Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini

Sloka 3 – Apabila yaksa terpandang gumpalan awam berkenaan, dia menjadi amat sayu. Dia cuba mengawal air mata yang mahu gugur. Kalidasa mencatatkan dalam Megha Duta betapa orang yang sedang berasa gembira juga akan berasa sedikit terkesan apabila memandang awan yang berarak di langit.

Menurut penyair, emosi seorang individu yang bersendirian pasti lebih terganggu kerana dia akan teringat akan kekasih atau isteri yang tiada di sisi. Demikianlah juga keadaan yaksa yang sudah lapan bulan tinggal sendirian di Bukit Ramagiri. Hatinya begitu rindu untuk menyentuh, memegang, memeluk dan berkasih dengan yaksi.

Sloka 4 – Musim monsun pada bulan Shravana sudah tiba. Yaksa menyedari bahawa yaksi juga pasti sedang merinduinya. Rasa rindu dan kesedihan akibat perpisahan ini mungkin menyebabkan yaksi memutuskan untuk menamatkan hidup dengan membunuh diri.

clouds

Maka, apabila yaksa ternampak gumpalan awan berarak dari Ramagiri menuju ke arah Alaka di bahagian utara, dia memutuskan untuk menghantar berita kepada isterinya, yaksi, dengan menggunakan khidmat awan (mega). Lalu, yaksa tangkas memetik bunga-bunga di kawasan Bukit Ramagiri untuk dipersembahkan kepada gumpalan awan berkenaan.

Sloka 5 – Seseorang yang sedang dilamun cinta atau rindu akan sanggup melakukan apa-apa sahaja. Menurut Kalidasa, demikianlah juga situasi yaksa. Awan hanyalah gumpalan wap air yang pasti tidak mampu menjadi duta (utusan) untuk membawa sebarang mesej atau pesanan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Tanpa memikirkan soal logik dan realiti, yaksa yang sedang dilanda rindu – dan risau memikirkan keselamatan diri yaksi – mula memujuk gumpalan awan tidak bernyawa itu supaya menyampaikan pesanan kepada isteri tercinta yang berada di Alaka.

Image credit: Joshiartist

Image credit: Joshiartist

Dalam puisi klasik Megha Duta, lima sloka (rangkap atau stanza) pertama dalam bahagian Poorvamegha memperkenalkan watak yaksa, serta keputusan yang diambil olehnya untuk memohon jasa baik gumpalan awan supaya menjadi tuutar (orang utusan). Selepas itu, bermulalah pesanan panjang berbentuk monolog yang disampaikan oleh yaksa kepada gumpalan awan berkenaan.

Sejumlah 61 sloka puisi klasik Sanskrit Megha Duta berbentuk sandesa kavya (“puisi utusan”) memuatkan panduan yang diberikan oleh yaksa kepada gumpalan awan. Panduan itu adalah mengenai laluan yang perlu diambil gumpalan awan berkenaan bagi meneruskan perjalanan dari Ramagiri ke Alaka. (Bersambung pada 4 November 2016)

Megha Duta adalah puisi epik Sanskrit oleh penulis India abad ke4, Kalidasa. Bahagian karya puisi ini, yang diulas oleh Uthaya Sankar SB, boleh dibaca di Eksentrika setiap hari Jumaat. Adakah anda mempunyai cerpen atau puisi? Hantarkan emel kepada editors@eksentrika.com