Kredit gambar: Asit Sankar

Baca bahagian-bahagian terdahulu di sini.

Watak yaksa yang meminta gumpalan awan pergi bertemu isterinya (yaksi) tidak terburu-buru menyatakan apakah pesanan yang perlu disampaikan. Sebaliknya, yaksa membayangkan dan menggambarkan situasi fizikal dan emosional yaksi yang ditinggalkan sejak lapan bulan dahulu.

Sloka 31 – Rambut isteriku tentulah kusut dan tidak kemas kerana dia hanya mandi menggunakan air; tanpa diminyak dan disapu wangi-wangian. Rambut kusut itu akan menutup pipinya dan isteriku akan cuba mengalihkannya dengan meniup udara menerusi bibir.

Dalam mindanya, dia masih akan teringin untuk menikmati saat-saat manis berdua-duaan dengan aku, suaminya. Biarpun tidak dapat dilakukan dalam realiti, sekurang-kurangnya dalam alam mimpi. Maka, dia akan begitu ingin untuk tidur, supaya dapat bermimpi. Akan tetapi, air mata yang terus mengalir membuatkan dirinya sukar untuk tidur.

 

Sloka 32 – Sesekali, jari-jemarinya dengan kuku yang tidak dipotong akan cuba mengalihkan rambut yang menggeser pipi. Jika engkau perhatikan, rambutnya yang diikat tocang itu agak keras dan kasar kerana tidak terurus.

Tocang itu diikat pada hari aku dibuang daerah, lapan bulan lalu. Bunga yang diletakkan pada rambut sudah lama layu dan hilang. Dalam tradisi kami, apabila pasangan suami-isteri terpisah, si isteri tidak akan menjaga rambut dan penampilan diri sehingga si suami kembali.

Maka, apabila tempoh pembuangan ini tamat nanti, aku akan menyikat dan mengikat rambutnya dengan sempurna sebagai simbol sumpahan (buang daerah) sudah berakhir.

Sloka 33 – Isteriku yang lemah dan lembut akan menanggalkan satu per satu barangan perhiasan pada tubuh yang rapuh. Apabila engkau melihat keadaan dirinya, aku pasti bahawa engkau akan mula mengalirkan air mata. Percayalah! Sesiapa yang memiliki nilai kemanusiaan dalam diri pasti akan luluh hatinya kerana amat simpati melihat keadaan isteriku ini.

Asit Sarkar – paintings – India

Sloka 34 – Aku tahu bahawa fikiran sahabat engkau – iaitu isteriku – pasti penuh rindu dendam terhadapku. Itulah sebabnya aku mampu membuat kesimpulan berhubung rupa fizikal dan emosional dirinya pada masa kini berikutan perpisahan pertama yang berlaku sejak kami bersatu (berkahwin).

Segala pandangan dan gambaran yang aku berikan ini bukanlah dibuat secara berlebih-lebihan sekadar untuk menunjukkan betapa aku bertuah kerana memiliki pasangan seperti itu. Wahai saudaraku (abangku), gumpalan awan, engkau sendiri akan berpeluang untuk melihat kesemua keadaan seperti yang aku ceritakan ini dalam masa terdekat (apabila engkau pergi ke Alaka).

Sloka 35 – Mata isteriku umpama mata seekor rusa. Tetapi rambutnya yang tidak terurus menghalang pergerakan mata yang kekurangan kolirium iaitu losen semula jadi pada mata. Akibatnya, pasangan mata yang bulat itu sudah kehilangan seri.

Apabila engkau bergerak menghampirinya nanti, mata kirinya akan berdenyut. Situasi itu sama seperti bunga teratai yang bergetar di atas tangkai susulan kocakan air kolam akibat pergerakan ikan. Denyutan mata kiri golongan wanita membawa ramalan bahawa seseorang yang dinanti akan tiba segera.

Sloka 36 – Paha kirinya juga akan berdenyut sebagai tanda bahawa orang yang disayangi akan tiba tidak lama lagi. Pahanya yang gebu seperti pisang kadali kini tentu tidak lagi menampakkan kesan calar kuku sewaktu kami berasmara dahulu. (Bersambung pada 4 Mei 2017)