Selumbar, tajuk buku kedua penulis amatur, Ikmal Ahmad, adalah analogi daripada salah seorang watak karya tersebut yang menggambarkan hidupnya seperti kaki ditikam selumbar, sakit jika ditarik keluar tetapi jika dibiarkan juga menghalang daripada maju ke hadapan.

Pertembungan antara dua watak utama, iaitu Razin, seorang ustaz muda yang disayangi dan dihormati orang kampung dengan Sufi, seorang pelawat yang sampai ke surau Razin, menandakan permulaan cerita dan adegan yang akan mengolah persepsi hidup kedua-dua pemuda tersebut.

Razin akan menyesali pertemuannya dengan Sufi dalam jalan cerita buku ini yang mendalami tema-tema berat seperti Islam dengan homofobia, hormat terhadap ibu bapa dan sayang sesama manusia.

Buku terbitan Rumah Lipur Lara menimbulkan perspektif falsafah berdasarkan sudut ajaran Islam tentang cara melayani kumpulan homoseksual. Salah satu sentiment yang diulangi ialah mudahnya agama Islam untuk penganutnya dan juga sifat belas kasihan, Allah yang maha mengasihi.

Ini dilampirkan bersama deras fikiran watak homoseksual dalam karya, yang sedang bergelut dengan identiti peribadinya dan pengetahuan agamanya yang dipetik dari mazhab seluruh dunia.

Buku ini juga menaikkan masalah individu-individu LGBTQ, yang sering diburuk-burukkan di kalangan masyarakat dan kerap ditolak oleh ahli keluarga mereka sendiri. Persoalan yang ditangani, juga melingkuli tanggapan terhadap individu-individu bergelar homoseksual, yang disifatkan sebagai hina dan berdosa. Ia juga tidak mengasingkan antara perbuatan seks sama jantina yang dianggap terkutuk, dan orang yang mengalami sifat-sifat LGBTQ tetapi belum pasti telah atau akan bertindak terhadap nafsu mereka.

Adalah perlu ditekankan, buku ini hanyalah cerita rekaan semata-mata  dan tidak wajar dianggap sebagai pedoman atau mempunyai nasihat agama yang sahih.

Plot yang sensasi ini senang mengenggam perhatian pembaca dan jalan cerita karya ini juga amat segar jika dibandingkan dengan tajuk-tajuk buku sedia ada di rak-rak jualan novel Melayu.

Faktor best

  • Saya suka keberanian penulis menggambarkan adegan seks dalam buku ini, walaupun pada pandangan saya tiada pun unsur-unsur yang menggalakkan lancap.
  • Gambaran watak Razin dan Sufi senang dipercayai dan kedua-dua karektor diperkembangkan dengan luas.
  • Antara naratif yang diminati dalam buku ini ialah perbualan intim antara kawan-kawan rapat yang menjadi racun kepada persahabatan mereka disebabkan salah faham. Aspek ini senang dikaitkan dalam kehidupan sebenar dan jika ada teladan ceritanya, maka mengumpat di belakang kawan-kawan adalah perbuatan terkutuk yang menantikan padah.

Faktor meh

  • Watak sampingan dalam buku ini kelihatan stereotaip atau cuma satu dimensi sahaja. Namun begitu, buku ini bukanlah tebal mana, dengan keseluruhan muka surat tidak lebih dari 400 halaman.

Kesimpulan;

Bagus untuk bacaan dalam tren komuter, untuk memendekkan masa perjalanan.

“Selumbar” adalah susulan novel pertama, Ikmal Ahmad, berjudul “Velvet”.

Tajuk ini boleh dibeli dari Kedai Fixi di Petaling Jaya, di kebanyakan kedai buku atau online.

Jika anda seorang penerbit yang mahu buku-buku terbitan anda diulaskan, hantarkan emel kepada editors@eksentrika.com.