Bunga Kunda. Kredit gambar: gardeningknowhow.com

 

Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Watak yaksa dalam puisi klasik Megha Duta ternyata tidak terburu-buru meminta gumpalan awan membawa utusan kepada isterinya yang berada di Alaka iaitu sebuah bandar mistik di Gunung Kailasa, Banjaran Himalaya.

Dia ternyata mahu gumpalan awan berkenaan turut menikmati pelbagai pengalaman sepanjang perjalanan dari Bukit Ramagiri di kawasan pergunungan Vindhya, bahagian tengah India.

Image sourced.

Image sourced.

Sloka 46 – Dewa Murugan adalah penghuni tetap di Devagiri. Menurut mitos dan purana, Dewa Shiva mahu melindungi bala tentera milik Dewa Indra. Maka, tenaga (sakti) yang bersinar lebih terang daripada matahari disimpan oleh Dewa Shiva di dalam mulut Dewa Agni. Dewa Murugan adalah tenaga dan sakti itu.

Engkau berubahlah menjadi gumpalan bunga. Engkau pasti boleh melakukannya kerana engkau adalah Kamarupa; mampu mengubah bentuk mengikutan keinginan hati. Mandikan Dewa Murugan dengan bunga-bungaan yang dibasahi air dari Sungai Ganges (Sungai Alakananda) yang mengalir dari kayangan.

Image sourced.

Image sourced.

Sloka 47 – Selepas itu, buatlah burung merak milik Dewa Murugan menari riang. Engkau dapat perhatikan bagaimana bulunya dihiasi corak bulatan dan garisan yang bersinar. Apabila bulu merak ini gugur, Dewi Parvathi (ibu kepada Dewa Murugan) akan menyelitkannya pada telinga menggantikan bunga teratai, sebagai tanda kasih kepada anaknya.

Engkau dapat perhatikan betapa bahagian tepi kelopak mata burung merak milik Dewa Murugan berwarna putih bersih. Hal ini berlaku akibat pancaran cahaya bulan yang terselit pada sanggul Dewa Shiva (bapa kepada Dewa Shiva). Engkau pergilah ke kawasan bukit diiringi dentuman guruh untuk membuatkan burung merak itu gembira dan terhibur.

Image sourced.

Image sourced.

Sloka 48 – Apabila sudah meraikan Dewa Murugan, engkau teruskan perjalanan ke arah utara. Golongan pendeta siddha yang membawa alat muzik veena akan memberi laluan kepada perjalanan engkau kerana mereka bimbang ditimpa air hujan.

Engkau perlu turun sedikit menghampiri Sungai Charmanvati di kawasan Chambal. Sungai itu ada cerita tersendiri. Raja Rantideva dikatakan menyembelih ratusan lembu bagi upacara pemujaan.

Lembu-lembu berkenaan dipercayai dilahirkan oleh Surabhi, iaitu lembu suci dari kayangan. Apabila lembu-lembu itu disembelih dan kulit mereka disiat, darah yang melimpah keluar dan mengalir telah menghasilkan Sungai Charmanvati.

Sungai Charmanvati. Kredit gambar: © Yann Forget / Wikimedia Commons

Sloka 49 – Engkau yang memiliki warna gelap seperti kulit Dewa Sharngin (Krishna) perlu turun untuk menyedut air dari Sungai Charmanvati. Sungai itu sebenarnya lebar, tetapi kelihatan kecil dan sempit dari langit. Rupanya seperti rantai mutiara dengan seketul batu nilam di bahagian tengah.

Sloka 50 – Kemudian, naik semula dari Sungai Charmanvati. Golongan wanita dan suri rumah di sekitar Dashapura memiliki mata dan kening yang cantik. Mereka memiliki mata yang bersinar seperti milik krishnasara, iaitu rusa yang ada garisan hitam dan putih pada tubuhnya.

Mata mereka cantik dan menggoda seperti lebah hitam yang terbang mencari bunga kunda yang putih mengembang. Biarlah mata golongan wanita itu liar dan asyik menyaksikan kehadiran engkau. (Bersambung pada 20 Januari 2017)