sesiapa, boleh juga kamu bagi tahu ibu atau ayah. Lagipun, ibu sudah tua. Bolehlah menantu ibu membantu ibu di dapur bila dia senang.”

Kahwin, kahwin, kahwin.

“Kamu bukannya muda lagi. Sudah ada pekerjaan yang baik. Kereta dan rumah juga sudah dimiliki. Gaji kamu juga sudah cukup untuk kamu mendirikan rumah tangga. Boleh cuba fikirkan untuk mencari teman hidup dan settle in life,” sambung ayahnya pula.

Semua itu tidak menghiraukan dia. Dia tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga. Tapi, tahun ini dia telah membuat keputusan. Dia telah bertekad. Masanya sudah tiba. Ya, inilah masanya. Dia tidak boleh berdiam diri lagi. Dia akan memberitahu ibu dan ayah.

Akhirnya dia akan pulang juga. Pulang dengan keresahan.  Pulang untuk menunaikan janji ayah. Dia akan pulang pada tahun ini. Kepulangannya akan menjawab persoalan ibu dan ayahnya.

Dia akan balik untuk menyambut perayaan tahunan di kuil keluarganya di Parit Buntar, tempat kelahiran dia. Keluarganya menguruskan segala pentadbiran kuil tersebut sejak turun-temurun walaupun tidak lagi menetap di tempat itu. Mereka telah berpindah ke pekan Parit Buntar sejak 15 tahun yang lalu. Jiran-jiran dan saudara-mara juga akan turut serta. Walau dimana jua mereka berada, mereka akan cuba kembali untuk perayaan tahunan ini. Begitulah eratnya hubugan yang disemai oleh kehidupan di kawasan luar bandar suatu ketika dahulu. Semua akan bersama untuk majlis keriangan dan kegembiraan. Begitu juga sebaliknya, apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, semua saudara-mara akan turut serta.

Ayahnya ingin dia pulang untuk upacara thiruvizha, upacara berwarna-warni dengan bunyi gendang yang diraikan setahun sekali di kuil berkenaan. Perarakan paal kudam dan kavadi akan memeriahkan lagi thiruvizha tersebut. Semasa kecil dan sehingga beberapa tahun yang lepas, dia tidak ketinggalan membawa kavadi bersama ahli keluarga. Dia masih ingat kemeriahan suasana tersebut. Setiap ahli keluarganya akan turut serta dalam perayaan ini. Yang lelaki akan membawa kavadi, manakala yang perempuan akan membawa paal kudam. Ini satu cara untuk berterima kasih kepada Yang Maha Esa yang sentiasa memberkati keluarga dia.

Sejak tiga tahun yang lalu, sejak dia menetap di Bangkok, dia tidak pulang dan tidak pula menyertai upacara sembayang tersebut. Dia mendapatkan ketenangan di Bangkok. Kehidupan baharu.

Dia tidak dapat balik untuk perayaan tersebut. Bukan tidak dapat balik. Sebenarnya, tidak ingin balik. Sebaliknya, dia hanya berhubung melalui Skype bersama ayah, ibu dan adik-beradiknya. Selepas itu, dia buat senyuman sinis pada semua menunjukkan dia telah hadir pada skrin komputer dan semua boleh melihat dia dan memberikan ucapan khabar baik kepadanya.

Tahun lepas, memang dia berjanji juga. Dia berjanji akan balik seminggu lebih awal semata-mata untuk menolong ayahnya membuat persiapan di kuil. Tetapi, janji tetap janji. Dia tidak balik dan tidak muncul. Dia hanya menyampaikan ucapan melalui WhatsApp. Ucapan melalui WhatsApp lebih cepat dan mudah. Lagipun, telefon pintar mengeratkan mereka yang jauh.

Dia lebih rela berada di tempat dia bekerja. Dia seakan-akan sangat berminat untuk membantu dan bersama mereka yang tiada sokongan moral dan keluarga. Bukan seakan-akan, tetapi memang itu yang dia minat. Dia berasa sungguh tenang. Sambutan hari kanak-kanak tahun lepas, bersama anak-anak istimewa, dia rasa seronok. Rasa ceria bersama mereka, sambil menyanyi lagu-lagu nursery rhymes dan menari bersama anak-anak kurniaan Tuhan. Lagi meriah apabila temannya juga sentiasa menyokong hasratnya.

Petang tadi, dia berbincang dengan temannya, Pat, yang masih membaca buku, “The Professor” karya Faisal Tehrani yang telah diterjemah dalam Bahasa Inggeris oleh Brigitte Bresson sambil merokok di balkoni. Dia menjeling temannya yang masih memegang puntung rokok. Dia telah lama menyuruh temannya untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya. Tetapi, temannya telah berjanji akan berhenti untuk anak angkat mereka, Pinky. Pinky, anak kesayangan mereka yang diambil dari sebuah rumah anak yatim kini akan mempunyai kehidupan yang cerah dan menyerikan hidup mereka berdua. Pinky memberikan kebahagiaan kepada mereka.

Anak angkat mereka, Pinky telah lama tidur di atas riba Pat. Salah seorang anak istimewa yang mereka berdua telah berjanji akan menjaga dengan baik. Pat faham situasi yang dihadapinya. Memang satu dugaan yang besar. Pat telah berjanji akan bersama dia dalam apa jua situasi.

Pagi esok, dia sampai di Parit Buntar, di rumah ibu dan ayah. Penerbangan dari Bangkok telah berlepas jam 5 pagi tadi ke Pulau Pinang. Dari Pulau Pinang mereka bertiga menaiki Grab ke Parit Buntar.

Sampai di rumah, ibunya membuka pintu dengan gembira. Bau kemenyan menyamankan suasana. Ibunya takjub melihat anak lelakinya berdiri di depan pintu sambil berpegang tangan dengan seorang pemuda dan seorang kanak–kanak. Dia pula terus perkenalkan Patrick kepada ibunya dan masuk ke dalam rumah. Ibunya hanya tergamam.

*** Gambar ehsan Pablo Heimplatz di Unsplash.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

CERPEN | “Nak Pergi Sekolah…” oleh Murali Mohan

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.