Tasik Tambon Chiang Haeo di Thailand. Gambar kredit: Atlas Obscura  

Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Alaka terletak di Kailasa, iaitu tempat yang dihuni Dewa Shiva dalam mitos Hindu. Kalidasa memberikan gambaran terperinci mengenai bandar mistik ini menerusi sajak klasik Megha Duta. Turut diceritakan tentang rumah milik yaksa, iaitu watak pencerita yang sedang bermonolog.

Sloka 14 – Manmatha yang merupakan Dewa Cinta sering membawa busur istimewa di mana talinya terdiri daripada lebah. Dialah yang menjadi agen bagi memutikkan cinta antara pasangan muda.

Bagaimanapun, Manmatha tidak berani membawa busurnya ke Alaka kerana Dewa Shiva ada di sana. Dewa Shiva merupakan rakan kepada Dhanapati (Kubera) dan pernah membakar Manmatha dengan api dari matanya dalam suatu mitos terkenal. Itulah punca ketakutan Manmatha.

Tugas Manmatha untuk memutikkan cinta dalam kalangan penduduk di Alaka diambil alih pula oleh pandangan mata golongan yaksi (wanita) yang mampu menggoda yaksa (lelaki) yang sedia untuk bercinta.

Sloka 15 – Demikianlah gambaran Alaka di mana terletaknya rumah kita, wahai gumpalan awan. Rumah ini terletak ke arah utara sedikit dari rumah agam milik Kubera.

Engkau pasti dapat mengecam rumah itu dari jauh menerusi pintu gerbang yang melengkung seperti busur (pelangi) milik Surapati (Dewa Indra). Di sisi rumah kita ada pohon Mandara muda yang rendang dengan dahan-dahan dipenuhi bunga. Pokok itu dijaga oleh isteri aku seperti anak sendiri.

Sloka 16 – Di perkarangan rumah kita terdapat sebuah kolam dengan tangga yang diperbuat daripada marakata (zamrud). Kolam ini dipenuhi bunga teratai haima (emas) yang kembang penuh dan batangnya daripada vaidurya (permata biru terang) yang bersinar.

Engkau akan melihat juga sekawan itik yang berenang tenang di kolam tanpa risau tentang apa-apa masalah. Mereka gembira di sini. Malah, apabila melihat kehadiran engkau, wahai gumpalan awan yang indah, itik-itik itu tidak akan teringin untuk terbang menuju ke Tasik Manasa yang terletak berhampiran.

http://arunachalagrace.blogspot.my/2016/04/10th-night-vasantha-urchavam-burning-of.html

Sloka 17 – Di sisi kolam di rumah kita terdapat bukit batu yang puncaknya terdiri daripada indranilamani (batu nilam) yang bersinar. Ia dikelilingi pula oleh pokok kanaka kadali (plantain; sejenis pisang) yang menjadikan pemandangan bukit itu amat mengujakan.

Wahai sahabat! Apabila aku memandang engkau, dengan keindahan pancaran kilat mengelilingi tubuh engkau, maka aku teringat akan bukit batu itu. Fikiran aku terganggu dan aku berasa sedih kerana bukit batu berkenaan adalah kegemaran isteriku.

Sloka 18 – Tidak jauh dari situ, terdapat tumbuhan menjalar Madhavi yang berbunga merah jambu dan putih. Akan kelihatan juga pokok Ashoka berbunga merah, dan pokok Kesara berbunga putih.

Gambar kredit: corbisimages.com

Sebagaimana tradisi dalam budaya kita, pokok Ashoka berkenaan pasti merindui tendangan kaki kiri sahabat engkau, iaitu isteri aku. Pokok Kesara pula umpama wanita mengandung yang merindui satu lagi tradisi dalam budaya kita, iaitu supaya sahabat engkau (isteri aku) menyemburkan wain dari mulutnya ke arah bunga-bunga yang berputik.

Sloka 19 – Di antara pokok Ashoka dan pokok Kesara ini terdapat lapisan kristal dan di tengah-tengahnya terpacak batang emas menyerupai pokok bambu muda yang dihiasi batu-batu permata yang berkilau-kilauan.

Pada waktu senja, seekor merak berleher biru berehat di sana. Isteri aku sering mengajaknya menari mengikut irama tepukan tangan dan bunyi gelang yang berdenting. (Bersambung pada 14 April 2017)