Foto Haidee Sabbun dari Unsplash

Tap, tap, tap.

Jatuhan manik kristal dari awan-gemawan bercerau-cerau menimpa tanah. Manusia di luar bangunan berkejaran mencari atap untuk berteduh. Tetapi tidak Aira, si gadis cantik dengan payung berwarna pelangi. Dia berjalan lenggang di bawah tangisan langit sambil memegang gagang payung dengan kanopinya yang dikatup kemas. Hanya harapan menjadi bumbung kepada senyuman yang masih kering di bibirnya daripada lokos ditelan hujan.

Terjongket-jongket dia melangkah dari satu lopak air ke satu lopak air yang terbentuk dek lubang-lubang di asfalt. Dan apabila ada mata-mata yang meneliti setiap perinci lenggoknya, dia menghadiahkan segaris senyuman dan sebaris ayat, “ semoga awak bahagia hari ini!” sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat. “Adakah dia ini edan atau sekadar mengejek” , getus mereka-mereka yang sedang memerhatikannya.

Molekul air yang berjejatuhan di tubuh genitnya tidak dihiraukan, dia terus berjalan sambil mengumam lagu-lagu liris yang secocoknya untuk suasana yang dingin dan sugul. Sedang dia menyanyi-nyanyi lirih, anak matanya menangkap sesosok tubuh yang sedang berteduh di dalam pondok telefon berdinding transparent berdekatan taman permainan. Lelaki itu ditemani kegusaran di wajahnya dan sekaki payung berwarna hitam yang bersandar megot pada dinding lutsinar pondok telefon itu. Seperti ada  tarikan magnet, Aira mengatur langkah, semakin mendekat kemudian mengetuk pintu pondok telefon itu beberapa kali. Lelaki berbadan tinggi dan berkumis nipis menolak-buka pintu bermaterial kaca itu kemudian, “ ya, kenapa?”

Aira memandang tepat ke wajah lelaki itu, memberingis menampakkan barisan giginya yang tersusun rapat kemudian, “ hai! buat apa sini?” Soalan lelaki itu dijawabnya dengan satu soalan yang lain.

“Saya berteduh,” jawab lelaki itu ringkas.

Mendengar jawapan daripada lelaki berkumis nipis itu membuatkan dahi Aira berkerut sehinggakan kedua-dua belah kening kiri dan kanannya hampir bertemu, “ eh! Kan ada payung tu? Kenapa tak guna?”

“Payung tak melindungi saya dari hujan. Setiap kali saya memegang payung untuk pulang, derapan hujan seperti seekor raksasa yang sedang merobek setiap teduhan dan mengembalikan saya pada jalan kenangan.”

“Kenangan apa?”

“Ya, kenangan. Tentang hujan.”

“Oh, okay. Awak ni peliklah.” Balas Aira acuh tidak acuh. Baginya tidak ada guna berkira-bicara secara detil atau bertele-tele dengan orang asing yang baru sahaja sepuluh minit bersua.

Lelaki itu tersenyum senget dengan gaya yang penuh sindiran kemudian balas, “ awak pun pelik, ada payung tapi tak guna.”

Aira menghembus nafas berat, langsung mendudukkan tubuhnya di hadapan  pondok telefon di mana lelaki itu sedang berdiri di dalamnya. Hujan masih lebat menjotos tubuh kecilnya, dengan sehela nafas dia jawab, “ saya nak jadi pelangi.”

“Pelangi? Kenapa?” Kening tebal lelaki itu sedikit terangkat kesan refleksi dari perasaan tanda tanya yang datang secara tiba-tiba.

“Saya nak jadi pelangi, pelangi yang muncul dalam kesuraman hujan. Saya nak nampak bahagia macam pelangi. Itu sahaja.”

“Awak rasa bahagia macam tu?”

“Saya nampak bahagia.”

“Tapi awak tak bahagia, kan?”.

Aira memandang lelaki itu dengan tanda tanya, lelaki itu seperti dapat membaca kebenaran yang bertakung di kolopak matanya. “Mana awak tahu?” Soalnya ringkas.

“Gerimis di alis awak adalah jawapan dan saya lebih kenal hujan. Saya tahu mana satu hujan, mana satu air mata.” Balas lelaki itu bersahaja.

Raut wajah Aira sedikit berubah, ada garis kesedihan yang tidak dapat disembunyikan lagi dengan warna-warna kepuraan yang dia lukis pada riak wajahnya .

“Bila hujan turun, jalan-jalan menjadi lenggang dari muka-muka yang bermata tetapi tidak bertelinga, jadi saya bebas ke mana sahaja saya mahu. Manusia lebih suka melihat daripada mendengar. Kerana itu mereka lebih sukakan pelangi yang munculnya sementara dan perginya tiba-tiba daripada mendengar bunyi hujan yang kerap turun dan menari di dalamnya.”

Aira berhenti bicara untuk seketika, memindah fokus pandangannya ke arah langit yang menurunkan butir-butir jernih kemudian sambung, “ sebab itu, bila hujan turun, saya berjalan di dalam rintiknya tanpa payung. Saya berkongsi kesedihan yang sama dengan hujan dan memakaikan senyuman di wajah supaya mereka-mereka yang menantikan kemunculan matahari dapat melihat pelangi yang muncul dalam perasaan-perasaan basah. Saya harap mereka akan lebih sukakan hujan apabila saya yang menjadi pelangi di dalam. Saya ingin menjadi genesis untuk senyuman mereka walaupun ianya hanya sekadar fiksi.” Sesudah menutur ayat terakhir, Aira memeluk lutut kemudian menyembamkan mukanya di kepala lututnya itu. Esakkan ghobar di dada kedengaran melankolis di peti suaranya.

Lelaki berkumis nipis itu menapak beberapa langkah, keluar dari pondok telefon yang melindungi dia daripada cengkaman hujan yang merobek lembaran memori. Baju kemeja ditubuhnya sudah ditompokkan hujan. Dia menyentuh lembut bahu Aira kemudian, “awak bukan pelangi, awak cuma sunyi.”  Bisiknya.

Aira mengangkat pandangannya ke atas, kelihatan tubuh lelaki itu sedang berdiri di hadapannya.“ Dan awak pula tidak takutkan hujan, awak cuma takutkan kenangan.”  Kata Aira bersuara lirih.

Lelaki itu mengangukkan kepalanya beberapa kali mengiyakan kenyataan dari Aira kemudian merendahkan tubuhnya separas tinggi Aira yang sedang duduk memeluk lutut. “Letakkan pelangi di tangan awak bukan di wajah. Jika awak inginkan bahagia, lakukan sesuatu yang membahagiakan bukan memakai bahagia untuk nampak bahagia. Pelangi itu ada di tangan awak sekarang, buka dan temankan saya pulang, bolehkan?”

Deru angin dan bunyi hujan tidak menunjukkan tanda-tanda ingin reda. Aira bangun dari duduk, kemudian membuka payung yang sedang dia genggam dengan lima jarinya. “ Masuklah, payung ni cukup untuk kita berdua”. Ajakkan Aira disambut anggukkan dari lelaki itu dan di bawah bukaan payung yang sama mereka melangkah pergi sambil menari-nari di dalam hujan dan tertawa girang apabila percikan hujan sesekali menjiwit pipi mereka, membasuh semua kenangan dan memunculkan senyuman yang baru. Jauh di belakang, kelihatan payung berwarna hitam milik lelaki itu masih berlipat kemas dan ditinggalkan bangkar di dalam pondok telefon berdinding lutsinar tanpa dihiraukan lagi.

  • Save

Nieyna J. Seorang graduan Kejuruteraan Kimia kelahiran negeri Jelapang Padi. Giat menulis cerpen dan puisi secara eceran. Karya-karyanya pernah diterbitkan di Cukaria, Jalan Telawi, Selangorkini, Utusan Malaysia, Litzin Kerja Tangan Isu N, Tukang Puisi dan IamLejen. Dan juga tiga buah Zine, Semerdu Not-Not Jazz dan Kamu, Transparant dan Poesy keluaran Delegasi Pujangga Pitas.

Ingin siarkan cerpen anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.comBanyak lagi cerpen disini