Baca bahagian-bahagian terdahulu di sini.

Pesanan yaksa kepada yaksi disampaikan melalui gumpalan awan (megha) yang diminta menjadi utusan (duta). Yaksa mengajarkan ayat-ayat yang perlu digunakan oleh gumpalan awan itu apabila ia tiba di Alaka nanti dan berjaya bertemu yaksi.

Sloka 45 – “(Kata yaksa🙂 Dengan menggunakan batu-batu mineral pelbagai warna, aku melukis rupa engkau pada permukaan batu. Aku melakukan kerja itu dengan perasaan marah yang muncul akibat cinta dan rindu aku kepada engkau.”

“Aku juga cuba melukis gambaran diriku terbaring kaku (tidak bernyawa) di kaki engkau. Malangnya, air mata mula bergenang dan mengaburi pandangan. Takdir dan nasib tidak membenarkan kita untuk bersatu walau dalam keadaan seperti itu (iaitu selepas kematianku).”

Gambar oleh pelukis Kathy Sheeran

Sloka 46 – “Sesungguhnya, dewa-dewi di kayangan turut menitiskan air mata melihat keadaan diriku. Pada setiap kali aku menemui engkau dalam alam mimpi, maka tangan aku secara spontan terawang-awang untuk cuba memeluk engkau dengan penuh erat.”

“Apabila dewa-dewi di kayangan melihat situasi itu, mereka mengalirkan air mata. Tentulah air mata dewa-dewi tidak boleh tumpah ke tanah. Maka, air mata mereka gugur pada pucuk daun muda dan putik bunga.”

Sloka 47 – “(Kata yaksa lagi:) Wahai yaksi yang sungguh mulia! Angin dari gunung (di bahagian utara) bergerak ke selatan selepas membantu kuntum-kuntum bunga pokok Devadaru (pokok sedar) berkembang.”

“Angin itu mengandungi wangian daripada cecair harum yang keluar dari pokok Devadaru. Sebelum itu, angin berkenaan tentu telah menyentuh tubuh engkau! Sebab itulah aku gembira disapa angin dingin dari gunung.”

Lukisan oleh Nimisha K

Sloka 48 – “Bagaimanakah waktu malam yang panjangnya tiga yama (1 yama = 3 jam) boleh dijadikan sesaat? Bagaimanakah waktu siang mampu dijadikan agak panas dalam setiap situasi? Demikianlah antara doa aku saban hari.”

“Aku sedar bahawa doa-doa ini sukar dimakbulkan. Akan tetapi, dalam keadaan terseksa dan tidak mampu berbuat apa-apa sejak berpisah dengan engkau, hanya itulah yang mampu aku lakukan.”

Sloka 49 – “(Yaksa berkata lagi:) Apabila duduk sendirian memikirkan masa depan, aku berusaha memberikan sokongan dan motivasi kepada diri sendiri. Wahai kekasih terpuji! Engkau pun janganlah terlalu risau dan runsing memikirkan perpisahan ini.”

“Tidak ada sesiapa yang ditakdirkan menikmati kebahagiaan sepenuhnya secara berterusan. Tiada sesiapa ditakdirkan mengalami penyeksaan berbentuk kesedihan secara berpanjangan. Hidup ini umpama putaran roda. Ada masanya kita berada di atas dan ada masanya terpaksa berada di bawah.”

Sloka 50 – “Tidak lama lagi, Sharngapani (Dewa Vishnu) yang memegang busur yang diperbuat daripada tanduk akan bangkit daripada keadaan berbaring di atas lingkaran ular bernama Ananta. (Mengikut kepercayaan Hindu, Dewa Vishnu tidur di atas Ananta dari 11 Ashadha/Aani hingga 11 Kartika/Aippasi mengikut kalendar Hindu/Tamil.)”

“Pada saat Sharngapani bangkit, sumpahan yang mengikat aku akan berakhir. Ada tempoh empat bulan lagi sebelum hal ini berlaku. Tutuplah mata engkau dan biarkan masa berlalu pantas. Selepas itu, apabila tempoh buang daerah selama 12 bulan berakhir, kita berdua akan dapat kembali bermadu kasih dan melepas rindu sepuas-puasnya pada waktu malam yang diterangi cahaya bulan.” (Bersambung pada 26 Mei 2017)