Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.

Watak yaksa terus bermonolog dan menceritakan kepada gumpalan awan (megha) mengenai apa-apa yang perlu dilakukan apabila berada di bandar Vishala.

Sloka 36 – Engkau teruskan perjalanan ke kuil Dewa Shiva yang berleher warna biru kekelabuan akibat racun yang dihirup dari sungai untuk menyelamatkan manusia.

Taman di perkarangan kuil ini segar dengan tiupan angin dari Sungai Gandhavati. Angin yang bertiup akan membawakan haruman bunga teratai serta wangian yang digunakan oleh kumpulan wanita yang mandi di sungai.

Para pembantu Dewa Shiva pasti akan mendongak dan memandang engkau dengan penuh takjub. Mereka pasti kagum kerana warna tubuh engkau sama dengan warna leher tuan mereka.

Sloka 37 – Apabila sampai di Kuil Mahakala, iaitu kuil Dewa Shiva, engkau perlu berehat di sana sehingga matahari mula terbenam sepenuhnya pada waktu senja.

Kemudian, sewaktu upacara sembahyang bermula, engkau palulah gendang (dentuman guruh). Ngauman dan teriakan engkau (bunyi guruh) pasti akan memberikan hasil yang lumayan.

Sloka 38 – Engkau akan dapat melihat kumpulan wanita muda menari riang di perkarangan kuil. Bunyi gemersik gelang kaki akan jelas kedengaran mengikut rentak gerakan kaki.

Tangan para wanita muda itu pasti keletihan kerana penat memegang kipas yang digunakan untuk mengipas berhala dewa-dewi semasa upacara sembahyang di kuil. Kalau engkau perhatikan, lengan mereka akan ada tanda cakaran halus akibat terkena kuku sang kekasih.

Sebaik sahaja titisan hujan yang engkau turunkan mengena kulit dan luka, para wanita muda itu akan merasai sensasi yang melegakan. Mereka akan segera mengerling ke arah engkau dengan penuh terima kasih.

Sloka 39 – Pada masa dahulu, Dewa Shiva dikatakan berjaya membunuh Gaja, iaitu asura yang menjelma dalam rupa seekor gajah. Shiva segera menanggalkan kulit gajah daripada tubuh Gaja yang sudah mati. Dengan penuh teruja, Shiva menari sambil meletakkan kulit gajah pada bahu.

Tangan-tangan Shiva bergerak tangkas semasa menari thandava; dengan darah mengalir dari kulit gajah yang ditanggalkan daripada tubuh Gaja. Dewi Parvathi, iaitu isteri Dewa Shiva, menjadi runsing dan gelisah setiap kali suaminya melakukan aksi tarian thandava yang menggerunkan itu.

Wahai, awan! Engkau harus menjadi gumpalan yang bulat dan terbang mendekati tangan-tangan Shiva yang terawang-awang di udara. Manfaatkan cahaya matahari senja untuk menjadikan tubuh engkau merah menyala seperti bunga raya.

Turunkanlah sedikit hujan untuk membasahi bumi. Sebaik sahaja Dewa Shiva memulakan tarian, tarik perhatian dewa itu supaya Dia terus terlupa tentang kulit Gaja. Apabila engkau berjaya melakukannya, kegelisahan Dewi Parvathi akan mula hilang. Engkau akan melihat kegembiraan dan kepuasan dalam mata Dewi Parvathi. (Bersambung pada 6 Januari 2017)