Kredit gambar: tate.org.uk

Aku memeluk erat ibu. Lama aku dakapnya dan aku boleh dengar dengusan nafasnya yang tidak stabil. Aku lepaskan dan pandang wajahnya. Dia kelihatan risau. Wajahnya seperti hendak mengatakan ‘Kau akan baikkah?’ atau ‘Jangan buat perkara bodoh selepas ini.’

“Jangan risau ibu. Tahulah Su menjaga diri.” Kataku cuba menenangkannya. Aku lihat adik di dalam kereta seperti tidak sabar-sabar hendak bergerak meninggalkan aku di stesen bas ini. Dia hinggutkan kepalanya dan mencemeh muka padaku. Hisy.

“Biar ibu carikan calonnya.” Kata ibu. Terkejut juga aku. Nyata sangkaan aku salah.

“Tak apalah ibu. Su lagi suka macam gini.” Kataku.

“Hmm, ya lah, tapi kalau kau ubah fikiran, kau tahu pada siapa kau boleh harapkan.” Kata ibu mengukir senyum. Aku capai tangan ibu dan cium tangannya.

“Su balik dulu ya.”

“Yalah, jaga diri baik-baik. Dah sampai nanti telefon.” Kata ibu sebelum masuk semula ke dalam kereta. Adik memandu laju kereta Proton Preve itu dan meninggalkan debu-debu yang kotor dan singgah di wajahku. Aku terbatuk kecil dan mula bergerak laju menuju ke stesen bas.

Sebelum menjengah ke bawah bumbung stesen bas baru ini aku terkejap seketika. Aku keluarkan sebatang rokok menthol dan aku bakar sebatang. Bagasi beroda yang aku heret tadi aku tegakkan. Aku merenung lokasi baru stesen bas ini yang sungguh menghairankan aku. Tempatnya terletak di bawah bukit. Di atas bukit berdiri megah sebuah tokong Buddha dengan patung Siddharta Gautama yang tegak berdiri mengawasi pekan kecil ini. Macam di Thailand. Ironinya di lereng bukit itu, pada suatu kawasan yang terperosok ke dalam sedikit terdapat sebuah bangunan yang berfungsi sebagai pasar basah untuk menjual daging babi. Duhai Buddha yang mengawasi pekan ini, adakah engkau menangis di atas sana tiap kali kau ternampak Cina-cina di situ menyiat-nyiat kulit, memotong-motong tulang-temulang dan menghiris-hiris daging babi itu? Siapalah agaknya arkitek perancang majlis daerah pekan ini.

Rokok yang aku sedut tidak habis. Aku jentik ke bawah dan tenyehnya dengan hujung but aku. Aku terus berjalan dan menjengah ke stesen bas lalu duduk di bangku yang tersedia. Tiket sudah dibeli lebih awal lagi. Kalau tidak kerana kereta aku yang rosak tentu aku tidak naik bas. Tapi aku terpaksa. Hari ini juga aku perlu pulang kerana aku dipilih sebagai panel penemuduga di syarikat tempat aku bekerja. Esok pagi ada dua calon pekerja yang sedia untuk menghadap muka aku.

Kerana bas masih lambat aku mula melayari internet. Tapi aku tidak dapat fokus. Aku terbayangkan wajah ibu yang menitipkan pesan supaya mencari pengganti suami aku.

Oh, hidup aku dengan Hadi merupakan satu tragedi. Kami bercinta semasa di universiti dahulu. Dia mengambil kursus Komunikasi Massa sama dengan aku. Di awal percintaan aku memang seronok dengannya. Dia bukan orang kaya dan begitu juga aku. Kami menjalin kasih tanpa mengisi masa dengan percutian-percutian mahal atau hadiah-hadiah mewah atau gajet-gajet berteknologi terkini. Kemudian Hadi masuk meminang. Kenduri kahwin diadakan secara kecilan saja. Hantaran kahwinnya pun hanya tiga ribu ringgit saja ketika itu. Aku masih ingat ramai saudara-mara aku yang mencebik bibir bila mengetahui hantaran Hadi sangat rendah. Tapi aku buat pekak telinga saja. Aku percaya cinta adalah lebih penting daripada wang ringgit. Aku percaya cinta kami tidak perlukan wang berjuta-juta.

Selepas berkahwin Hadi memulakan perniagaan dalam talian. Mula-mulanya kami ikat perut juga kerana lambat pusing modal. Aku pun banyak keluarkan duit gaji aku sendiri untuk membantunya. Setelah setahun dia mula berjaya. Aku tumpang gembira bila keuntungan tiap-tiap bulan mula mencecah puluhan ribu. Aku berhenti kerja dan Hadi mula membelikan aku barang kemas, kami berpindah ke rumah baru yang lebih besar dan aku turut dibelikan sebuah kereta. Aku pernah berkongsi kisah Hadi di facebook. Aku ceritakan bagaimana kisah cinta kami bermula, jumlah hantarannya yang sedikit, bagaimana kami mengikat perut ketika Hadi mula-mula berniaga dan sebagainya. Posting aku itu menjadi viral. Ramai yang like dan kongsinya. Antara komen yang aku paling ingat ‘Rezeki selepas kahwin, kak.’ Dan aku juga ingat tukang komen tersebut – yang selalu juga berkomen di posting aku, Salmah Adam Had namanya.

Tapi katak hanya berdengung bila memanggil hujan. Tengkujuh biasanya tiba di hujung tahun. Rezeki yang disangka rezeki kahwin ini membawa bersama bala yang aku tidak jangka. Hadi semakin sibuk di luar. Dia semakin jarang pulang ke rumah. Dan kalau pulang pun dia akan membawa bersama masalah kerjanya dan menjadikan aku sekadar mesin perakam cerita masalahnya. Aku kesunyian. Aku seperti tunggul kayu yang semakin kering, tandus dibakar terik mentari di tengah-tengah padang pasir. Aku pernah suarakan pada Hadi yang aku mahukan anak. Hadi terkejut dengan cadangan aku. Aku paling tidak dapat terima bila dia katakan yang kewujudan anak hanyalah penghalang kehidupan kami berdua. Apa? Kerja kau yang terlalu sibuk itu penghalang hubungan kita bukan rezeki Tuhan itu, kata aku. Kalau aku tidak usaha selama-lamanyalah orang pandang rendah pada kita, balasnya pula.

Sejak daripada hari pertengkaran itu Hadi sudah tidak balik ke rumah langsung. Aku sudah macam nak naik gila hidup berseorangan di rumah. Aku terasa malu kerana di facebook aku hanya kongsikan hal-hal yang indah sahaja. Aku berasa tersentap tiap kali melihat kawan-kawan seuniversiti atau rakan sekolah dulu memuat naik gambar bayi mereka. Pedih hati ini melihat gambar mereka keluar bersiar-siar sekeluarga dan si ayah seronok mendukung anaknya.

Hadi meninggalkan aku gantung tak bertali. Berbulan-bulan lamanya. Aku cuba hubungi dia tapi tidak dapat. Pejabat syarikatnya pun selalu mengatakan dia jarang datang ke pejabat. Mak dan ayah mentua aku pun tidak tahu di mana kedudukan lokasi Hadi.

Akhirnya pada suatu hari Hadi pulang ke rumah, bersama seorang wanita cantik yang sarat mengandung. Maafkan aku Su, hari ini aku lepaskan kau dengan talak satu, bersahaja nadanya. Hah? Apa dia? Setelah berbulan kau menghilang, setelah berbagai liku hidup dilalui bersama, setelah berkongsi pelbagai derita, kau datang tiba-tiba bersama entah siapa-siapa dan menceraikan aku? Dadaku berombak dan naluri kewanitaan yang mudah terpatah hati ini menyebabkan aku berjijisan air mata. Aku lari kepadanya dan menampar-nampar dadanya dan Hadi kekal tanpa reaksi. Maafkan Su abang kalau Su ada buat silap. Aku terhinggut-hinggut tubuh menangis tersedu-sedan. Tamparan sudah bertukar menjadi pelukan yang erat. Aku tidak mahu kehilangannya. Tidak, tidak seperti ini.

Maafkan Su, abang. Esak aku lagi. Hadi meleraikan pelukan aku. Abang dah tak cintakan Su lagi. Hah? Kemudian dia meninggalkan aku selepas itu dan wanita mengandung yang mengiringinya menjeling aku dengan matanya yang menjengkelkan.

Sebulan kemudian kami sudah sah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi. Hadi mengambil rumah dan aku mengambil kereta sebagai harta sepencarian. Kereta itu aku jual dan buat modal aku berniaga. Tidak lama selepas itu baru aku tahu nama isteri baru Hadi itu Salmah Adam Had rupanya.

Mengingati wajah Hadi dan Salmah membuatkan aku berasa hendak merokok. Aku bangun dan keluarkan sebatang rokok dan menuju ke tandas. Semasa hendak melalui lorong ke tandas aku terpandangkan seseorang. Jalil!

Jalil adalah cinta hati (crush) aku masa tingkatan satu dulu. Mukanya ada iras-iras Azhar Sulaiman tapi masa sekolah dulu dia jambu woo. Masa hujung tahun aku pernah hantar surat pada dia, meluahkan isi hati aku padanya. Surat tu tak berbalas pun. Masa tingkatan dua dia dah pindah. Semasa aku pertama kali menggunakan facebook kalau tak silap aku, aku ada berjumpa dengan akaun Jalil. Tapi aku tak approvekan friend requestnya.

Masa dia melintas dengan berlenggang itu pelbagai imejan bermain di kepala; bunga Rafflesia yang mengembang kelopaknya, gajah Siam yang memijak sampai mati pelatihnya, burung helang yang bertelur, wajah Ahmad Boestamam sedang berpidato berapi dan mata bulat Salvador Dali bersama misai lentiknya sambil memegang arca Telephone Losbternya.

Aku membetulkan jaket kulit coklat yang membaluti tubuhku, seluar jean skinny aku kemaskan lakapan pinggangnya dan but tumit tinggi aku sapukan tisu untuk membuang kotoran yang melekat. Aku menolak sedikit tengah kacamata dan melangkah pada Jalil dengan yakinnya. Dengan rokok menyala di tangan kiri aku berasa aku akan menjadi penggoda yang berjaya.

“Jalil Saberi, kelas 1 Mawar SMKPS dulu kan?” Tanyaku dengan wajah senyum anggun. Jalil terkejut melihatku. Dia geleng kepala. Aduh, aku silap orang ke.

“Muka sebijik la.” Kataku lagi. Mungkin Jalil mahu mengelak daripada aku. Mungkin isterinya ada di sekitar dan dia takut isterinya menuduh bukan-bukan. Oh, lantaklah. Kalau Salmah boleh buat perangai kenapa tidak aku?

Jalil duduk di bangku dan aku menurutinya tanpa dipelawa.

“Jalil dah meninggal dunia. Lima tahun sudah.” Katanya. Melopong mulut aku bila menyebut ‘hah?’ Malangnya aku tidak approvekan friend requestnya dahulu. Kalau tidak tentu takdir dunia akan berubah. Mungkin Jalil takkan mati dan aku mungkin berlaku curang dengannya.

“Saya adiknya.”

“Saya tak tahu pun. Sumpah. Masa tingkatan dulu dia dah pindahkan?”

“Ha’ah.” Jamal membalas acuh tak acuh. Seperti tidak mahu pedulikan aku pun sebenarnya.

“Awak adik dia rupanya. Muka sama sangat.” Kataku lagi dengan nada ceria. Sambil dia bercakap aku perhati molek-molek wajah dia. Comel juga dia ni. Bahagian bawah bibirnya yang terjuih itu seperti meminta untuk dicium saja. Tapi rona mukanya ketat saja. Layan aku endah tak endah saja. Aku rasa aku ni cantik. Takkan dia gay kot?

“Saya Jamal.”

“Hmm, Jamal. So awak kerja di sini atau?”

“Minta maaf, saya perlu pergi.” Tiba-tiba Jamal bangun dan meninggalkan aku. Aku perhati sekeliling jika ada teman wanita atau isterinya yang berada. Aku lihat Jamal menghampiri seorang wanita Inggeris dan berbual mesra. Pekan aku ni dipanggil bandar Taman Negara. Memang ramai pelancong yang datang ke sini setiap masa. Jamal ni pemandu pelancongkah? Aku sedut rokok dan lepaskan asapnya kemudian aku tenyeh puntungnya dengan tumit but aku.

Aku ikut laluan lain dan pergi mengintipnya dari arah bertentangan. Aku dengar betul-betul apa yang mereka borakkan. Oh jadi namanya Angela. Oh, Angela berumur 20 tahun. Menerusi perbualan mereka Angela berkata yang dia menjelajah ke seluruh Asia seorang diri. Angela baru habis belajar dan sekarang mahu mencari inspirasi untuk menulis dengan mengembara.

Aku melotot pada wajah Angela. Orangnya comel, anak matanya kebiruan, rambut blonde dan wajahnya putih. Dia tidak seperti kebanyakan orang putih yang datang ke sini. Biasanya orang putih pada umur 20 tahun akan kelihatan seperti 30 tahun. Tapi Angela tidak. Tingginya sekitar enam kaki. Dia mengenakan tank top biru gelap dengan tali strap yang tipis. Skirtnya separas peha dan kalau dia menunduk pasti sesiapa dapat melihat seluar dalamnya. Payudaranya tidak besar, mungkin saiz B macam aku, kulitnya berbintik-bintik tapi bintiknya tidak begitu jelas dan dia mengendong sebuah beg besar. Bukan main ceria Jamal berbual dengan Angela. Adakah Jamal peminat orang putih? Oh, dengan aku kau buat tak layan saja ya.

Kaunter tikat bas membuat pengumuman yang bas akan bertolak dalam 10 minit. Aku gegas ke tandas untuk kencing puas-puas. Selepas kencing aku keluar dan melihat diri di depan cermin. Aku berdiri dengan mencekak kedua belah tangan di pinggang. Ah, macam Mao Zedong.

Masa masih panjang. Aku bakarkan rokok sebatang lagi. Aku lunjurkan sedikit kaki kiri ke depan, tangan kiri mengepit rokok dan tangan kanan mencekak pinggang. Aku menjungkit bahu, menaikkan kening dengan muka serius, aku seret ke tepi mukaku ini sampai menonjolkan tulang pipi dan garisan rahang yang cantik. Indahnya ciptaan Tuhan. Kalau boleh aku mahu ambil gambar swafoto sekarang juga dan muat naik di internet dengan kapsyen Everything is okay bitch!. Aku memiringkan sedikit tubuh. Punggungku yang montok dan berbentuk sangat cantik menampakkan dirinya. Begitu juga dengan payudaraku. Walaupun kecil tapi mantap. Aku bertambah kagum pada diriku sendiri. Cantik. Aku cantik dan stailo. Bodoh betul Hadi. Tolol betul Jamal.

Aku rasa kalau aku jadi perempuan pun aku boleh tergoda melihat diri aku. Melihat diri aku dalam cermin membuatkan aku hendak masuk ke dalamnya dan terkam dan menggomolnya. Aku rasa sifat bawah sedar narsisis manusia timbul bila menghadap cermin. Kalau aku boleh naik nafsu pada diri aku sendiri, bolehkah aku naik nafsu pada perempuan lain? Apa agaknya rasa menjadi lesbian ya?

Pengumuman bergema lagi. Bas bertolak sekarang. Seorang makcik masuk dan mengibas-ngibas hidungnya terbaukan asap rokok. Aku pandangnya dengan jungkitan kening dan menjentik rokok ke dalam basin.

Aku bawa naik sama bagasi. Aku tahu kalau waktu pagi dan weekday begini tidak ramai naik bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur jadi ruangnya tentu luas. Aku melihat nombor tempat duduk. Kepala tercari-cari dan, hah. Aku duduk di sebelah Jamal rupanya. Aku lihat kepalanya ke belakang dan berborak dengan Angela yang duduk di belakangnya.

“Hai.” Aku menyapa Jamal. Ini percubaan kali terakhir. Kalau dia tak layan, pedulilah.

Jamal seperti rimas dengan kehadiranku. Tatkala bas bergerak aku cuba membuka perbualan tetapi dia buat-buat sibuk menaip sesuatu di telefon pintarnya.

“Awak kerja kat KL?”

“Tak.”

“Habis tu? Pergi jumpa kawan?

“Tak.”

“Ha… jumpa skandal ek?” Jamal mengangkat mukanya dan memandang dengan wajah jengkel padaku. Kemudian kami diam seketika.

“Jalil dulu pernah kahwin?” Aku mencuba sekali lagi. Kenapalah agaknya ayat aku sudah tidak romantik? Kenapa aku tak boleh menuturkan pickupline-pickupline yang biasa aku baca di internet? Agaknya pickupline ini hanya ditakdir untuk diucapkan oleh golongan lelaki aja kot.

“Tak.” Jamal hanya menjawab sepatah. Geram aku ni. Geram dengan bibir dia pun ya juga. Tapi kalau dia berterusan sombong begini aku akan undur diri.

Beberapa ketika seterusnya kami terus diam. Bengang juga aku bila soalan aku yang lain dia jawab tanpa peduli. Bila bas berhenti di satu RnR, aku turun untuk menghisap rokok. Bila aku naik semula aku lihat Jamal sudah duduk di sebelah Angela.

Aku keluarkan novel Paolo Coelho bertajuk The Zahir. Bas mula bergerak. Aku tidak dapat menumpukan pada pembacaan aku. Aku dapat dengar dengan jelas perbualan mereka di belakang. Aku pusing seketika dan melalui celah apitan kusyen yang terbuka, aku nampak sebuah novel juga yang lentok dalam tangan Angela. Kepalanya fokus pada Jamal yang sedang bercakap.

Aku hendak ketawa mendengar Jamal bercakap dalam bahasa Inggeris. Slanga Malaysianya sangat tebal. Agaknya Angela sangat fokus kerana cuba memproses maksud daripada kata-kata Jamal.

“Bandar awak di mana?” (Disebut oleh Jamal dengan slanga Malaysia dan grammar yang tunggang terbalik)

“Vancouver. Awak pernah dengar?”

“Ya, saya pernah dengar. Itu bersempadan dengan Mexico kan?”

“Itu Texas. Vancouver di Kanada.”

Senyap. Aku cuba menahan ketawa.

“Jadi awak tak takut kembara seorang diri?”

“Saya dah melepasi enam negara Asia pun.”

“Beraninya awak dan awak baru…”

“20 tahun.”

“Ya, sangat muda.”

Senyap.

“Apa pendapat awak tentang Malaysia?”

“Ianya sangat bagus. Terutama cuacanya. Saya suka.”

“Semalam tak hujan?”

“Tidak. Paginya saja. Tapi hujan tak lebat.”

“Itulah, hujung tahun memang tengkujuh.”

“Awak pernah ke negara luar?”

“Saya? Hmm…”

Senyap. Aku ingin sangat dengar jawapannya. Dengan bahasa Inggeris yang merangkak-rangkak kau jangan nak bohonglah Jamal yang kau pernah berjalan ke luar negara.

“Saya pernah ke negara Asia saja. Eropah belum lagi.”

“Ke mana?”

“Thailand, Kemboja, Jepun dan Korea.”

“Oh, bulan lepas saya ada di Korea dan Jepun.”

“Seronok kan?”

“Jepun terbaik tapi Korea, tak banyak beza dengan Amerika, selain mata sepet mereka. Mereka semakin menjadi Amerika. Saya tak suka.”

“Haha betul tu. Tapi saya sukakan orang Korea.”

“Kenapa?”

“Comel, macam awak.”

Ha tu dia. Pickupline Jamal. Aku pusing belakang dan lihat wajah Angela. Orang putih itu menaikkan bebola matanya ke atas. Agaknya dia dah biasa dengar. Padan muka kau, Jamal. Ceitt, cerit Jamal bila perasan aku intipnya. Aku mengekeh ketawa.

Setelah dua jam di dalam bas barulah sampai di Kuala Lumpur. Aku turun cepat-cepat. Tak kuasa nak menghadap Jamal. Bila sudah turun aku tengok Jamal masih mengekor Angela. Lama-kelamaan wajah Jamal yang seperti Azhar Sulaiman ni aku tengok macam bodoh pula.

“Awak tinggal di hotel mana?” dan pertanyaan tolol Jamal itu membuatkan Angela terus menahan sebuah teksi.

Baru kena dengan muka kau Jamal.

Aku mendapat mesej dari rakan serumahku. Kata Syira, dia berada di rumah bersama teman lelakinya. Aku telefon dia dan hamburkan kemarahan aku. Dah berapa kali aku pesan jangan bawa balik lelaki masuk rumah. Aku rasa nanti aku perlu mencari rumah lain. Aku perlu tinggal seorang diri saja barulah aman sedikit.

Aku mengheret bagasi dan menahan sebuah teksi. Aku minta pemandunya menghantar aku ke Tune Hotel Jalan TAR untuk bermalam. Sampai di hotel ketika aku check in di lobi dan aku ternampak Angela. Dia mengukir senyum dan menegurku.

“Awak baca Coelho.” Katanya sambil mengangkat novel di tangan. Dia membaca The Alchemist rupanya. Aku angguk saja. Dia terus membontoti aku. Di dalam lif dia bertanya “Awak tinggal bilik mana?”

“13 A.”

“Sebelah saja.” Aku lihat dia mengetap bibir dengan renungan mata nakal.

“Awak sangat menggoda, tubuh awak, perwatakan awak…” Kata Angela lagi. Aku nampak dadanya berombak dan wajahnya dikuasai setan. Aku tarik nafas dan membidangkan dada aku. Tak dapat lelaki apa salahnya perempuan? Orang putih pula tu.

“Perlukan malam yang hangat?” Tanyaku dengan jungkitan kening. Angela tersenyum lebar.

***

Aku di pejabat dan baru menemuduga seorang calon. Sementara menunggu calon seterusnya aku teringatkan malam aku bersama Angela. Ianya aneh dan bercelaru. Cukuplah aku jadikan itu sebagai satu pengalaman pelikku. Aku takkan ulanginya lagi. Biarlah saja aku menjadi seorang narsis demi hidupku yang damai.

Aku diberitahu calon seterusnya ialah seorang lelaki. Aku meneliti resume calon itu. Ha, nama dia pun Jamaludin. Kenapalah resume ini tidak ditaruk gambar pula. Bengang betul aku. Lulusan SPM, bahasa Melayu hanya C dan bahasa Inggerisnya E. Pengalaman sebelum ini bekerja di KFC dan kilang tayar. Okaylah tu kalau sekadar untuk memohon jawatan sebagai despatch di syarikat aku ni. Pintu diketuk. Aku suruhnya masuk. Kemudian masuk seseorang. Aku angkat muka dan terjengul wajah bodoh Jamal. Pada saat itu aku teringatkan perbualannya semalam lalu aku terketawa.

Penulis, Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali, berumur 28 tahun lepasan UniversitiTeknologi MARA (UiTM); Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maklumat (Perpustakaan dan Maklumat). Kini perkejaannya sebagai pekebun/penternak lembu di Kampung Sungai Badak, Jerantut, Pahang. Beliau boleh dihubungi melalui emelnya husainighazali@gmail.com. Latar penulisannya setakat ini termasuk Novel Menculik Sensasi (Lejen Press,2016), Cerpen Kucing Poten dan Pemuda Yang Tersungkur (jalantelawi.com, 2017). Beliau juga pernah menghasilkan dua buah terjemahan bebas cerpen Julio Cortazar dan Etgar Keret di kitartb.wordpress.com

Ada cerpen atau puisi? Sila kongsi bersama kami di editors@eksentrika.com