Kredit gambar: Rodolpho Valdetaro

Hari mendapat keputusan peperiksaan adalah hari yang paling ditakuti oleh Ali Alif. Seperti biasa, apabila mendapat tahu keputusan peperiksaannya Ali Alif akan pergi ke suatu tempat terpencil, selalunya kawasan berdekatan hutan yang sunyi untuk bersendirian. Ali Alif tahu keputusan peperiksaanya selalu teruk kerana dia bukanlah seorang pelajar yang pandai.

Kali ini Ali Alif telah pergi ke suatu kawasan baru yang dia tak pernah pergi lagi sebelum ini.

Sampai ke tempat terpencil itu, dia turun dari basikal perlahan-lahan dan menongkatkannya dengan kemas. Dia buka tali leher sekolah yang dia pakai dan campakkan ke dalam raga depan basikalnya. Kemudian dia jalan ke suatu ruang yang lapang, menyapu debu dan batu-batu kecil di situ sebelum dia lucutkan beg galas dan letakkan di atas tanah lalu baringkan kepalanya di situ.

Dia berbaring dan pandang ke langit lalu memikirkan tentang di mana kesilapannya sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang teruk. Setelah 3 jam berbaring di situ, angin bertiup kencang dan hujan turun dengan lebatnya. Namun Ali Alif tidak peduli. Dia hanya memejamkan matanya meratapi kekecewaan.

Kelepuk!

Sesuatu jatuh tepat ke atas muka Ali Alif. Badan Ali Alif mengerekot ke kiri dan ke kanan sambil memegang mukanya yang berdenyut-denyut. Selama sepuluh minit Ali Alif bergelut di atas tanah menahan kesakitan, akhirnya dia berdiri setelah kesakitan itu sedikit kendur. Ali Alif mencari objek yang menimpa mukanya tadi. Pandangannya melekat pada satu objek berwarna kelabu tidak jauh darinya. Dia mengambil objek itu lalu pulang ke rumah.

Selepas mandi dan memakai baju, Ali Alif melihat objek yang telah jatuh ke atas mukanya tadi. Ianya berada elok di atas meja di dalam biliknya. Sebuah bungkusan plastik yang berwarna kelabu. Ali Alif menggunting plastik bungkusan itu. Di dalamnya, ada beberapa keping kertas yang bergulung. Mata Ali Alif meneliti satu persatu kandungan kertas tersebut.

“Ini macam kertas peperiksaan untuk tahun yang akan datang,” kata Ali Alif terkejut.

Melihatkan soalan-soalan di dalam kertas itu, seperti ada kena mengena dengan subjek yang Ali Alif akan belajar pada tahun hadapan. Dua tiga kali Ali Alif menyemak kandungan kertas-kertas itu. Akhirnya yakinlah Ali Alif bahawa kertas peperiksaan ini telah diturunkan untuk membantu hidupnya.

“Terima kasih Tuhan.” Kata Ali Alif sambil memandang ke siling rumahnya.

***

Sejak hari itu, Ali Alif begitu tekun dan bersungguh-sungguh mencari jawapan untuk kertas soalan yang dia dapat itu. Setelah semua jawapan lengkap dan diyakini betul, dia mula menghafal dan berlatih menjawab soalan itu berulang-ulang kali untuk memahirkan dirinya.

Dia begitu fokus dan meluangkan banyak waktu hanya untuk menelaah soalan dan jawapan itu. Dia begitu yakin soalan-soalan ini akan keluar dalam peperiksaan yang seterusnya. Semua ini dilakukannya dengan semangat yang berkobar dan komitmen tinggi hanya kerana dia ingin berjaya dalam peperiksaan yang akan datang.

Peperiksaan semakin menghampiri dan Ali Alif semakin tekun belajar tapi dia hanya mengulangkaji kertas soalan yang dia percaya dijatuhkan Tuhan dari langit untuk dirinya. Kawan-kawannya yang lain mengulangkaji soalan yang diberikan oleh guru mereka namun Ali Alif langsung tak peduli. Dia percaya kertas soalan yang dia dapat itu akan mengubah hidupnya.

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Dia masuk ke dalam dewan peperiksaan dengan membawa sebatang pen sahaja. Langkahnya tenang dan bersahaja seperti dia tahu apa yang menanti dirinya di dalam. Dia mengambil tempat dan duduk dengan tenang bagai seorang pemain piano yang akan membuat persembahan di depan jutaan orang.

“Anda boleh mula menjawab sekarang.”

Ali Alif menyelak kertas soalan. “Gulp!” Dia telan air liur. Matanya terbeliak.

***

3 bulan kemudian…

Hari ini keputusan peperiksaan keluar. Namun, seperti sebelum ini, Ali Alif telah pun tahu keputusan peperiksaannya untuk kali ini. Ali Alif ke sekolah macam biasa. Jauh di sudut hati, walau macam mana pun dia cuba untuk melawan perasaannya itu, setiap langkah kakinya tetap terasa berat.

Sampai di sekolah, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Sebuah lori berwarna kuning berada di tengah dataran perhimpunan. Sekumpulan guru dan pelajar berada berdekatan dengan lori yang bertulis Yellowsky itu seolah ada jualan dan pameran sedang berlangsung.

“Apahal tu?” tanya Ali Alif kepada salah seorang rakannya.

“Ada syarikat kurier datang promosi perkhidmatan terbaru mereka iaitu hantar barang menggunakan dron.”

“Apahal datang buat promosi dekat sekolah?”

Rakan Ali Alif jongket bahu.

“What a lame.”

“Kau dah pergi ambil keputusan peperiksaan?”

“Aku baru nak pergi ni.” Kata Ali Alif lalu beredar dari situ.

***

“Nama?”

“Ali Alif.”

“Oh jadi awak la Ali Alif? Ini keputusan awak.”

Buku rekod pencapaian akademik bertukar tangan. Ali Alif renung buku yang baru dia dapat.

“Keputusan awak untuk kali ni lebih kurang macam yang lepas-lepas, masih tak ada peningkatan. Cikgu harap awak usaha lebih lagi untuk dapat yang terbaik. Kesian dekat ibu bapa awak kalau asyik macam ni, buat habis duit diorang je hantar belajar.” Kata guru yang menjaga kaunter penyerahan buku rekod pencapaian akademik pelajar itu dengan wajah serius.

Ali Alif terkesima mendengar komen guru itu. Mukanya merah dan romanya menegak. Dia beredar dari situ secepat mungkin.

Ali Alif terus menuju ke tempat dia selalu memencilkan diri bila dapat keputusan peperiksaan, tempat di mana soalan ramalan jatuh tepat ke mukanya ketika hujan. Padahal, satu pun soalan yang Ali Alif sangka dihantar Tuhan kepadanya itu tak keluar masa peperiksaan sebenar.

Ketika Ali Alif sedang berbaring merenung langit, terdetik di hatinya, benda apa pula yang akan jatuh dari langit kali ini?

Ali Alif tertidur dan 3 jam kemudian dia terjaga.

Dia berdiri dan lihat sekeliling. Tiada apa-apa yang pelik yang mungkin jatuh dari langit. Dia naik basikal untuk pulang ke rumah. Selepas dua tiga kayuhan, dia terdengar sesuatu. Kelihatan di tempat dia berbaring tadi, sebuah dron yang tertulis perkataan Yellowsky.

Ali Alif ambil dron itu lalu pulang ke rumah.

***

Selepas cuti sekolah penggal satu tahun itu, Ali Alif berhenti sekolah. Keputusan ini dibuat setelah berbincang dengan kedua ibu bapanya. Bosan di rumah, Ali Alif telah telah cuba belajar membaiki dron yang dia jumpai dulu. Pertama kali dalam hidupnya, Ali Alif merasa seronok belajar sesuatu yang baru. Dirinya merasa teruja.

Beberapa bulan bertungkus-lumus, Ali Alif berjaya membetulkan dron itu semula seperti sedia kala. Memikirkan bahawa dron ini tiada guna jika terus berada di rumahnya, Ali Alif telah menghantar semula dron itu kepada syarikat Yellowsky.

“Awak baiki sendiri dron ini?” tanya pengarah syarikat Yellowsky ketika menemu bual Ali Alif.

“Ya saya.” Jawab Ali Alif bersahaja tetapi yakin.

“Awak tahu, syarikat ini pun sebenarnya tak mempunyai kepakaran yang cukup di bahagian membaiki dron. Apa kata kalau awak bekerja di sini, di bahagian tersebut? Untuk tempoh percubaan tiga bulan, mungkin?” tanya lelaki yang botak tengah itu kepada Ali Alif.

Ali Alif angguk lalu mereka berjabat tangan. Bermulalah satu perjalanan baharu dalam hidup Ali Alif.

***

Setelah bekerja dengan Yellowsky selama 4 tahun, Ali Alif berhenti kerja dan menubuhkan syarikat kuriernya sendiri. Setelah beberapa tahun beroperasi syarikat kurier Ali Alif cuba mengembangkan perniagaan mereka dengan menceburi bidang pembuatan automobil pula. Ali Alif kini sedang mencipta prototaip untuk kereta terbang pertama dunia yang akan dapat dikomersialkan dan dijangka akan siap pada suku ketiga tahun 2023.

Image credit: Pinterest

Amir Azmi sedang mengikuti kuliah di Kuala Terengganu dan kadang-kadang menulis di  blog sonikcahaya.blogspot.my

Ingin menghantar cerpen atau puisi? Emel ke editors@eksentrika.com Cerpen dan puisi Bahasa Inggeris juga dialu – alukan.