Kredit gambar: Dollsofindia.com

Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Walaupun motif utama watak yaksa adalah supaya gumpalan awan membawakan pesanan kepada isterinya di Alaka, apa-apa yang bakal ditemui di sepanjang perjalanan dari Bukit Ramagiri diceritakan secara amat terperinci.

Sloka 40 – Pada waktu malam, golongan wanita di Ujjaini akan mencuri peluang untuk berkunjung ke rumah kekasih mereka. Mereka akan menggunakan jalan utama kerana cahaya di kawasan itu agak malap, dan sesiapa yang menggunakan jalan berkenaan sukar dikenali.

Engkau bantulah perjalanan mereka dengan mengeluarkan pancaran kilat yang berwarna keemas-emasan. Akan tetapi, berhati-hatilah supaya tindakan engkau tidak pula memeranjatkan mereka. Jangan keluarkan bunyi guruh, dan jangan juga menggugurkan hujan yang boleh mengganggu perjalanan mereka.

Sloka 41 – Tugas mengeluarkan pancaran kilat bagi tempoh yang lama pasti akan membuatkan engkau kepenatan. Maka, berehatkan sepanjang malam di atas bumbung bangunan. Burung-burung merpati juga akan tidur di atas bumbung bangunan berkenaan.

Akan tetapi, sebaik sahaja engkau melihat matahari muncul pada pagi keesokan hari, teruskan segera perjalanan engkau. Seseorang yang sedang menjalankan tugas bagi seorang sahabat tidak harus berlengah-lengah dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah.

Sloka 42 – Waktu matahari terbit adalah juga waktu para kekasih cuba meredakan tangisan golongan wanita yang ditinggalkan selama ini. Maka, engkau harus segera meninggalkan tempat itu tanpa mengganggu perjalanan pancaran matahari.

Pancaran cahaya matahari adalah umpama karam (tangan) kekasih yang turun dari langit untuk membantu menyapu dan mengeringkan air mata (embun) pada pipi wanita; iaitu bunga teratai di kolam.

Sloka 43 – Engkau teruskanlah perjalanan ke Sungai Gambhira yang mengalir tenang. Walaupun bergerak seperti bayang-bayang, engkau tidak akan menghadapi masalah untuk mendapat tempat di hatinya.

Ikan shaphara yang berenang sambil memperlihatkan kilauan tubuh yang putih, umpama mata sungai yang sedang cuba menarik perhatian engkau. Engkau pasti tidak akan rugi apabila mendekati sungai ini yang menyamai seorang gadis.

20-ravi-varma-paintings-preview

Sloka 44 – Engkau bolehlah menghirup air yang menjadi umpama kain yang menutup tubuh si gadis. Sedikit demi sedikit, kain (air) akan berkurangan, dan paha serta punggung gadis itu akan mula terdedah. Dahan pokok vanira kelihatan seperti memeluk anggota tubuh si gadis (sungai) itu.

Wahai, kawan! Bagaimana mungkin engkau akan dapat meneruskan perjalanan selepas merasai nikmat bertemu gadis (sungai) ini? Aku faham bahawa engkau akan berdepan masalah untuk berpisah dan meninggalkan gadis ini.

Sloka 45 – Pada waktu itu, angin sejuk akan tertiup tenang. Angin berkenaan akan mengangkat bau harum tanah yang telah engkau basahi sebentar tadi. Kumpulan gajah yang kegembiraan akan turut menghirup bau tersebut menerusi belalai yang panjang.

Pokok-pokok udumbara akan tunduk tenang untuk mempamerkan buah yang masak ranum. Tiupan angin pula akan segera membangkitkan keinginan engkau untuk meneruskan perjalanan ke Devagiri (Devgad) yang menempatkan kuil Dewa Murugan (Kartikeya @ Skanda). (Bersambung pada 13 Januari 2017)