Image credit: Mystical Magical Herbs

Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Kisah puisi klasik Megha Duta karya Kalidasa menampilkan kata-kata watak yaksa kepada gumpalan awan yang diminta menyampaikan pesanan kepada isterinya di Alaka.

Sloka 20 – Selepas memuntahkan air dalam bentuk hujan, pergilah wahai awan, untuk mengambil air dari Sungai Reva. Baunya agak berbeza kerana sungai itu menjadi lubuk gajah untuk mandi.

Wahai awan! Ketahuilah bahawa angin sepoi-sepoi bahasa tidak akan mampu mengangkat engkau ke langit jika tubuh engkau padat dan berisi. Sesiapa yang tidak memiliki atau menyimpan apa-apa selalunya amat ringan; manakala ketepuan menyumbang kepada tarikan graviti.

Image credit: fridaymagazine.ae

Image credit: fridaymagazine.ae

Sloka 21 – Engkau akan melihat kawanan lebah yang menghinggapi pokok bunga kadamba yang hanya berbunga pada musim hujan. Bunga-bunga berwarna kuning keperangan akan mula mekar.

Kawanan rusa pula akan kelihatan menjamah daun-daun muda pokok kandali di tebing sungai. Pohon ini berbunga warna merah hanya pada musim monsun. Kumpulan gajah pula akan memiliki bau segar tanah basah yang terpalit pada tubuh. Mereka akan menunjukkan jalan kepada engkau.

Sloka 22 – Para pendeta akan berada di luar rumah bersama-sama pasangan masing-masing. Mereka akan takjub melihat burung chataka yang pandai minum titisan air hujan yang gugur dari langit.

Kemudian, mereka akan menuding ke arah kawanan burung balaka (bangau) yang terbang secara tersusun. Sewaktu guruh menderum, golongan wanita terbabit akan terkejut dan segera memeluk pasangan mereka. Para pendeta pula akan tunduk memberikan hormat kepada engkau.

Sloka 23 – Wahai sahabat! Engkau tentu mahu segera berarak ke Alaka demi melaksanakan tugas yang aku minta engkau lakukan. Namun, aku dapat mengagak bahawa perjalanan engkau akan sering terganggu pada setiap kali engkau terpaksa melalui gunung-ganang yang diliputi haruman bunga kakubha.

Aku memohon supaya engkau berusaha untuk berarak dengan cepat dan pantas dari sini menuju ke Alaka. Cubalah abaikan nyanyian burung merak yang menitiskan air mata gembira serta berbunyi riang bagi mengalu-alukan kedatangan engkau.

Image credit: financialtribune.com

Image credit: financialtribune.com

Sloka 24 – Seterusnya, engkau akan tiba di wilayah Dasharna (kini Chhattisgarh) yang tamannya dikelilingi pokok bunga ketaka. Pokok-pokok di tepi jalan kawasan kampung pula pasti riuh-rendah dengan bunyi burung seperti gagak dan merpati. Burung-burung ini biasa diberi makan oleh penduduk kampung. Mereka tentu sedang mula membuat sarang di atas pokok.

Kawasan hutan berhampiran pula penuh dengan pohon nagapalam (jamun) yang berdaun hijau tua. Buah-buah yang ranum akan bergantungan di dahan pohon berkenaan. Engkau juga akan melihat kawanan angsa berhenti untuk berehat selama beberapa hari di wilayah berkenaan. (Bersambung pada 16 Disember 2016)

Megha Duta adalah puisi epik Sanskrit oleh penulis India abad ke4, Kalidasa. Bahagian karya puisi ini, yang diulas oleh Uthaya Sankar SB, boleh dibaca di Eksentrika setiap hari Jumaat. Adakah anda mempunyai cerpen atau puisi? Hantarkan emel kepada editors@eksentrika.com