Gambar ehsan Uthaya Sankar SB

Cerpen sulung saya yang tersiar di media arus perdana adalah karya berjudul “Ayya” yang mendapat tempat di majalah Dewan Pelajar keluaran Ogos 1992.

Sejak itu, selain daripada menulis karya bagi remaja dan khalayak dewasa, saya terus-menerus menghasilkan cerpen (cerita pendek) yang disasarkan khas kepada pembaca kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia.

Kategori umur yang tepat bagi definisi “kanak-kanak” memang agak sukar. Dari segi undang-undang, individu berumur 17 tahun juga mungkin dianggap masih kanak-kanak.

Bagaimanapun, bagi membantu memudahkan urusan penulisan karya kreatif, saya meletakkan had umur dari 7 hingga 13 tahun bagi golongan pembaca kanak-kanak.

Sekiranya kita meminta pandangan dan pengalaman para penulis, rata-rata pasti mengaku bahawa tidaklah mudah untuk menghasilkan cerpen bagi bacaan kanak-kanak.

Apabila seorang dewasa – atau remaja – menulis cerpen kanak-kanak, mungkin pandangan, pemikiran dan kefahaman sebagai seorang dewasa (atau remaja) akan hadir secara tidak disedari dalam karya. Kita mungkin kelihatan preachy, berdakwah atau mengajar dalam karya.

Cabaran bagi seorang penulis adalah untuk memastikan mesej dan pemikiran yang mahu disampaikan kepada kanak-kanak tidak terlalu memaksa. Malangnya, kelemahan ini masih hadir dalam kebanyakan cerpen kanak-kanak yang tersiar di beberapa majalah.

Pembaca kanak-kanak lazimnya sudah biasa membaca (atau mendengar) cerita rakyat dan cerita dongeng. Cerita-cerita ini biasanya sarat dengan mesej, nilai, pengajaran dan moral.

Penyampaian mesej secara langsung mungkin sesuai bagi kanak-kanak berumur bawah 6 tahun. Misalnya, pada akhir cerita, dipaparkan apakah mesej, nilai atau moral yang terkandung dalam cerita berkenaan.

Saya juga menulis cerita rakyat sejak hampir 25 tahun lalu. Sebahagian besar karya berkenaan tersiar di majalah Dewan Pelajar, selain termuat dalam pelbagai antologi yang pernah diselenggarakan oleh Allahyarham Dr Othman Puteh.

Kumpulan cerita rakyat India berjudul Nari! Nari! (1995) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Munis Dengan Harimau (1996) terbitan Fajar Bakti mendapat sambutan baik. Malah, saya menerbitkan semula Nari! Nari! (2015) dalam edisi baharu untuk bacaan generasi baharu.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara sejak diasaskan pada Ogos 1999. Peserta kanak-kanak biasanya diberikan hadiah buku cerita selaras usaha Kavyan memupuk minat membaca dalam jiwa generasi muda.

Saya mendapati bahawa murid-murid pelbagai kaum, pelbagai latar sosial dan latar budaya – sama ada di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – sangat teruja apabila diberikan hadiah buku cerita.

Walaupun generasi muda yang lahir selepas tahun 2000 dikatakan (dituduh?) kurang membaca buku dan lebih berminat menghadap telefon pintar, pengalaman Kavyan membuktikan sebaliknya.

Memanglah ada kanak-kanak – malah remaja dan dewasa – yang tidak berminat membaca buku cerita. Apabila disiasat, maka kita akan tahu bahawa kelemahan atau kekurangan itu mungkin sahaja berpunca daripada bahan bacaan itu sendiri!

Pembaca kanak-kanak berumur 7–13 tahun tentu sahaja tidak mahu disogok dan dipaksa membaca buku cerita yang disasarkan kepada kanak-kanak berumur 4–5 tahun.

Mereka tidak mahu disogok dengan mesej, nilai, moral dan pengajaran secara terang-terangan. Mereka mahu menikmati cerita yang mampu menarik minat mereka – bukan mahu diberitahu “ini betul” dan “ini salah” seperti di kelas Moral dan Agama.

Saya mendapat pendidikan awal di SRK Convent Aulong, Taiping, Perak. (Nota: Ada dua sekolah “Convent” di Malaysia yang terdiri daripada murid lelaki dan perempuan. Sebuah lagi terletak di Cameron Highlands, Pahang.)

Sejak kecil, saya amat gemar membaca buku cerita Bahasa Malaysia dan Inggeris. Walaupun perpustakaan SRK Convent Aulong pada waktu itu hanya berisi buku-buku lama, saya menghadam kesemuanya dengan penuh minat.

Minat membaca diteruskan apabila saya melangkah ke SM Darul Ridwan, Taiping. Ternyata, minat yang berputik pada usia kanak-kanak akan kekal sampai ke akhir hayat. Saya mengulas hal ini secara mendalam menerusi prakata kumpulan cerpen Pulau Pendatang (2015).

Sesungguhnya, minat membaca buku cerita dalam apa-apa bahasa akan turut membantu kanak-kanak menguasai, mencintai, memahami dan menghayati bahasa berkenaan pada tahap yang lebih tinggi dan lebih mendalam. Hasil positif pasti akan terpancar menerusi karangan yang ditulis oleh murid-murid di sekolah.

Murid-murid berkenaan juga pasti memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi, lebih berani untuk bercakap di hadapan kelas, serta mampu meluahkan pandangan dan emosi menerusi kata-kata – sama ada secara lisan atau bertulis.

Segala aspek psikologi ini juga diambil kira apabila saya menulis cerpen bagi bacaan kanak-kanak. Saya tidak mahu cerpen yang sekadar bercerita, atau sekadar memainkan peranan menyampaikan nilai-nilai murni kepada pembaca.

Sebaliknya, sebagaimana rakan-rakan penulis yang menghasilkan karya bermutu, saya mahu supaya cerpen yang ditulis itu membawa perubahan dalam jiwa, minda dan perlakuan pembaca kanak-kanak.

Untuk itu, selain daripada penerapan unsur-unsur sastera (hiburan, imaginasi, teknik, didaktik, intelek, emosi) dan unsur-unsur cerpen (watak, perwatakan, tema, persoalan, plot dan sebagainya), karya yang dihasilkan perlu mampu “berkomunikasi” dengan pembaca kanak-kanak.

Komunikasi bukan secara sehala, misalnya menyampaikan mesej, moral dan pengajaran semata-mata. Komunikasi harus meresap ke dalam jiwa dan minda pembaca supaya otak mereka terangsang untuk menghayati unsur-unsur sastera dan unsur-unsur cerpen secara bawah sedar.

Semasa saya merancang dan seterusnya menulis cerpen untuk bacaan kanak-kanak, saya sentiasa mengambil kira semua aspek di atas. Saya juga memastikan bahawa kisah yang disajikan bukan sesuatu cerita yang sudah terlalu banyak kali diceritakan oleh orang lain.

Saya berpegang kepada pendirian “pupuk perpaduan, tolak perkauman, raikan kepelbagaian”. Maka, nilai ini juga sering hadir secara tersirat dalam cerpen-cerpen yang saya hasilkan khusus untuk bacaan kanak-kanak pelbagai kaum.

Walaupun saya menulis cerpen kanak-kanak sejak tahun 1992, hanya pada tahun ini saya memilih 10 cerpen untuk dibukukan. Kumpulan cerpen Ikan Patin dan Beruang Besar dijadualkan terbit pada November 2017.

Apa yang menarik, ramai rakan-rakan tampil memberikan sumbangan ikhlas bagi membolehkan buku berkenaan turut dihadiahkan kepada lebih 100 kanak-kanak di beberapa negeri.

Seterusnya, saya sedang mencari 10 penulis baharu yang berminat untuk terlibat dalam Projek Antologi Cerpen Kanak-kanak. Projek ini mensasarkan untuk mengasuh dan membimbing 10 individu pelbagai kaum menghasilkan cerpen kanak-kanak dan akan diterbitkan dalam bentuk buku menjelang November 2018.

Orang ramai boleh berkunjung ke blog ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek berkenaan. Dalam pada itu, semoga ibu bapa dan penjaga terus membuka ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk membaca karya bermutu yang membantu pertumbuhan jiwa, rohani dan minda.