Kredit gambar: static.panoramio.com

Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Dalam perjalanan menuju ke Alaka, sebuah bandar mistik di Gunung Kailasa, Banjaran Himalaya, gumpalan awan yang menjadi duta (utusan) turut diminta melakukan pelbagai kebaikan kepada alam dan manusia yang ditemui.

Watak yaksa menyampaikan pesanan, panduan dan permintaan dalam bentuk monolog di Bukit Ramagiri, kawasan pergunungan Vindhya, bahagian tengah India.

456201-forest-fire-pixabay

Kredit gambar: static.dnaindia.com

Sloka 56 – Apabila angin bertiup, dahan-dahan pokok sarala mungkin akan bergeser sesama sendiri. Akibat daripada kejadian itu, percikan api mungkin terhasil, dan menyebabkan kebakaran hutan tanpa sengaja.

Percikan api ini juga mungkin jatuh ke atas kulit lembu chamari iaitu baka lembu bertanduk panjang, berbulu tebal dan berjumbai-jumbai. Kejadian ini mungkin menyebabkan bulu lembu-lembu chamari terbakar.

Maka, engkau padamkanlah segera api yang terpercik menggunakan curahan air hujan. Usah engkau lupa bahawa kehebatan dan kemuliaan orang yang berada (kaya) terletak pada kemampuannya mengurangkan penderitaan dan kesusahan orang lain.

Image credit: wikimedia.org

Kredit gambar: wikimedia.org

Sloka 57 – Dalam pada itu, jangan ganggu kumpulan rusa sharabha, iaitu binatang mistik yang memiliki lapan kaki; termasuk empat kaki yang dikatakan tumbuh mengarah ke atas pada bahagian belakang badan mereka.

Sekiranya engkau kurang berhati-hati, rusa-rusa sharabha itu mungkin naik berang, lalu tiba-tiba bangun dan cuba melompat merentas tubuh engkau. Akibatnya, tentulah tulang-tulang pada tubuh mereka retak!

Maka, bagi mengelakkan perkara buruk seperti itu berlaku, engkau halaulah rusa-rusa sharabha menerusi renjisan air hujan yang lebat. Mereka mungkin tidak sedar bahawa penglibatan dalam perbuatan yang tidak membuahkan sebarang hasil adalah tindakan yang tidak masuk akal.

Kredit gambar: templepurohit.com

Kredit gambar: templepurohit.com

Sloka 58 – Pada batu-batu di sekitar kawasan itu, engkau akan melihat bekas tapak kaki Dewa Shiva yang turut dikenali sebagai Ardhendumoili (“Dia yang memakai bulan sabit sebagai mahkota”).

Golongan siddha (pendeta) sering membawa barangan pujaan untuk disajikan di tempat ini. Apabila seseorang sudah kehilangan nikmat segala deria, mereka datang untuk melakukan pemujaan khas di sini. Akhirnya, mereka dilupuskan segala dosa dan diangkat menjadi gana, iaitu pengiring kepada golongan dewa.

Wahai, awan! Engkau wajar tunduk hormat di kawasan batu-batu yang mempunyai bekas tapak kaki Dewa Shiva. Kemudian, bergeraklah (beraraklah) mengelilingi kawasan itu sebagai tanda hormat.

Sloka 59 – Rumpun buluh kichaka akan turut berbunyi merdu apabila ditiup angin. Golongan Kinnara yang sering dikaitkan dengan muzik dan tarian, akan mula menyanyi. Kinnara adalah makhluk mitos yang bertubuh separuh manusia dan separuh kuda.

Golongan Kinnara akan menyanyikan kisah-kisah berkaitan penaklukan Tripura (Tiripuram) oleh Dewa Shiva. Tripura dalam mitos Hindu merujuk kepada tiga kota/kubu yang dibina oleh Mayasura selaku arkitek golongan asura atas arahan anak-anak Tarakasura, iaitu Tarakaksha, Vidyunmali dan Viryavana.

Ketiga-tiga kota itu khabarnya diperbuat daripada besi, perak dan emas; serta setiap satu terletak di bumi, langit dan kayangan. Keangkuhan golongan asura menyebabkan Dewa Shiva muncul dalam inkarnasi Tripurantaka bertangan empat dan memusnahkan Tripura.

Sebagai mengiringi nyanyian golongan Kinnara, engkau bolehlah mengeluarkan bunyi guruh yang berdentam seperti gendang; lalu melengkapkan orkestra bagi memuji kehebatan Pashupati (satu lagi nama Dewa Shiva). (Bersambung pada 3 Februari 2017)