Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini

Dalam puisi klasik Megha Duta, Kalidasa menggunakan bahagian Poorvamegha untuk menceritakan pesanan panjang yang disampaikan oleh yaksa dalam bentuk monolog kepada segumpal awan. Watak yaksa merujuk isterinya (yaksi) sebagai “adik ipar” kepada gumpalan awan berkenaan.

Sloka 9 – Pergilah engkau, wahai megha. Teruskanlah perjalanan tanpa sebarang halangan. Apabila tiba di Alaka, engkau akan bertemu adik ipar engkau – isteriku – yang tetap setia kepada suaminya yang satu.

Adik ipar engkau akan berada dalam keadaan selamat, sambil menghitung hari untuk bersatu semula dengan suami tercinta. Dia akan menanti dengan penuh yakin dan penuh harapan. Harapan adalah unsur yang terus memberikan keyakinan kepada jiwa golongan wanita. Jiwa mereka umpama kelopak bunga yang hampir terurai.

Image credit: www.gurumavin.com

Image credit: www.gurumavin.com

Sloka 10 – Angin sedang bertiup perlahan ke arah utara, iaitu arah yang perlu engkau tuju untuk tiba di Alaka. Di sebelah kiri, burung chataka akan menyanyi penuh merdu. Akan kelihatan juga kumpulan burung bangau yang terbang dalam garisan seperti kalungan bunga malai. Kesemuanya pasti cantik dipandang.

Sloka 11 – Dentuman daripada tubuh engkau akan disertai hujan yang turun membasahi bumi. Cendawan akan tumbuh segera selepas hujan. Bunyi dentuman yang kedengaran itu turut menjadi berita gembira kepada kumpulan hamsa (angsa).

Kumpulan angsa yang cantik itu akan terus teruja untuk terbang ke Tasik Manasa. Mereka akan mengembangkan sayap dan mula terbang di langit. Kumpulan angsa ini akan menemani engkau dalam perjalanan menuju ke Gunung Kailasa di Banjaran Himalaya.

Sloka 12 – Lihatlah gunung yang tinggi di sekitar kawasan ini. Cerunnya mempamerkan bekas tapak kaki Rama. Watak Rama dari epik Ramayana pernah tinggal di kawasan Ramagiri bersama-sama isterinya, Sita.

Dari semasa ke semasa, engkau akan bertembung dan bermesra dengan bukit dan gunung ini. Apabila pertemuan itu berlaku, gunung akan menitiskan air mata yang suam demi menzahirkan rasa gembira dan rindu berikutan perpisahan selama ini. Ucapkan selamat tinggal kepada gunung, dan teruskan perjalanan.

Image credit: pcwallart.com

Image credit: pcwallart.com

Sloka 13 – Wahai megha, pemberi air yang budiman! Sekarang dengarlah tentang laluan yang perlu engkau ambil. Perjalanan ini akan membawa engkau melalui laluan yang memang sangat menguntungkan.

Pada bila-bila masa engkau berasa letih, berehatlah dengan meletakkan kaki pada puncak gunung-ganang. Nikmatilah air jernih yang mengalir dari puncak gunung. (Bersambung pada 18 November 2016)

Megha Duta adalah puisi epik Sanskrit oleh penulis India abad ke4, Kalidasa. Bahagian karya puisi ini, yang diulas oleh Uthaya Sankar SB, boleh dibaca di Eksentrika setiap hari Jumaat. Adakah anda mempunyai cerpen atau puisi? Hantarkan emel kepada editors@eksentrika.com