Baca bahagian-bahagian terdahulu di sini.

Vikramaditya tidak memberikan sebarang jawapan kepada pertanyaan Vetalam kerana baginda tidak mahu mayat yang sedang dibawa itu terbang semula ke pokok besar di tanah perkuburan.

“Jangan risau. Ini bukan soalan utama saya. Sebenarnya, menurut tafsiran Shekar, tiga calar itu bermakna keadaan di rumah milik saudagar bernama Penggigit itu tidak selamat dikunjungi selama tiga hari,” kata Vetalam sebelum meneruskan ceritanya.

Maka, selepas tiga hari, wanita tua itu diminta pergi semula bertemu dengan Thamarai. Nenek bercerita lagi mengenai Kumaran sementara gadis itu mendengar dengan penuh gembira.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi bising di luar rumah tiga tingkat itu. Seorang pekerja memberitahu Thamarai bahawa salah seekor gajah milik Cheviraja sedang mengamuk tidak jauh dari situ.

“Nenek tidak boleh keluar mengikut pintu depan. Mari saya tunjukkan jalan lain,” kata Thamarai seraya membawa wanita tua itu ke tingkap bilik di tingkat tiga rumahnya.

Terdapat tangga yang diperbuat daripada tali tergantung di luar tingkap. Nenek diminta turun menggunakan tangga itu. Kemudian, ada pintu rahsia yang tersembunyi di belakang rimbunan pokok di tepi pagar.

Apabila tiba di rumah, nenek menceritakan pengalamannya kepada Kumaran dan Shekar.

“Thamarai sengaja menunjukkan laluan rahsia itu kepada nenek. Maknanya, pada malam ini, dia mahu engkau pergi menemuinya menggunakan laluan rahsia itu,” kata Shekar kepada Kumaran.

Maka, pada malam itu, Kumaran pergi melalui pintu rahsia di tepi pagar dan memanjat tangga tali untuk sampai ke bilik Thamarai di tingkat tiga rumah saudagar berkenaan.

Pasangan itu meluangkan masa sepanjang malam untuk meluahkan kasih dan cinta yang terpendam sejak kali pertama bertemu di tepi kolam.

Menjelang subuh, Kumaran keluar menggunakan laluan rahsia. Pertemuan pasangan kekasih itu berlarutan selama beberapa hari. Saudagar yang diberi nama timangan Penggigit tidak mengesyaki apa-apa.

“Saya amat bertuah kerana mendapat seorang kekasih yang kacak, berani dan bijaksana,” kata Thamarai pada suatu malam.

“Saya memang kacak dan berani. Akan tetapi, rasa-rasanya, Shekar lebih bijak berbanding saya. Dia yang berjaya mentafsir semua isyarat yang engkau berikan sejak pertemuan pertama kita di tepi kolam,” Kumaran menceritakan.

Thamarai terdiam mendengar kata-kata itu. Kemudian, dia pergi ke dapur. Sejurus selepas itu, dia membawa sebuah bungkusan berisi makanan.

“Berikan makanan ini kepada Shekar,” katanya.

Shekar Membalas Dendam

Apabila makanan itu diserahkan kepadanya, Shekar menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Dia memberikan sedikit makanan itu kepada seekor anjing liar. Dalam beberapa minit sahaja, mulut anjing itu mula berbuih dan ia terus mati.

Kumaran terkejut melihat kejadian di depan mata. Makanan yang diserahkan oleh Thamarai ternyata dicampur racun untuk membunuh Shekar.

“Thamarai sedang dilamun cinta. Dia sedar bahawa selagi saya berada bersama-sama engkau, kedudukannya sebagai kekasih tidak terjamin. Mungkin saya akan mempengaruhi engkau supaya meninggalkannya dan pulang ke negeri asal. Itulah sebabnya dia cuba membunuh saya,” Shekar menjelaskan.

Kumaran terus terkelu. Dia amat mencintai Thamarai. Pada masa sama, putera itu tidak mahu kehilangan sahabat karibnya.

Pada waktu itu, tersebar berita di seluruh negeri bahawa putera tunggal Cheviraja ditemui mati secara penuh misteri di dalam hutan. Lidahnya telah dipotong.

“Saya ada satu cadangan. Engkau perlu patuh supaya dapat segera berkahwin dengan Thamarai,” kata Shekar sambil menyerahkan garpu kecil kepada Kumaran.

Pada malam itu, putera berkenaan pergi menemui Thamarai. Sebagaimana diajar oleh sahabatnya, Kumaran memberikan arak kepada kekasihnya sehingga menjadi sangat mabuk.

Kemudian, Kumaran menggunakan garpu kecil untuk mencalar leher Thamarai. Selepas itu, dia mencuri rantai emas yang dipakai oleh kekasihnya.

Apabila Kumaran pergi semula bertemu Shekar, sahabatnya memberitahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Mereka berdua menyamar sebagai pendeta.

Kumaran diminta pergi menjual rantai emas milik Thamarai di pekan. Seperti yang dijangka oleh Shekar, putera yang menyamar sebagai pendeta itu ditangkap kerana memiliki rantai emas milik keluarga saudagar bernama Penggigit.

“Saya menerima rantai ini daripada ketua saya,” kata Kumaran sepertimana diajar oleh Shekar.

Maka, Shekar dibawa mengadap Cheviraja. Raja ingin tahu bagaimana pendeta itu mendapat rantai emas berkenaan.

“Malam tadi, saya sedang bertapa di dalam hutan. Sekumpulan ahli sihir sedang minum arak tidak jauh dari tempat saya. Salah seorang ahli sihir wanita bercerita bahawa dia berjaya membunuh seorang putera dan memotong lidahnya untuk upacara pemujaan,” Shekar bercerita kepada Cheviraja.

Menurut Shekar (yang menyamar sebagai pendeta), dia sangat marah mendengar hal itu. Maka, dia menyerang ahli sihir itu menggunakan tombak sakti.

“Leher ahli sihir itu tercalar dan rantai emas ini tertanggal. Kumpulan ahli sihir itu berjaya melarikan diri. Sebagai seorang pendeta, saya tidak memerlukan rantai emas. Itulah sebabnya saya meminta anak buah saya menjualnya,” Shekar mengakhiri ceritanya.

Vikramaditya mendengar cerita Vetalam dengan penuh minat. Baginda tidak sabar untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya. Bagaimanapun, baginda tetap mengunci mulut sambil meneruskan perjalanan. [bersambung pada 20 Julai 2018]