Parasurama (kiri) juga merupakan avatara keenam Deva Vishnu. Kredit gambar: arttoart.io

Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Dalam puisi klasik Megha Duta, watak yaksa seterusnya menceritakan kepada gumpalan awan tentang apa yang bakal ditemui apabila sampai di kawasan Banjaran Himalaya di bahagian utara India.

Sloka 60 – Selepas merentas pelbagai keajaiban di kaki Banjaran Pralayadri (nama lain bagi Himalaya), teruskan perjalanan engkau ke arah utara. Engkau akan tiba di Bukit Krouncha. Amat mudah untuk mengenal pasti bukit itu menerusi lubang besar yang menembusinya.

Lubang besar ini menjadi laluan bagi kumpulan angsa yang terbang menuju ke Manasa di Madhya Pradesh. Ia juga menjadi lambang kegemilangan Parasurama (“Rama yang memegang kapak”) daripada keturunan Bhrigu. Parasurama yang merupakan avatara keenam Deva Vishnu melepaskan panah sakti yang menghasilkan lubang pada Bukit Krouncha.

Engkau perlu bergerak mencondong sedikit dan percayalah! Engkau akan kelihatan seperti kaki hitam milik Dewa Vishnu yang memijak dan membenamkan raja asura bernama Mahabali ke patala (dunia bawah tanah). Kisah Dewa Vishnu menjelma dalam avatara kelima sebagai Vamana (“orang kerdil”) untuk menewaskan Mahabali merupakan kisah terkenal dalam kalangan orang Malayali di Kerala, serta asas bagi sambutan Onam.

Kredit gambar: thenewsminute.com

Antara sepuluh avatara Deva Vishnu, Vamana adalah avatara kelima. Kredit gambar: thenewsminute.com

Sloka 61 – Sesudah melalui lubang pada Bukit Krouncha, engkau perlu terbang tinggi sehingga nampak puncak Gunung Kailasa. Permukaan gunung ini yang licin dijadikan cermin oleh golongan dewi di kayangan untuk melihat wajah mereka.

Gunung Kailasa berdiri megah dan gagah. Puncaknya memenuhi ruang langit. Jika engkau perhatikan, ada sedikit retakan pada bahagian puncak. Ia akibat perbuatan Dashamukha (“raja berkepala sepuluh”) iaitu Ravana daripada epik Ramayana yang cuba mengangkat dan membawa gunung ini ke Lanka. Usahanya digagalkan Dewa Shiva.

Permukaan Gunung Kaliasa bukan sahaja licin seperti cermin, tetapi juga putik melepak seperti bunga teratai yang berkembang penuh, dan seperti tawa nyaring Dewa Shiva yang terkumpul dari hari ke hari.

Keluarga Deva Shiva di Gunung Kailash. Hampir setiap rumah penganut Hindu akan ada potret ini. Kredit gambar: s-media-cache-ak0.pinimg.com

Keluarga Deva Shiva di Gunung Kailash. Hampir setiap rumah penganut Hindu akan ada potret ini. Kredit gambar: s-media-cache-ak0.pinimg.com

Sloka 62 – Aku sudah dapat membayangkan keindahan gunung itu apabila engkau mendekati cerunnya nanti. Engkau memiliki tubuh sejuk umpama ketulan kolirium berwarna kelabu dan putih berkilauan yang dihancurkan untuk membuat celak bermutu bagi mewarnakan keliling mata golongan wanita.

Gunung Kailasa memiliki warna putih bersih umpama gading gajah yang baharu dipotong. Apabila engkau bergerak menaiki cerun curam menuju ke puncak, pasti pemandangannya amat menakjubkan! Lihatlah menerusi mata yang separuh terpejam bagi menikmati kepuasan maksimum.

Gambaran gunung berkenaan umpama Halabhrit iaitu Balarama (“Rama yang gagah”) yang selalu mengangkat tenggala pada bahu. Balarama berkulit cerah manakala adiknya, Krishna (avatara Dewa Vishnu) berkulit gelap. Balarama gemar meletakkan kain hijau kehitaman pada bahu. Maka, apabila engkau yang bertubuh hitam mendekati puncak Gunung Kalilasa yang berwarna putih, akan kelihatan umpama rupa Balarama yang gagah perkasa. (Bersambung pada 10 Februari 2017)