Baca bahagian-bahagian terdahulu di sini.

Puluhan putera, pahlawan, dan pemuda berkumpul di perkarangan istana. Orang ramai juga hadir untuk menyaksikan swayamvara (sayembara) yang bakal berlangsung.

“Minta perhatian!” Perdana menteri bersuara selepas mendapat arahan daripada raja. “Pada hari ini, suatu pertandingan akan diadakan bagi memilih individu yang sesuai untuk berkahwin dengan Puteri Indumati.”

Ujian yang diumumkan amat berbeza dengan tradisi swayamvara yang menjadi amalan selama ini. Peserta perlu memanjat satu tembok tinggi. Kemudian, peserta perlu melompat dari atas tembok itu.

Di bahagian bawah, terdapat sangkar khas tiga tingkat yang dipasang ratusan pisau tajam. Peserta perlu memastikan tubuhnya langsung tidak terkena pisau itu apabila melompat dari atas tembok.

“Ujian ini dipilih oleh Puteri Indumati sendiri. Pertandingan terbuka kepada mana-mana pemuda yang berani,” kata perdana menteri.

Para putera, pahlawan, pemuda, dan orang ramai terdiam seketika. Kemudian, tempat ujian diadakan ditunjukkan kepada orang ramai. Putera, pahlawan, dan pemuda perkasa meninjau tapak ujian.

“Ujian ini sudah keterlaluan!” Demikian kata sebahagian peserta.

“Tembok ini terlalu tinggi untuk dipanjat. Dan mustahil untuk membolos sangkar tiga tingkat itu tanpa terkena mata pisau.” Begitulah pandangan sebahagian lagi peserta.

Akhirnya, tinggal hanya sekitar lima peserta yang bersedia untuk mengambil bahagian. Dua peserta gagal memanjat tembok tinggi. Peserta lain yang melompat dari atas tembok mengalami luka dan calar akibat terkena mata pisau yang dipasang pada sangkar tiga tingkat.

Raja yang menyaksikan kejadian itu terasa amat sedih. Baginda rasa bersalah kerana bersetuju dengan ujian yang dicadangkan oleh Indumati. Ternyata ujian itu amat sukar dan mustahil.

Tiba-tiba, Kurupshana mara ke tanah lapang. Orang ramai terkejut melihat seorang pemuda yang kudung kedua-dua tangan mahu mengambil bahagian dalam pertandingan.

Muka raja dan perdana menteri menjadi pucat apabila melihat Kurupshana. Kalau sebelum ini beberapa putera, pahlawan, dan pemuda perkasa tampil mengambil bahagian, sekarang seorang pemuda cacat pula menawarkan diri untuk turut bertanding.

Bijakkah Pilihan Kurupshana?

“Kita terpaksa membenarkan pemuda cacat itu mengambil bahagian. Kalau tidak, orang ramai akan menuduh raja tidak berlaku adil dan saksama,” bisik perdana menteri kepada raja.

Raja pula memandang Indumati di sisi. Baginda mahu tahu apakah pandangan puterinya kerana swayamvara ini diadakan untuk memilih bakal suaminya.

Indumati memandang pemuda kudung itu sambil berfikir: “Sedangkan pahlawan dan pemuda perkasa gagal dalam ujian ini, masakan seorang lelaki yang tidak ada kedua-dua tangan boleh berjaya!”

Maka, Kurupshana dibenarkan mengambil bahagian. Orang ramai menanti dengan penuh rasa ingin tahu. Tidak kurang juga yang mentertawakannya.

Kurupshana yang kudung sejak lahir tidak menghadapi masalah untuk memanjat tembok tinggi di perkarangan istana. Orang ramai terdiam melihat kehebatannya.

Dari atas tembok, Kurupshana memandang ke bawah. Terdapat sangkar tiga tingkat yang dipasang ratusan pisau tajam.

Selepas mengimbangkan badan, Kurupshana terus melompat dari atas tembok. Mulut orang ramai terlopong. Beberapa orang menjerit kerana menjangka pemuda itu pasti luka parah terkena pisau.

Akan tetapi, Kurupshana mendarat di bawah tanpa sebarang kesan calar pada tubuh! Orang ramai segera pulih daripada rasa terkejut dan mula menjerit kegembiraan.

Kemudian, Kurupshana pergi berdiri di hadapan raja, perdana menteri, dan Puteri Indumati. Wajah mereka bertiga kelihatan amat pucat.

“Jangan risau. Saya tidak akan meminta untuk berkahwin dengan Puteri Indumati. Saya mengambil bahagian dalam ujian ini untuk membuktikan sesuatu kepada diri sendiri,” kata Kurupshana sebelum meninggalkan istana.

Vetalam menamatkan ceritanya di situ dan mengemukakan pertanyaan kepada Vikramaditya: “Tidakkah Kurupshana bertindak bodoh? Jika dia tidak berniat mahu berkahwin dengan Indumati, mengapa dia perlu mengambil bahagian dalam ujian itu?”

“Tindakkannya tidak bodoh. Kurupshana mahu membuktikan kepada dirinya sendiri bahawa dia boleh melakukan sesuatu yang dianggap mustahil. Kalaulah dia berkahwin dengan Indumati, dia akan menjadi raja pada masa depan,” kata Vikramaditya.

“Jadi?” Vetalam bertanya.

“Kurupshana sedar bahawa dia tidak mampu memegang pedang untuk berperang mempertahankan kerajaan. Sementara puluhan putera, pahlawan, dan pemuda perkasa gagal dalam ujian, Kurupshana berjaya membuktikan bahawa kecacatan fizikal bukan halangan. Itulah hadiah terbesar bagi dirinya sendiri.”

Apabila mendengar jawapan daripada Vikramaditya, Vetalam ketawa mengilai.

“Bijak! Bijak! Tuanku ternyata seorang raja yang bijak. Bagaimanapun, oleh kerana tuanku membuka mulut dan bercakap, maka saya akan terbang semula ke pokok tadi.”

Dalam sekelip mata, mayat yang dihuni Vetalam terbang melayang. Vikramaditya mengejarnya dengan sedaya upaya. [bersambung pada 6 Julai 2018.]