Penglipur lara (Storyteller) – kehidupan itu adalah penuh dengan cerita dan hikayat, yang membawa makna dan pedoman. Sedarlah hidup itu bukan untuk bersuka ria, malah untuk kita belajar menjadi lebih baik, menyantuni alam alam, dan sentiasa mengagungkan Allah yang Maha Esa.

Artwork terbesar yang pernah aku hasilkan, 8 x 5 ft. Selama 4 hari bertapa di laluan terowong stesen LRT Masjid Jamek.

sanuri8

6 Oktober – 9 Oktober.

Pengalamanku selama 4 hari melukis mural di laluan terowong LRT Masjid Jamek penuh dengan cerita.

Permulaan hari pertama, bertemu dengan Allie Hill di depan stesen masjid jamek. Tanpa berlengah kami melangkah masuk menuju ke lorong terowong  LRT stesen Masjid Jamek. Kami bertemu Kenny Loh, rakan Allie seorang photographer akan merakam detik detik penghasilan mural. Suara orang ramai yang baru turun dari LRT sekali sekala memecah kesunyian terowong sepanjang hampir 200meter itu. Dengan Bismillah aku mulakan melakar diatas dinding bersaiz 8 x 5 kaki.

Konsep mural ini menggambarkan kisah hidup seorang penglipur lara, yang penuh dengan cerita dan hikayat. Dengan berdasarkan konsep ini, aku melukis dengan menggunakan teknik doodle yang dipenuhi dengan garisan-garisan organik dan corak-corak berunsur seni melayu. Beberapa orang lalu lalang berhenti bertanya tentang mural. Ramai yang meluahkan rasa gembira mereka menyaksikan lukisan secara ‘live’. Aku juga tidak gemuruh melukis di kawasan terbuka kerana sudah biasa. Kenny sibuk mengambil gambar aku melukis tanpa aku hiraukan.

sanuri6

Ada seorang atuk tua sekitar umur 70+ tahun tiba-tiba terpacul di belakang ku.

Bagus anak muda macam you ni, kreatif”, ujar atuk sambil menepuk bahu aku. Dia sambung lagi, “Ini tangan ni u boleh buat bentuk naga, dekat air ni boleh keluar buaya..”

Panjang lagi yang dia cakap sampai aku lupa. Perlahan lahan aku membuat garisan halus sambil melayan atuk berbual.

sanuri7

Tak lama kemudian kakak seorang menghampiri bertanya aku sekolah di mana. Perbualan yang agak lama tapi aku lupa semua yang dibincangkan. yang aku ingat kakak itu tunjukkan gambar anak babi hutan yang tidur di dalam kawasan rumahnya.

Aku melukis dari pagi hingga jam 4 atau 5 petang. Hanya keluar untuk solat dan makan. Suasana di luar stesen hingar bingar, disinari hangat mentari, berhabuk dengan pembinaan renovasi Masjid Jamek.

sanuri6

Sesekali aku melemparkan pandangan ke gelandangan di ceruk-ceruk kota. Hidup di jalan tidak mudah. Hidup mereka mungkin tidak bertuah, tapi mungkin di akhirat hidup mereka dipenuhi cahaya. Aku hulurkan sedekah setakat yang mampu. Hanya beberapa hari di sini membuat aku tersentak dan terdiam.

Walaupun hidup aku bukan kaya raya, tetapi tinggi benar jurang kehidupan kami. Hidup yang hanya sibuk dengan gelak tawa, membuatkan kita lupa dan lalai. Sesekali hati itu perlu menangis untuk belajar tentang makna kehidupan. Sempat aku membeli satu botol minyak wangi dari pelarian Syria di tepi masjid sebelum sambung melukis. Teringat kata kata dari Andrea Hirata: “Hiduplah untuk memberi sebanyak banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.

sanuri2

Sekumpulan perempuan datang bertanya tentang mural, akhir sekali sempat dia cuba berkongsi tentang network distribution. Benda-benda seperti ini yang aku malas dengar. Dengan sopan santun aku menolak secara halus, sehingga dia dan kawan berlalu pergi.

Tak lupa juga kawan kawan dari Doodle malaysia yang datang melawat aku melukis. Yang datang berkumpulan, sememangnya membuatkan lorong sunyi bertukar seperti pasar malam. Penuh suara bersembang dan gelak tawa. Ada juga terserempak dengan kawan-kawan lama yang bertahun tahun tidak bersua. Sempat berkongsi cerita kehidupan masing masing.

 

Coretan Sanuri Zulkefli tentang pengalaman melakar doodle di LRT Masjid Jamek untuk program Contenglah oleh Doodle Malaysia sempena INKtober.  Lihatlah hasil kerja Sanuri yang lain di blognya atau Facebook.  Adakah anda seorang artis mahu berkongsi cerita? Hantarkan email ke editors@eksentrika.com