Pertemuan Chitragupta Abhimanyu dengan pelabur Chesterfield D’ Souza di sebuah restoran lima bintang di hotel Sukhumvit Grande Hotel, Bangkok mesra sekali antara pemuda dari Malaysia dengan pemodal teroka dari Portugal.

“Terdapat pola kebangkitan pemimpin berhaluan kanan di Asia. Ini jelas apabila kita melihat kemenangan Trump, Modi dan Duterte,” kata Chitragupta ketika membicarakan trend politik semasa sambil merujuk kepada pemimpin tertinggi Amerika Syarikat, India dan Filipina.

“Saya setuju. Perkara ini juga berlaku di Hong Kong tetapi ia ditentang oleh rakyat, mengakibatkan protes selama berminggu-minggu,” kata D’ Souza yang sememangnya arif dengan perkembangan politik di rantau Asia.

Kehadiran pelayan restoran menghentikan perbualan mereka seketika. Hidangan pelbagai makanan dan minuman ditempah.

Chitragupta mula menceritakan persamaan dan kelainan pentadbiran kerajaan baru, Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia begitu khusyuk sehinggakan tidak menyedari suatu perubahan yang berlaku di hadapannya.

Anak mata D’ Souza mula mengecil. Tumpuan yang sebelum ini diberikan kepada pemuda di hadapannya pudar.

Chitragupta terkejut apabila D’ Souza terjatuh ke belakang bersekali dengan kerusi yang didudukinya. Hentakan kepala ke atas lantai di restoran tersebut menyebabkan luka di kepala dan berdarah.

Lebih mengejutkan lagi adalah darah yang membuak keluar mulut D’Souza. Darah meliputi mulut dan pipinya. Buih darah juga kelihatan di hujung bibir.

Dalam keadaan tidak sedar, dia menggigit lidah hingga berdarah tetapi mulutnya tidak terbuka. Aliran darah merah mengalir dari mulut ke dahi sebelum menambahkan kebasahan darah di kepalanya.

Chitragupta terkejut dengan perkara yang berlaku di hadapannya.  Apa yang perlu dilakukan? Fikirannya buntu. Dia tidak tahu. Ini bukan perkara biasa yang terjadi dalam sesuatu perjumpaan.

Pengurus restoran dan beberapa pelayan lantas tiba dan cuba membantu keadaan. Sementara menunggu ambulans, bantuan kecemasan diberikan oleh seorang jururawat yang kebetulan berada di restoran tersebut.

“Adakah beliau pernah mengalami keadaan sebegini sebelum ini? Saya telah pun menghubungi perkhidmatan kecemasan. Beritahu kami,” kata pengurus.

“Saya tidak tahu,” balas Chitragupta dan sememangnya ini kali pertama dia berjumpa dengan D’ Souza.

Sejurus kemudian, pasukan dari hospital tiba dan memberikan bantuan kecemasan. D’ Souza sedar tetapi fikirannya bercelaru.  Pasukan tersebut dengan lantas meletakkan lelaki Portugal itu di atas usungan dan terus dibawa ke hospital.

Kebimbangan memuncak dalam benak pemuda tersebut, memikirkan tentang D’ Souza.  Di saat itu, tujuan pertemuan ini tidak menjadi penting. Keadaan kesihatan warga Portugal ini menjadi keutamaan.

Tujuan sebenar pertemuan ini adalah untuk membolehkan Chitragupta memperoleh dana asing dalam jumlah besar untuk membuka perniagaannya sendiri.

Pemuda ini bukannya ahli perniagaan. Dia hanya seorang bekas wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu di Kuala Lumpur. Selama sedekad, Chitragupta bekerja di akhbar tersebut.

Dia mahir dalam kerjayanya tetapi tekanan yang dihadapi sejak akhir-akhir ini merisaukannya. Gaji yang patut diterima pada awal bulan kadang-kadang hanya dikreditkan ke dalam akaunnya dalam pertengahan bula

Keadaan ini diburukkan lagi oleh politik dalaman pejabat yang pilih kasih terhadap sebilangan kecil wartawan. Semua ini berlaku sejak tiga bulan yang lalu.

Semasa berhadapan dengan dugaan ini, dia dihubungi oleh seorang pengarah syarikat sumber manusia menerusi laman rangkaian profesional, LinkedIn dengan tawaran untuk menulis secara sambilan untuk pelabur luar negara.

“Saya faham tawaran tuan tetapi adalah lebih baik sekiranya tuan dapat menemukan saya dengan seorang pemodal yang dapat memberikan dana agar saya boleh memulakan surat khabar secara sepenuh masa,” Chitragupta memberikan tawaran balas.

Dia terpaksa menerima tawaran kerja pejabat supaya tidak menganggur.  Tawaran balas yang dibuat melalui LinkedIn hampir dilupakan dalam kesibukan kerja.  Tambahan pula, tawaran balas tersebut dibuatnya meskipun tidak yakin ia akan berhasil.

Oleh itu, Chitragupta hairan apabila dihubungi pengarah syarikat tersebut yang berjaya mendapatkan seorang pemodal yang sanggup melabur wang untuk memulakan surat khabar.

Itulah yang membawa Chitragupta ke kota Bangkok pada hari ini untuk berjumpa D’ Souza.  Itulah juga yang menyebabkan dia menaiki kapal terbang buat kali pertama dari KLIA 2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.

Sejurus selepas D’ Souza dihantar ke hospital, pengurus restoran lima bintang tersebut menawarkan makan malam percuma berikutan kejadian yang tidak disangka itu.

Chitragupta bersyukur kerana dia hanya mempunyai 200 baht di dalam sakunya.

Keesokan hari, dia menaiki pesawat untuk kembali ke Kuala Lumpur. Namun, persoalan yang bermain dalam kepala semasa makan malam terus berlegar.

Apakah dana yang didambakan akan diterima?

*** Gambar ehsan Markus Spiske di Unsplash

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

CERPEN | Sayap Emas Isteri Ketiga oleh Uthaya Sankar SB

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.