Kredit gambar: Pinterest

seorang bapa tidak tahan mendengar tangisan dan pengaduan anak gadisnya untuk mengadakan pesta selamat tinggal usia muda, pada ulangtahun ke 14, kerana malu kepada kawan-kawan di muka buku, juga kerana terpengaruh dengan sambutan hari lahir pembesar negara dan selebriti dunia di kaca tv tetangga. lalu, melalui berbagai pinjaman tertampal di pohon-pohon kelapa yang ditawarkan, dia berhutang kerana ketidakcukupan wang setelah menggadai cincin emas 9 karat peninggalan pusaka milik isterinya.

setelah itu rumahnya di kelilingi lampu lip-lap, bunga-bunga, tarian ravel anak-anak, lagu-lagu ucap selamat ulang tahun berentak hip-hop berbaur keroncong lumayan berkumandang.

si ibu menghidangkan nasi, ikan pekasam, ayam goreng, puyu tiga rasa, daging singgang, sambal kicap, budu cheese, sayur rebung, scramble telur angsa, ulam pegaga, lepat pisang dan kek dari secret recipe dihiasi lilin warna-warni di atasnya tertulis selamat 14 tahun anakku.

selain tetangga, turut diundang para menteri, selebriti, agamis untuk berdoa pembuka dan penutup majlis, siapa saja yang lalu lalang di hadapan rumahnya dan tidak lupa Tuhan.

tetapi tiada yang datang selain Tuhan yang maha sibuk.

Bintang Kartika seorang gadis bukan pemakan nasi dan durian yang menggilai puisi.

Ada cerpen atau puisi? Sila kongsi bersama kami di editors@eksentrika.com