“Where Ramagiri’s shadowy woods extend,
And those pure streams where Sita bathed, descend;
Spoiled of his glories, severed from his wife,
A banished Yacsha passed his lonely life;
Doomed by Cuvera’s anger to sustain
Twelve tedious months of solitude and pain.”

Terjemahan di atas dilakukan oleh Horace Hayman Wilson dalam The Megha Duta or Cloud Messenger: A Poem in the Sanscrit Language (1814).

Megha Duta adalah antara puisi Sanskrit yang paling diraikan, dan dihasilkan oleh Kalidas @ Kalidasa @ Kalidasan, iaitu antara penyair penting dalam sastera Sanskrit di India.

Dari segi bahasa kamus, “duta” merujuk kepada wakil yang dilantik secara sah dan dihantar ke luar negara bagi tujuan khusus. “Duta” (Sanskrit) atau “tuutar” (Tamil) merujuk kepada “orang utusan” (messenger, ambassador).

Puisi sepanjang 121 sloka (stanza, rangkap) ini diterjemahkan ke pelbagai bahasa di India dan di luar India. Malah, Megha Duta menjadi inspirasi kepada sekurang-kurangnya 55 lagi sandesa kavya (“puisi utusan”) yang meniru formulanya.

Identiti dan nama sebenar Kalidasa tidak diketahui. Nama samarannya membawa makna “Pengikut Kaali Devi” atau “Pemuja Kaali Devi”. Ada beberapa kisah (mitos) yang dikaitkan dengan asal-usul penyair agung ini.

Kalidasa turut menghasilkan puisi Sanskrit berjudul Kumarasambhava dan Raghuvamsha; serta teks lakonan berjudul Abhigyanashakuntala. Kandungan karya-karya ini bukanlah asli kerana Kalidasa mengambil kisah-kisah menarik daripada Mahabharata, Ramayana, dan puluhan purana yang terkenal dalam budaya India.

Megha Duta pula merupakan sebuah karya asli yang menakjubkan dan mengasyikkan bagi peminat puisi bermutu di seluruh dunia. Pasti ada sebab mengapa hal ini berlaku.

Puisi Sanskrit ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Poorvamegha (66 sloka) dan Uttaramegha (55 sloka), serta mengangkat watak yaksa yang merupakan makhluk mitos separuh manusia dan separuh dewa.

Agak menarik untuk meneliti mengapa dan bagaimana yaksa itu memujuk segumpal awan menjadi duta. (Bersambung minggu hadapan Oktober 14)


Megha Duta adalah puisi epik Sanskrit oleh penulis India abad ke4, Kalidasa. Bahagian karya puisi ini, yang diulas oleh Uthaya Sankar SB, boleh dibaca di Eksentrika setiap hari Jumaat. Adakah anda mempunyai cerpen atau puisi? Hantarkan emel kepada editors@eksentrika.com