“Cantik mummy. Cantik baju Nitesh” kata Si Comel itu ketika ibu menggosok pakaian seragam Nitesh. Ibu seronok melihat kanak-kanak yang sudah bersedia  secara fizikal dan mental untuk bersekolah. Sebenarnya ibu berasa risau tentang Nitesh yang selalunya menangis semasa dihantar ke rumah mak cik yang mengasuhnya.

“Janganlah nangis, Nitesh. Mummy nak pergi kerja. Nitesh duduk dengan mak cik. Nanti, lepas habis kerja, mummy akan bawa Nitesh balik.” Begitulah pujukan ibu setiap hari ketika menghantarnya ke rumah pengasuh.

Tetapi sekarang bukan begitu. Keesokan hari, hari kedua Nitesh pergi ke Taska Adik Ceria. Dia teruja. Dia lebih suka pergi taska jika dibandingkan dengan rumah mak cik pengasuh itu. Muka yang selalu bermasam pada waktu pagi bertukar ceria pada hari pertama Nitesh bersekolah.

“Sudah siap menggosok baju Nitesh. Mummy letak baju Nitesh di dalam almari Nitesh, baik?” kata Ibu kepada Nitesh sambil membawa pakaian segaram baharu itu ke bilik Nitesh.

Itulah cara ibu yang selalu berbual dengan Nitesh. Biasanya akan memberitahu setiap perkara yang dibuatnya kepada dia. Ibu pernah belajar dalam buku “John Medina” yang mengatakan cara mengasuh anak-anak dengan baik dan betul.

“Baik, mummy. Jom tidur.” jawab Nitesh sambil menarik tangan kanan ibu. Ibu sempat mengambil buku Ramayana di atas meja bilik Nitesh sebelum membawanya ke bilik sebelah. Ya, Nitesh belum tidur berseorangan walaupun sudah mempunyai bilik tidur sendiri.

Ibu mula bercerita tentang “swayamvaram” (sayembara) Rama dan Sita yang terkandung dalam buku Ramayana itu. Selepas beberapa minit Nitesh telah tidur lena di betis ibunya. Ibu mengusap rambut dan mencium dahinya sebelum mendukung dan membaringkannya di sebelah.

Keesokan hari, Nitesh tidak menangis juga. Dia seronok dengan pakaian seragam baharu. Lagi-lagi dengan pakaian seragamnya yang berwarna merah jambu, warna kegemarannya. Ibu menghantar Nitesh ke taska dan meneruskan perjalanannya ke tempat kerja. Ibu menggosok-gosok matanya yang pedih setelah sampai ke tempat ibu bekerja.

“Aduh! Pedihnya! Ini mesti kerana termasuk habuk. Petang nanti mesti kena beli topi keledar bagi Nitesh. Aku sendiri tak boleh tahan pedihnya, apatah lagi kanak-kanak kecil itu. Tidak! ”ibu bermonolog sambil meletakkan jarinya di mesin perakam waktu.

Nitesh dihadiahkan dengan sebuah topi keledar berwarna merah jambu semasa ibu menbawanya dari taska. Kebetulan waktu rehat ibu juga pada pukul 12 tengah hari, dia sempat meluangkan masa dengan Si Comel itu sebelum menghantar ke rumah pengasuh.

Nitesh sangat gembira dengan topi keledar itu dan berterima kasih kepada ibu yang membelinya. Itulah sikap Nitesh yang senantiasa mengucap terima kasih apabila orang memberikan sesuatu kepadanya.

Pada malam itu, selepas ibu mengambil Nitesh dari rumah pengasuh, Nitesh sudah mula bercerita tentang perkara-perakara yang berlaku di taska. Belum sempat ibu bertanya apa-apa tentang pengalaman hari kedua taska, dia pula sudah mula menceritakan sendiri.

Mummy, hari ini Nitesh bermain dengan tanah liat. Nitesh buat kerusi, meja, komputer riba, botol susu dan sebagainya. Hari ini seronok main tanah liat.” Lebar senyuman Nitesh menceritakan pengalamannya.

Ibu tidak gembira dengan cerita Nitesh. Walaupun telinga ibu mendengar cerita si Comel itu, tetapi hatinya sering mengingatkan berita sedih yang dibawa pulang daripada taska. Ibu juga sedih melihat Nitesh yang teruja menceritakan pengalaman hari keduanya. Sedih dan risau.

Ibu merisaukan perkara yang telah diberitahu oleh guru taska Nitesh tengah hari tadi. Ibu risau Nitesh akan menangis jika mengetahui berita yang sedih itu. Berita yang akan menyinggung perasaan Nitesh juga.

“Bagaimanakah saya akan memberitahu berita ini kepada Si Nitesh? Bagaimana saya akan memaklumkan esok diberi cuti kepada beberapa sekolah dan taska kerana mengalami jerebu yang teruk?” Ibu bermonolog sambil membawa Nitesh ke bilik tidur.

Keesokan hari, Nitesh sudah mengurangkan kerja telefon pintar ibu yang selalu mengejutkannya. Nitesh bangun awal dan hendak bersedia untuk ke taska hari ini. Si Comel itu masih belum mengetahui tentang cuti khas itu.

Sayang” lembut suara ibu memanggil Nitesh. “Hari ini sekolah cuti, sayang.”

Kata ibu dengan nada yang lembut.

No! Nitesh nak sekolah. Mummy jangan tipu.” Marah Nitesh sambil membuka bajunya untuk bermandi pagi.

“Tidak, memang sekolah diberi cuti hari ini. Semalam cikgu Nitesh beritahu Mummy.”

“Noooo” jerit Nitesh dan air matanya menuruni pipi.

Ibu tidak sanggup melihat Si Comel menangis teresak-esak. Tetapi apa yang ibu boleh buat, jika itu yang ditakdirkan-Nya. Jerebu di mana-mana seluruh negara. Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan yang sangat tidak sihat sejak pagi tadi. Sebanyak 138 sekolah di Sepang, Hulu Langkat, Petaling Perdana dan Klang juga akan ditutup.

“Ibu hantar Nitesh ke rumah mak cik hari ini. Esok masih boleh pergi ke sekolah, sayang.” Ibu menanam tebu di tepi bibirnya.

Pasti ibu tidak membenarkan Nitesh pergi ke taska dalam keadaan sebegini. Ibu merisaukan kesihatan Nitesh. Apakah boleh dibuat jika hidungnya kerap berair, kerongkongnya terasa gatal-gatal dan batuk-batuk juga? Bagaimana kulit badannya terasa gatal-gatal, dan  sukar untuk bernafas atau sesak nafas?

“Tidak, tidak! Baik aku menyimpan anak aku di rumah atau dihantar ke rumah mak cik pengasuh yang berada di lorong sebelah. Oh! Patutlah mata aku pedih semalam! Ya, Tuhanku. Aku sendiri tak boleh tahan kesakitan itu, apatah lagi anak aku yang kecil yang belum mengenali pelbagai perasaan manusia ini. Baru anak aku ingin belajar dunia, Engkau sudah hentikan dengan malapetaka sebegini. Walaupun pendidikan penting, kesihatan anak aku lagi penting bagi aku sebagai seorang ibu.“

Akhirnya Nitesh bersetuju untuk pergi ke rumah mak cik pengasuh dengan pujukan bahawa kanak-kanak di rumah mak cik juga tidak bersekolah hari ini. Bolehlah dia bermain-main dengan kanak-kanak itu.

Asap berkepul-kepul di luar sana. Penglihatan ibu juga menjadi semakin kabur semasa menghantar Nitesh ke rumah pengasuh. Warna kenderaan di depan pudar kerana jerebu menutupi badannya. Kereta buatan negara atau luar negara, kenderaan besar atau kecil, semuanya sama di mata malapetaka jerebu ini.

Motosikal ibu lantas menuju ke farmasi berdekatan dengan tempat pekerjaannya untuk membeli penutup muka N95 bagi Nitesh.

*** Gambar ehsan Mwesigwa Joel di Unsplash.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

CERPEN | Surat Maut oleh Kaljit Kaur

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.