Foto: Penggambaran filem Sughamaai Subbulakshmi melibatkan pelakon dan krew tempatan sepenuhnya.

Pengarah urusan M A Productions House Sdn Bhd, Dato’ Murugan Alimuthu, baru-baru ini mencadangkan supaya pelakon, karyawan dan artis tempatan diberi peluang muncul dalam iklan radio dan televisyen.

“Belakangan ini, iklan barangan kegunaan majoriti kaum India khasnya didapati menggunakan khidmat pelakon dan artis dari negara India.

“Perkara ini amat mendukacitakan kerana terdapat begitu ramai artis, pelakon dan pembikin filem iklan tempatan yang boleh diberikan peluang berkenaan,” katanya pada majlis pertemuan krew filem Sughamaai Subbulakshmi dengan wakil media, di Brickfields, Kuala Lumpur.

Murugan selaku penerbit filem itu menggesa, menyeru dan menyarankan kepada penerbit iklan di Malaysia supaya memberi peluang dan keutamaan kepada pelakon dan artis tempatan.

Sekiranya diperhatikan, gesaan ini memang amat wajar dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Kritikan Murugan terhadap iklan Tamil di radio dan televisyen memang benar.

Saban hari, pendengar dan penonton disajikan dengan iklan dan promosi yang menampilkan pelakon, artis dan tenaga produksi dari Tamil Nadu, India.

Sesungguhnya, memang terdapat ramai pelakon, artis, penyanyi dan bakat kaum India dalam industri filem dan industri muzik tempatan.

Mereka wajar diberikan peluang untuk terlibat dalam pembikinan iklan-iklan tempatan.

Selain membantu mengetengahkan bakat, artis tempatan juga akan berpeluang menambah pendapatan dengan berlakon dalam iklan tempatan.

Seperti diberikan contoh oleh Murugan, filem Sughamaai Subbulakshmi yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 17 Mei 2018 membariskan pelakon, pemuzik dan krew daripada golongan muda yang berbakat dan berkebolehan.

“Saya bukan hanya bercakap bagi pihak artis dan krew dalam filem yang saya terbitkan. Sebaliknya, saya membuat gesaan dan saranan ini demi memastikan semua artis di Malaysia, khasnya artis kaum India, mendapat peluang untuk muncul dalam iklan barangan Malaysia,” katanya.

Gesaan yang dibuat oleh Murugan bukanlah sesuatu yang baharu atau bertentangan dengan polisi kerajaan selama ini.

Misalnya, pada tahun 2007, kabinet membuat keputusan supaya mana-mana iklan yang menggunakan seratus peratus khidmat krew dan pelakon luar negara dihentikan siaran.

Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan adalah bahawa iklan wajib menggunakan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga penerbit, krew, pelakon dan lokasi di Malaysia.

Keputusan itu sebenarnya berbalik kepada usaha menegakkan kempen dan syarat “Made in Malaysia” (MIM) yang popular pada tahun 1990-an.

Sayangnya, peraturan MIM bagi iklan tempatan seperti diabaikan selepas stesen radio dan televisyen swasta tidak lagi di bawah pengawasan Kementerian Penerangan.

Akibatnya, syarat MIM hanya menjadi amalan bagi iklan-iklan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Lama-kelamaan, orang ramai semakin terbiasa menonton dan mendengar iklan yang menggunakan artis dan krew dari luar negara.

Bercakap secara khusus mengenai iklan-iklan Tamil, memanglah rata-rata masyarakat India mengenali artis dan pelakon yang muncul di kaca televisyen, tetapi aspek “wajah Malaysia’ dan “Buatan Malaysia” (MIM) sudah dikompromi.

Secara langsung dan tidak langsung, kebanjiran iklan “berwajah negara India” menutup peluang artis, pelakon dan krew tempatan, selain gagal membendung aliran keluar wang dari Malaysia.

Rujukan di laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menjelaskan garis panduan dan tatacara penerbit iklan memohon sijil akuan MIM.

Komponen yang dinilai oleh Finas termasuk “tenaga karyawan yang terlibat hendaklah terdiri daripada tenaga tempatan dan menjadi ahli persatuan perfileman yang diiktiraf oleh Finas”.

Sepertimana dilaporkan di akhbar The Star (5 Februari 2015), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) menyokong syarat berkenaan kerana ia membantu melindungi karyawan tempatan, termasuk artis, pelakon, pengarah dan krew yang terlibat dalam pembikinan iklan.

Syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Finas adalah “lokasi penggambaran hendaklan dibuat di Malaysia dengan memaparkan persekitaran dan budaya tempatan” dan “kerja-kerja pasca produksi hendaklah dibuat di Malaysia”.

Sekiranya diperhatikan, polisi sedia ada – khasnya MIM – memang menyarankan supaya tenaga tempatan digunakan.

Malangnya, saranan dan syarat itu semakin dilupakan. Hal ini amat jelas apabila kita mendengar dan menonton iklan Tamil di radio dan televisyen.

Maka, saranan dan gesaan Murugan memang amat wajar untuk menyedarkan semua pihak terbabit mengenai perlunya memastikan ruang dan peluang diberi kepada karyawan tempatan dalam pembikinan iklan.

Namun, siapa yang perlu memikul tugas dan tanggungjawab memastikan karyawan tempatan mendapat peluang dan hak ini?

Apakah pandangan anda? Sila komen atau emel ke editors@eksentrika.com!