Baca bahagian-bahagian terdahulu di sini.

Vikramaditya terus berjalan sambil memikul mayat yang dihuni Vetalam. Puntianak itu cuba berbual-bual tetapi raja berkenaan tetap tidak berkata apa-apa.

Vikramaditya sedar bahawa sekiranya baginda bercakap, maka Vetalam akan terbang melayang dan tergantung semula pada dahan pokok besar di tanah perkuburan.

“Perjalanan kita masih jauh sebelum sampai ke tapak upacara pemujaan. Bagi mengisi masa, apa kata kalau saya bercerita?”

Raja berkenaan mendengar kata-kata Vetalam tetapi tidak menjawab.

“Bijak! Bijak! Tuanku sudah tahu muslihat saya. Akan tetapi, perjalanan kita memang amat jauh. Jadi, biarlah saya berkongsi cerita. Tuanku hanya perlu mendengar cerita saya dengan penuh teliti.”

Vikramaditya terus melangkah sambil memikul Vetalam di bahu. Baginda membiarkan sahaja puntianak itu bercakap.

“Di akhir cerita, saya akan bertanya satu soalan berdasarkan cerita itu. Kalau tuanku tahu jawapan kepada soalan itu tetapi tidak menjawab, maka kepala tuanku akan meletup dan berkecai,” Vetalam terus berkata-kata tanpa menghiraukan bahawa Vikramaditya tidak memberikan sebarang reaksi.

Raja itu pula terus mengunci mulut. Baginda tidak membantah syarat yang ditetapkan oleh Vetalam walaupun ia ternyata tidak adil dan bersifat berat sebelah.

“Sekiranya tuanku membuka mulut dan memberikan jawapan yang betul, maka saya akan terbang semula ke pokok besar tadi. Bagaimanapun, jika tuanku benar-benar tidak tahu jawapan bagi soalan saya, lalu terus tidak bercakap, maka saya akan ikut tuanku ke tapak upacara pemujaan tanpa sebarang bantahan.”

Vikramaditya masih melangkah meredah malam yang gelap. Baginda sedar bahawa syarat yang diketengahkan oleh Vetalam tidak boleh diterima akal rasional.

Bagaimanapun, jika baginda membuka mulut untuk membantah, maka Vetalam akan terbang melayang ke pokok besar tempat ia tergantung tadi. Menyedari hakikat itu, Vikramaditya memilih untuk menerima sahaja syarat yang ditetapkan oleh Vetalam.

“Baiklah. Memandangkan tuanku terus mendiamkan diri, saya menganggap tuanku bersetuju dengan syarat yang saya tetapkan,” kata Vetalam sebelum memulakan cerita pertama.

Kisah Indumati dan Kurupshana

Di sebuah kerajaan di India, tinggal seorang raja. Baginda ada seorang puteri bernama Indumati. Indumati bukan sahaja jelita, malah pandai bertarung menggunakan pedang.

Pada suatu hari, raja memutuskan untuk memilih bakal suami bagi Indumati. Puteri itu pula keberatan untuk berkahwin. Katanya, dia hanya akan berkahwin jika ada calon yang kuat dan berani.

“Kita pasti boleh menemui putera yang kacak, kuat, dan berani. Utusan akan dihantar ke seluruh benua India untuk mengenal pasti putera yang sesuai,” kata raja itu dengan gembira.

Akan tetapi, Indumati berkata, dia mahu mengadakan ujian bagi memilih calon suami yang layak. Apabila bentuk ujian itu didedahkan, raja amat terkejut. Indumati pula tetap berkeras mahu melaksanakan ujian berkenaan.

Akhirnya, raja terpaksa akur. Maka, utusan dihantar ke seluruh benua India. Putera, pahlawan, dan pemuda yang merasakan diri mereka cukup kuat dan berani diundang mengambil bahagian dalam ujian yang bakal diadakan.

Berita mengenai ujian itu turut sampai ke telinga Kurupshana, seorang pemuda miskin yang tinggal bersama-sama ibu tirinya.

Kurupshana bukan sahaja miskin dan tidak berpelajaran, malah kudung kedua-dua tangan sejak lahir. Kecacatan fizikal itu menjadi bahan ketawa kanak-kanak di kampungnya. Malah, ibu tiri juga sentiasa menghinanya.

Pada suatu hari, Kurupshana dihalau dari rumah oleh ibu tirinya. Pemuda itu terasa amat sedih kerana sentiasa dihina dan dipandang rendah.

Sambil menangis mengenangkan nasib dirinya, pemuda itu meninggalkan kampung halaman. Selepas menumpang beberapa kereta lembu, akhirnya Kurupshana tiba di kota.

Ramai putera dan pahlawan berkumpul di sana. Mereka datang untuk mengambil bahagian dalam ujian yang bakal diadakan oleh Indumati. Beberapa pemuda yang bertubuh sasa juga hadir untuk mengambil bahagian.

Kurupshana menyertai orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke istana. Dari jauh, dia ternampak raja dan puteri di luar istana.

“Puteri Indumati memang kelihatan amat jelita. Tidak hairanlah begitu ramai putera, pahlawan, dan pemuda perkasa datang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan,” fikir Kurupshana.

Dalam swayamvara (sayembara, pertandingan) yang menjadi tradisi raja-raja pada masa silam di India, puteri akan memilih bakal suami pada upacara khas yang diadakan. Lazimnya, pertandingan yang diadakan bertujuan menguji kekuatan fizikal dan kepintaran individu.

Pertandingan yang biasa dianjurkan termasuk bergusti, lawan pedang, dan memanah. Akan tetapi, ujian yang ditetapkan oleh Indumati amat berbeza! [bersambung pada 29 Jun 2018]