Baca bahagian sebelumnya di sini

Selain daripada Thilaga Vathy Rajoo, terdapat tiga lagi penulis kaum India yang karya mereka termuat dalam antologi cerpen Bermulanya di Sini (1991) hasil usaha sekumpulan lapan mahasiswa tahun ketiga di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya sesi 1991/92.

Mohana Raghavan berasal dari Negeri Sembilan dan dibesarkan di Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Segamat dan Seremban, sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya (UM) dan ijazah sarjana komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Mohana Raghavan yang tinggal di Kuala Lumpur berpengalaman bekerja sebagai pengurus komunikasi korporat dan kini menjadi pengarah sebuah syarikat.

Cerpen beliau dalam antologi Bermulanya di Sini berjudul “Gugurnya Sebuah Harapan”. Bagaimanapun, cerpen berkenaan tidak mengetengahkan watak dan budaya kaum India, maka tidak dikaji di sini. Amat sayang juga kerana Mohana Raghavan – sebagaimana tiga lagi rakan beliau dalam antologi berkenaan – tidak meneruskan bakat penulisan karya kreatif, khasnya dalam Bahasa Malaysia.

  • Save

Sementara itu, cerpen “Tali Mangalyam” dihasilkan oleh Uma Devi Rajasundram yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan di Kuala Pilah dan Petaling Jaya sebelum melanjutkan pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya (UM). Selepas itu, Uma Devi Rajasundram mengikuti pengajian perguaman (LLB) dan kursus vokasional perguaman di United Kingdom. Beliau melayakkan diri menyertai Badan Peguam Malaysia pada tahun 2004 dan Roll of Solicitors (England) pada tahun 2010. Beliau kini menetap di London bersama keluarga.

Cerpen “Tali Mangalyam” mengangkat suatu kisah yang pernah berlaku dalam kalangan kaum India pada masa dahulu (khasnya di negara India) tetapi tidak dilaporkan berlaku di Malaysia. Diceritakan bahawa sepasang kanak-kanak, iaitu Ramu yang berumur tujuh tahun dan Sheila yang berumur lima tahun, dikahwinkan oleh ibu bapa mereka dengan penuh istiadat (hlm. 82).

Amalan perkahwinan kanak-kanak masih dilaporkan berlaku di negara India dan beberapa negara lain. Walau bagaimanapun, perkahwinan kanak-kanak — apatah lagi kanak-kanak berusia tujuh dan lima tahun — mustahil dibenarkan di sisi undang-undang negara Malaysia.

Kisah ini digambarkan berlaku di sebuah ladang getah. Namun begitu, sebagai sebuah karya kreatif dan imaginatif, cerpen ini sebenarnya cuba menggambarkan kontradiksi antara si adik (Leela) yang baharu berkahwin dengan si kakak (Sheila) yang sudah kematian suami.

  • Save

>
Sheila berkahwin dan menjadi balu pada usia lima tahun. Ibunya, Mariamma, ternyata berfikiran kolot dan memaksa Sheila hidup sebagai seorang balu. Enam belas hari selepas Ramu (suami yang berumur tujuh tahun) meninggal dunia, upacara menanggalkan taali @ mangalyam diadakan dan digambarkan seperti berikut dari sudut pandangan Mariamma:

Hari keenam belas, hari sial. Lima perempuan beruban, kulit berlipat-lipat, bersari putih menghampiri Sheila. Satu demi satu gelang tangan anaknya dipatah. Tangan-tangan sial. Kum-kum dilap. Tangan-tangan sial. Abu putih mengambil tempat kum-kum. Tangan sial memutuskan tali mangalyam. Anaknya tidak akan berhias lagi seumur hidup. (hlm. 83)

Sheila yang kini berumur 20 tahun sudah hidup sebagai balu selama 15 tahun. Dalam cerpen ini, Sheila dianggap oleh masyarakat sekeliling sebagai “sial”. Mariamma pula tidak berani melawan tanggapan negatif masyarakat kerana dia takut dipulaukan oleh mereka (hlm. 82-83).

Sheila tinggal di sebuah bilik papan dan tidur beralaskan tikar mengkuang. Tiada sebarang hiasan pada dinding bilik papan itu. Kononnya, Sheila perlu hidup seperti itu “kerana itulah hukum-hukum balu” (hlm. 83). Mariamma juga tidak berani menyuruh anak sulungnya itu keluar dari bilik untuk bertemu dan berbual dengan tetamu yang datang ke rumah.

Gambaran ini agak ekstrim, apatah lagi dalam situasi Sheila berkahwin dan menjadi balu semasa berumur lima tahun. Penulis ternyata menggunakan lesen kreatif untuk menggambarkan situasi hidup golongan balu dalam budaya India tradisional. Penampilan watak Sheila digambarkan seperti berikut:

Sari putih membelai sayang tubuh kecil hitam bak buah manggis. Tiada kum-kum merah menghiasi dahi kosong. Tiada bunga melur, mawar terselit di celah rambut. Cuba abu putih menggantikan kum-kum. (hlm. 81)

Penampilan Sheila adalah bertentangan dengan penampilan adiknya, Leela, yang sedang bersedia bagi majlis perkahwinan. Bunga melur dan bunga mawar warna merah, putih dan kuning diikat serangkai dan diselit pada rambut yang diikat kemas. Kumkuma (kum-kum) merah menghiasi dahinya. Golongan wanita yang diundang ke majlis itu menyarungkan gelang-gelang kaca, plastik dan emas ke pergelangan tangan Leela (hlm. 81).

Mariamma merestui dan mendoakan supaya taali @ mangalyam pada leher anak bongsunya (Leela) kekal lama (hlm. 84). Amalan ini adalah tradisi dalam kalangan kaum India pada setiap kali merestui pasangan yang baharu berkahwin. Doa yang sama juga diucapkan kepada semua wanita yang suaminya masih hidup.

Mariamma yang selama 15 tahun melayan dan memaksa Sheila hidup sebagai seorang balu, mula menunjukkan perubahan sikap pada hari Leela berkahwin. Selain mengakui Tuhan Maha Pengasih, wanita itu juga mengharapkan supaya “esok masih ada” untuk Sheila. Mariamma memikirkan kemungkinan Sheila akan mendapat peluang memulakan hidup baharu dan bergelar isteri pada masa depan (hlm. 84).

  • Save

Uma Devi Rajasundram.

Perubahan sikap dan pemikiran Mariamma amat dialu-alukan kerana mampu meninggalkan amalan kolot yang tidak berasas, iaitu memaksa kanak-kanak (Sheila) yang kematian suami pada umur lima tahun terus hidup sebagai seorang balu selama 15 tahun.

Satu lagi aspek budaya yang diketengahkan dalam cerpen ini adalah unsur bahasa, iaitu unsur kognitif yang menjadi identiti unik yang menyatukan sekelompok manusia. Rohaya Yusof (2006) menerangkan komponen kognitif yang merangkumi keseluruhan pemikiran masyarakat berkenaan; dan dapat diperincikan lagi dari aspek simbol, bahasa, nilai dan kepercayaan. Walaupun Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini, serta difahami oleh semua kaum, masing-masing mempunyai bahasa ibunda yang menjadi elemen budaya yang dibanggakan.

Dalam konteks negara Malaysia, fakta yang diperakui oleh pengkaji seperti Azharudin Mohd Dali (2012), K. Anbalakan (2008), Muzafar Desmond Tate (2008), Ravindra K. Jain (2011), Andrew C. Willford (2014), dan Ravichandran Moorthy (2016) adalah bahawa majoriti (sekitar 85%) penduduk kaum India di negara ini sejak dahulu adalah orang keturunan Tamil dan berbahasa ibunda Tamil.

Dialog bahasa Tamil turut digunakan dalam cerpen “Tali Mangalyam” tanpa diberi terjemahan. Misalnya, watak Sheila berkata, “Amma, Leela rombe alaga yirukural.” dan juga bertanya, “Yen Amma, naan yeppo anthe mari selai kattuvein?” (hlm. 82).

Keluarga Mariamma tinggal di sebuah ladang getah dan merupakan sebuah keluarga keturunan Tamil. Maka, mereka menggunakan bahasa Tamil dalam perbualan seharian. Realiti itu diselitkan dalam cerpen ini. Sekali gus, membantu pembaca dan pengkaji memahami unsur budaya kaum India yang diketengahkan menerusi karya kreatif Bahasa Malaysia. [Bersambung]

*** Gambar ehsan SwapnIl Dwivedi on Unsplash. 

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada editors@eksentrika.com. Baca yang ini pula.

Gambaran Budaya India Dalam Cerpen – Bahagian 3

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.