Aku masih perhati. Perhati dengan teliti. Kiri dan kanan. Depan dan belakang. Aku sentiasa berhati-hati. Kalau aku ditangkap pun, aku pasti berjaya melepaskan diri. Aku akan terus lari dan lari. Sudah beberapa hari aku perhati. Bahkan sudah beberapa minggu dan bulan aku perhati. Hari ini misi aku akan bermula. Aku akan masuk ke dalam ruang dapur rumah besar berwarna putih itu. Sebelum ini, aku hanya perhati sahaja. Memandang rumah yang bersih, cantik, kemas dan tersergam indah. Kadang-kadang, aku mengintip melalui tingkap. Semuanya cantik dan tersusun rapi di dalam rumah. Memang rajin tuan rumahnya. Tapi, anak-anaknya asyik menghadap telefon bimbit sahaja. Siang dan malam. Teruk betul anak-anak zaman sekarang.

Tuan rumah ini suka benda-benda yang unik. Semuanya dibuat dan disusun mengikut citarasa tersendiri. Aku belum pernah tengok rumah sebegini di kawasan ini. Memang cantik. Siap diadakan kenduri kerana berjaya menyiapkan rumah yang seumpama mahligai idaman beberapa bulan yang lalu.

Aku sudah lama merancang dan hari ini akan laksanakan projek pertama aku. Aku akan ambil botol madu yang baru di beli oleh tuan rumah. Botol yang masih belum dibuka itu diletak di tepi peti sejuk bersama botol-botol lain seperti botol kicap dan sos cili serta sos tomato. Pintu dapur terbuka luas. Ini peluang yang baik. Mesti tuan rumahnya lupa mengunci pintu. Aku segera melangkah masuk dan mengambil botol madu tersebut. Aku menguntum senyuman sinis. Aku berjaya. Aku berjaya melarikan diri daripada tuan rumah tanpa meninggalkan sebarang tanda-tanda yang mencurigakan. Sebenarnya, banyak sangat barangan dalam rumah ini. Entah sedar atau tidak tuan rumahnya tentang kehilangan madu ini. Aku tidak kisah. Apapun, misi aku berjaya.

Hari ini, aku, isteri dan anak-anak akan menikmati madu lebah asli daripada Cameron Highlands. Tuan rumah telah membelinya semasa pergi bercuti pada masa cuti sekolah yang lepas. Sudah lama aku ingin memiliki madu tersebut dan akhirnya aku berjaya. Sedap sehingga boleh menjilat jari.  Mesti anak-anakku berasa seronok. Anak-anakku sungguh gembira melihat botol madu itu. Mereka menyapu madu pada pisang dan makan dengan penuh selera.

Esok dan lusa juga rancangan aku akan berjaya. Esok, aku akan ambil kacang yang disimpan dalam dua biji botol di tepi dapur gas. Di tepinya, ada dua tempayan kecil yang diisi garam dan satu lagi tempayan diisi dengan asam jawa. Orang rumah ini suka memasak sambil makan kacang rasanya. Esok botol kacang itu akan menjadi milikku. Kacang akan dikongsi bersama oleh anak-anakku. Aku begitu yakin misiku akan berjaya kerana setiap petang tuan rumah akan membuka pintu belakang dan biarkannya terbuka untuk beberapa jam. Masa inilah aku akan melaksanakan misi aku. Misi MOMO. Itulah nama yang diberi oleh anak-anakku untuk misi ini.

Lusa pula, aku akan cuba ambil biskut dalam tin. Kalau tidak dapat tin, biskut yang masih dalam paket akanku larikan. Biskut coklat cip yang ranggup. Semestinya lazat. Aku telah berjanji dengan anak-anakku untuk mendapatkan semua makanan yang istimewa untuk mereka. Biarlah mereka rasa. Biar mereka seronok. Aku tidak sanggup melihat anak-anakku kelaparan.

Pada hari seterusnya, aku dapati pintu belakang berkunci. Tapi, kereta masih ada. Ini bermaksud tuan rumah masih ada di rumah Mungkin sedang berehat dalam bilik tidur. Aku seolah-olah tahu segala pergerakan tuan rumah ini.

“Aii…”, bisik hati kecilku. “Mana pula perginya orang rumah ini. Biasanya, setiap petang ada di rumah sambil menonton drama Korea di televisyen.”

Habislah, hari ini anak-anak dan isteri aku tiada makanan. Aku terpaksa mencari di tempat lain pula. Tidak apa. Aku akan mencuba lagi. Pada keesokkan harinya, pintu masih terkunci lagi. Aku baru sedar bahawa tuan rumah telah mengetahui tentang pencerobohan aku. Aku naik marah. Aku geram. Aku mengambil sebiji batu dan baling pada cermin tingkap bahagian dapur. Pecah berkecai. Padan muka kau. Kau bersihkanlah serpihan kacatu. Buatlah sesuatu daripada hanya menonton televisyen.

Beberapa tahun yang lalu dan sehingga enam bulan yang lepas, aku dan anak beranak bersukaria di kawasan tersebut, di kawasan rumah putih itu. Jiran aku juga seronok. Kami memang rapat. Sentiasa tolong menolong dan bertoleransi antara satu sama lain. Setiap petang, kami sekeluarga akan duduk bersama-sama dan menikmati buah-buahan yang ada di dusun tersebut. Sangat seronok apabila duduk bersama ahli keluarga sambil menikmati buah-buahan tempatan. Lagi meriah sekiranya jiran sebelah rumah juga bersama kami. Kami bersembang hal-hal dunia dan politik serta hal-hal berkaitan anak-anak. Jarang sekali kami berbincang tentang hal berkaitan dengan kesihatan dan makanan. Maklumlah, duduk di kawasan kampung, makanan sentiasa ada dan udara yang nyaman tidak menyukarkan kesihatan kami sekeluarga serta jiran tetangga.

Anak-anak kami pula akan ceria bermain kejar-kejar dan gelak ketawa. Satu suasana yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Suasana inilah yang aku sentiasa harap anak-anak aku akan kekalkan. Kami hidup tanpa mengganggu sesiapa. Kehidupan yang aman dan damai.

Tetapi kini, aku terpaksa merancang strategik untuk mangambil barang serta makanan daripada rumah putih itu. Hanya kerana tanah yang aku duduki selama bertahun-tahun telah dibuat rumah. Aku terpaksa bermusuhan dengan jiran aku kerana separuh daripada tanahnya dan separuh daripada tanah aku telah digunakan untuk mendirikan rumah. Dulu, kami begitu rapat, tetapi kini kami berpaling tadah hanya kerana sebuah rumah. Rumah putih itu telah memusnahkan kehidupan aku dan keluargaku serta jiran-jiranku. Kami kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan.

Hanya kerana sebuah rumah, habis musnah kehidupanku. Musnah masa depanku. Musnah masa depan anak-anakku. Kini, Misi MOMO akan diteruskan. Aku akan teruskan projek ini dengan kehancuran dan kemusnahan. Aku bukan lagi akan mengambil makanan daripada rumah putih itu, tetapi aku akan mulakan misi kebinasaan.

Pasu bunga dihadapan rumah akanku pecahkan. Telur yang disimpan di dapur akanku pecah-pecahkan di atas lantai. Begitu juga dengan cawan dan pinggan yang tersusun kemas, semunya akanku hancurkan. Aku juga akan bergaduh dengan jiranku. Pergaduhan yang kau mulakan wahai Tuan Rumah Putih. Aku akan bergaduh dihadapan rumah kau. Kau tidak akan tenteram lagi. Kau telah merampas ketenanganku. Aku juga akan merampas ketenanganmu. Nantikanlah, wahai Tuan Rumah Putih. Misi MOMO akan berterusan sehingga kau mencari tempat baharu.

*** Gambar ehsan Mike Dorner di Unsplash.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

CERPEN | Tentang Kisah Ali dan 40 Orang Penulis oleh Aliaa Alina

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.