*** Untuk membaca Bahagian 1.  

Puisi Sanskrit berjudul Megha Duta mengangkat watak yaksa (makhluk mitos separuh manusia dan separuh dewa) yang meminta segumpal awan menjadi duta bagi menyampaikan pesanan kepada isterinya.

Dalam mitos dan purana Hindu, muncul Kubera yang merupakan Dewa Kekayaan. Kita mungkin lebih mengenali Dewi Lakshmi yang turut diraikan dalam sambutan Navaratiri.

Kubera pula jauh lebih kaya-raya, sehingga kesemua vasu (dewa-dewi) akan menemuinya – atau memujanya – untuk mendapatkan kekayaan. Malah, Dewa Venkateshwara juga terpaksa meminjam wang daripada Kubera untuk melangsungkan perkahwinan dengan Dewi Padmawati.

Secara mudah, kedudukan Kubera dalam kalangan dewa-dewi adalah seperti golongan Chettiar di Tanah Melayu yang dihuraikan dalam buku The Chettiar Role in Malaysia’s Economic History (2016).

Dalam karya-karya era veda (Zaman Besi), Kubera digambarkan sebagai watak jahat. Kemudian, watak itu mengalami transformasi dan menjadi dewa dalam epik Hindu dan purana.

Khabarnya, Kubera asalnya pemerintah Lanka, sebelum berlaku rampasan kuasa oleh Ravana. Selepas itu, Kubera menghuni di Alaka, sebuah bandar mistik di Gunung Kailasa, Banjaran Himalaya.

Yaksa yang menjadi watak utama dalam puisi Megha Duta karya Kalidasa diperkenalkan pula sebagai individu yang bekerja menjaga dan mengawal tempat Kubera menyimpan harta.

Jika kita biasa berkunjung ke kuil-kuil Hindu, kita mungkin pernah melihat patung (bukan berhala!) makhluk menyerupai lelaki pendek, berperut buncit, mata terbeliak, dan amat garang.

Ya, demikianlah rupa yaksa dalam mitos dan purana Hindu. Manakala, yaksi pula versi wanita, dan biasanya digambarkan menerusi patung-patung berpinggang ramping serta berwajah jelita.

Berbalik kepada kisah dalam puisi Megha Duta, watak utama iaitu yaksa yang menjadi pengawal di tempat menyimpan harta Kubera dikenakan hukuman buang daerah selama 12 bulan.

Kubera menjatuhkan hukuman itu selepas yaksa berkenaan didapati leka dalam menjalankan tugas mengawal khazanah di Alaka.

Maka, ia dilucutkan segala kuasa magis dan dihantar ke puncak Bukit Ramagiri di kawasan pergunungan Vindhya, bahagian tengah India.

Yaksa hidup sendirian selama lapan bulan tanpa ditemani sesiapa. Kemudian, kehadiran gumpalan awan yang berarak ke utara (Himalaya) membuatkan rindunya kepada isteri sudah tidak tertahan. (Bersambung pada 21 Oktober 2016)

Megha Duta adalah puisi epik Sanskrit oleh penulis India abad ke4, Kalidasa. Bahagian karya puisi ini, yang diulas oleh Uthaya Sankar SB, boleh dibaca di Eksentrika setiap hari Jumaat. Adakah anda mempunyai cerpen atau puisi? Hantarkan emel kepada editors@eksentrika.com