Sejak iklannya diuar-uarkan di facebook saya sangat teruja. Saya telah menandakan ‘menghadiri’ pada RSVP acara program yang dianjurkan seorang seniman muda yang meningkat naik namanya kini. Saya memang minat giler dengan dia. Mulanya saya terjumpa filem pendek bikinannya di Youtube dan sejak itu saya mula berminat dengan hasil kerjanya. Apabila dia mula membikin novel saya segera beli melalui pos. Walaupun saya punya keinginan untuk ke majlis pelancaran novelnya, bertentang mata dengannya, meminta autografnya dan mengatakan ‘filem pendek Cik Wan sangat brilliant’ tetapi hasrat itu terpaksa saya lupakan. Maklumlah saya duduk di kampung sangat jauh dengan Kolumpo tu.

Novelnya meletupkan minda. Saya sangat tertarik pada ketelitian ceritanya, watak-watak anehnya dan juga langgam bahasa yang digunakannya. Semuanya baru dan segar. Kemudian dia tulis novel baru, kemudian dia tulis lagi, dan lagi. Selepas itu dia mula sibuk pula dengan teater. Beberapa penggiat teater mula mementaskan tulisannya. Saya memohon untuk menjadi rakannya di facebook. Lama juga saya nak tunggu beliau meluluskan permintaan menjadi rakan saya. Saya ingin menghantar mesej dan tulis di dinding facebooknya mengatakan bermacam hal tentang kekaguman saya tetapi saya berasa malu pula. Saya berasa itu keterlaluan dan tidak patut. Bagaimana kalau dia tak komen pun post saya tu? Lagi teruk kalau dia tak like pun. Saya tak sanggup. Saya tak sanggup mengambil risiko dan memikul kekecewaan sebesar itu.

Akhirnya setelah begitu lama menanggung perasaan saya putuskan untuk menghadiri salah satu acaranya. Saya mesti. Mesti jumpanya kali ini. Saya tak tahan lagi. Jadi saya mula mengumpul duit. Upah saya sebagai pengait buah kelapa sawit yang cukup untuk membeli sepuluh bekas pencungkil tahi gigi saya simpan dengan cermat dan saya betul-betul berjimat.

Saya berdebar-debar bila turun di stesen LRT Masjid Jamik. Acara itu akan bermula di Lebuh Pasar berhampiran menara jam. Saya nampaknya dari jauh beberapa manusia mengerumuni kawasan itu. Saya mula berasa gelisah hendak berjumpa Cik Wan. Orangnya orang yang hebat. Saya ada baca profilnya. Sebelum menjadi seniman sepenuh masa dia merupakan seorang arkitek rupanya. Filem pendeknya pernah menang anugerah di Amerika dan Cik Wan pernah jadi penulis residen di sebuah pusat sastera terkenal di Indonesia. Siapalah saya ini? Cuma peminat kerdil yang taraf pendidikan pun SPM saja. Tentu budak-budak yang hadir sama itu semuanya mahasiswa. Orang pandai sastera, orang pandai seni. Saya berasa malu pula bila melihat pakaian saya. Sekadar seluar khaki lusuh yang pudar warnanya, selipar jepun yang haus tumitnya dan kemeja petak-petak gedoboh. Pemikiran sebegini mula menganggu saya sampaikan langkah saya terhenti seketika, hati berbolak-balik sama ada untuk turut serta atau cuma memerhati daripada jauh.

Tapi kemudian saya menukar fikiran. Saya tekad untuk bertemunya lalu melangkah maju ke hadapan. Dalam ramai-ramai yang berkumpul itu semuanya budak-budak muda. Saya kira ada dalam 15 orang. Mereka sedang mengibar-ngibarkan kain, ada yang membawa tong, ada yang membawa gendang, ada yang bawa kompang dan ada yang membawa tin susu. Tapi saya tak nampak Cik Wan pun? Saya tanya diri sendiri. Di kaki lima blok bangunan kedai yang mengepung menara jam serta kawasan lapangnya, deretan pekerja asing warga Bangladesh, Vietnam dan Indonesia sedang memerhati dengan rasa ingin tahu apa yang hendak diperbuat oleh budak-budak muda itu.

Saya pandang sekeliling dan ternampak di satu kedai mamak ada sekumpulan manusia yang berunggun di kaki limanya. Di celah-celah mereka saya lihat seseorang. Sepertinya masa terhenti dengan tiba-tiba kemudian berubah menjadi slo-mo, sepertinya hanya wajah dia sajalah yang bercahaya terang berkilat-kilau, sepertinya ketika itu manusia-manusia di sekelilingnya cumalah patung dan dia seorang sajalah yang hidup laksana kaisar agung mengenakan mahkota dan mantel, duduk bersandar di singgahsana. Itulah Cik Wan.

Saya melangkah perlahan. Debaran di jantung berdegup laju. Masakan tidak, kan dia idola saya. Saya terus melangkah dan bila mendekatinya saya terpaku. Tangan saya terketar-ketar. Dia sedang ralit berbual-bual bersama teman-temannya yang lain. Saya mahu berkata kepada teman-temannya ‘Berhenti! Saya peminat dia yang sudah datang dari jauh!’ tetapi mulut saya seperti tersumbat dengan sekati emas padu. Mata saya terkebil-kebil dan urat dahi saya terkenyat-kenyat.

Tiba-tiba Cik Wan menghulur salam. Saya masih terpasak seperti tunggul tidak bergerak.

“Baru sampai? Register kat situ.” Kata Cik Wan. Suaranya lembut menyusup ke telinga saya, mengalir turun ke pangkal jantung dan berdegar-degar mesra di situ. Barulah saya sedar. Dia memang yang sebenar. Dia di depan mata saya. Ini bukan kebohongan. Ini tidak dusta. Lalu tangan saya bangkit dari lenanya dan menjabat. Terasa lembut, dingin seperti ais di dalam peti. Kini kami sudah bersatu dalam satu jabatan. Saya ingin berteriak kegembiraan, saya ingin menjerit kegirangan namun Cik Wan melepaskan jabatan tangannya. Saya mengangguk kepala senyum dan berputar ke belakang. Saya kata pada seorang urusetia yang memakai topi “Saya nak register”. Si topi suruh tulis pada kertas. Saya tulis nama, nombor IC dan nombor telefon.

Saya meminggir ke bangku berhampiran. Cik Wan dikerumuni ramai orang sampaikan saya tak ada peluang untuk merapatinya. Saya tunggu bila acara akan bermula. Kemudian setengah jam kemudian, setelah saya menghabiskan dua batang sigaret, baharulah acara bermula.

Cik Wan bersama teman-temannya ke tengah kawasan lapang. Mereka memanggil semua peserta. Masa itu matahari sedang tegak di kepala dan teriknya seperti menyiat kulit muka. Kami berkumpul berhampiran menara jam. Semua mata yang tidak menyertai acara itu menumpu ke pada kami. Seorang jurucakap memulakan ucapan aluan, berterima kasih kepada kami dan menerangkan perjalanan acara. Saya tak dengar sangat apa yang dia katakan. Bila dia mengangkat tangan ketiaknya basah dan berbekas. Saya hanya pandang pada gelagat Cik Wan. Dia sangat kurus rupanya. Dia pakai selipar jenama Primavera rasanya, seluar jean biru laut berpotongan lurus, sehelai baju t belang-belang melintang warna merah putih. Dia memakai kaca mata pesen lama, rambutnya paras bahu kelihatan lembut bersyampu dan satu beg cebek kain tersangkut pada bahunya. Orangnya berkulit kuning langsat, bertubuh kurus langsing, dagunya tajam, dia tidak ada sebarang kumis atau janggut dan matanya bulat. Kadang-kadang dia mendagu tangannya, kadang-kadang dia mengurut-ngurut mulutnya seperti dia memiliki janggut, sesekali dia mencekak pinggang. Bila angin bertiup dan rambutnya mengaburi wajahnya, dia mengulit belahan rambutnya ke tepi persis seorang model Filipina.

Jurucakap mempersilakan Cik Wan untuk berucap. Masa itu saya sudah berpeluh dan kebanyakan peserta muka mereka sudah berminyak. Hari sangat panas dan tekak saya terasa kering. Saya mahu membeli air tetapi saya tidak boleh lepaskan peluang mendengar Cik Wan bercakap. Saya nak dengar suaranya. Saya nak dengar kepetahannya berkata-kata.

Cik Wan berdehem. Semua memberikan tumpuan kepadanya. Kemudian bibirnya mula bergerak-gerak. Namun kami tidak mendengar suaranya. Suaranya halus, terlalu perlahan dan rendah. Saya cuba menangkap apa yang diperkatakannya melalui  pergerakan bibirnya. Cik Wan seperti mengatakan ‘terima kasih saudara sanggup datang jauh-jauh untuk ketemu saya, terima kasih saudara kerana awaklah peminat nombor satu saya.’

Jurucakap  tadi memberikan pembesar suara. Barulah suara Cik Wan kedengaran lebih jelas. Dia mengatakan hari ini adalah projek memetakan sastera di Kuala Lumpur berdasarkan karya-karya penulis lama. Dia terangkan yang kami akan berjalan dari sini, berhenti di beberapa checkpoint sebelum menamatkannya berhampiran flyover berdekatan balai kebudayaan negara.

Selesai berucap acara dimulakan dengan budak-budak muda tadi membuat bulatan besar. Setiap seorang melayang-layangkan kain, kertas kajang, mengetuk tin dengan tukul, memalu gendang dan menepuk kompang. Suara mereka bergema dengan pekikan sajak Pemburu Kota oleh T.Alias Taib. Selesai laungan yang saya tidak arif sangat apa signifikannya itu kami melintas jalan dan berhenti pula di stesen hub Pasar Seni.  Ada satu bulatan besar, di dalamnya seorang perempuan cina sedang terduduk sambil menghisap rokok.  Ada colok yang terbakar. Perempuan itu kemudiannya makan secebis kertas, mengunyahnya dan meludahkannya keluar. Kemudian dia mula beraksi seperti dirasuk sebelum dia konon-kononnya pengsan. Ada seorang lelaki serba hitam menarik sebiji tilam usang dari jauh. Dia datang ke bulatan itu dan menarik tubuh perempuan cina tadi ke atas tilam. Ramai orang di stesen bas memlihat acara kami itu dengan pertanyaan. Ada seorang polis datang dan seperti berbincang dengan Cik Wan.

Kemudian kami mula berjalan ke hadapan. Sepanjang perjalanan kami melepasi tiang-tiang landasan kereta api yang besar dan pangkalnya tertampal dengan kertas-kertas tertulis sajak-sajak Usman Awang, Salleh Ben Joned dan lukisan komik Lat. Cik Wan menerangkan satu persatu sajak tersebut. Dia tak  guna mikrofon dan saya tak dapat mendengarnya langsung. Kami terus berjalan sehingga ke penghujung berhampiran flyover, di bawah jambatan. Ada beberapa gelandangan yang sedang bersantai, pelik dengan kehadiran kami. Seorang lelaki berambut panjang tiba-tiba naik ke kawasan tinggi dan membaca sajak. Saya tak faham sangat apa yang dibacanya kerana butir perkataan yang disebut tidak jelas. Lebih kurang lima minit kemudian bacaan sajak yang diselang seli dengan rungutan dan pekikan itu terhenti. Jurucakap mengumumkan acara telah tamat.  Semua orang saling berbual. Saya berasa terasing kerana saya tak kenal siapa-siapa disini. Saya ingin jumpa Cik  Wan sahaja. Tapi Cik Wan bintang di situ. Semua orang mengelilinginya. Saya tak ada peluang langsung menyatakan isi hati saya padanya.

“Hai encik. Saya ada soalan.” Tiba-tiba saya disapa seseorang. Saya berpaling dan seorang lelaki memakai baju t biru, seluar jean sendat dan kasut Adidas merah putih tersenyum.

“Ya, apa dia?” Tanya saya.

“Saya wakil daripada penaja program ni. Apa pendapat cik tentang acara ni?” Tanya dia.

“Oh bagus, bermanfaat.” Kata saya. Saya jawab begitu sahaja kerana saya tidak mahu memanjangkan perbualan. Lagipun apalah yang saya faham sangat tentangnya, sebenarnya?

“Encik dari mana?”

“Saya dari kampung.”

“Wah, menarik.” Katanya. Apa yang menariknya saya pun kurang erti. Ketika itu juga perut saya memulas-mulas.  Saya terasa hendak ke tandas melepaskan hajat.

“Jadi encik rasa acara ini patut diteruskan?” Saya cuma mengangguk dan meminta diri. Saya berlari dengan laju mencari tandas. Saya mesti cepat. Lepas ni saya nak jumpa juga Cik Wan dan bergambar dengannya. Saya nak muatnaik di facebook dan tagnya. Saya mahu umumkan kepada dunia bahawa saya telah bertemu Cik Wan. Saya nak tulis kapsyen yang gempak dan hashtag banyak-banyak. Selepas berak saya kembali ke tempat tadi. Namun saya hampa.  Saya sangat kecewa. Ianya sudah lengang. Mereka sudah hilang meninggalkan saya tercengang seorang.

Saya melangkah dengan hampa. Saya terus ke stesen bas untuk pulang tetapi tiket sudah habis. Saya terpaksa mencari hotel. Tapi kebanyakan hotel mahal. Saya ke Petaling Street setelah mencari maklumat mengenai hotel bajet. Malangnya semua hotel dan hostel sudah penuh. Saya berjalan semula ke tempat lapang di menara jam. Ada bangku-bangku kosong. Saya duduk sebentar dan menghisap rokok. Hari makin larut malam dan senja akan berakhir. Ketika itu saya terpandangkan satu papan tanda di bangunan kedai. Ianya merelap dengan lampu dan tertulis HOTEL  BAJET SEMALAM RM50 TANPA DEPOSIT.

Saya terus naik ke atas. Saya katakan yang saya mahu tidur semalam. Pekerja Bangladesh mengambil butiran saya. Saya bayar RM50 dan menuju ke sebuah bilik kecil. Tandas dan bilik mandinya di luar. Katilnya bujang dan tilamnya permaisuri. Tidak ada tivi cuma aircon dan wifi.

Saya kunci bilik dan hempas badan ke tilam. Hari sudah malam. Saya terlelap. Sejam kemudian saya terbangun. Saya sudah tidak boleh tidur. Saya teringatkan Cik Wan. Betapa kecewanya saya. Saya buka beg saya dan ada tiga buah novelnya. Ruginya kerana saya tak dapat meminta autograf Cik Wan tadi. Saya cuba tidur semula tapi tak dapat. Pagi esok saya mesti bangun awal. Ada bas jam tujuh pagi. Bas seterusnya jam satu petang. Saya mesti keluar sebelum jam tujuh.

Saya cuba melelapkan mata namun sia-sia. Saya buka laman web dan layan filem Goodfella. Habis tontonnya saya cuba tidur tapi tak boleh juga. Saya sambung layam filem Birdman pula. Habis saja filem lakonan Michael Keaton itu saya mula menguap. Saya tutup suis lampu dan ketika saya mula memeluk bantal tiba-tiba saya dengar bunyi bising di luar. Ada suara nyaring saling sahut-menyahut. Bernada tinggi. Saya buka tingkap dan merenung ke blok hadapan. Kaki limanya penuh dengan manusia berbaring di atas kotak dan surat khabar. Antara mereka itu ada dua orang yang berdiri berjarak lebih kurang sepuluh depa daripada mereka.

Mereka kelihatan tegang. Saling berbalas carutan dan menjerit. Gelandangan yang lain tidak dapat tidur dan kepala mereka terpaku pada dua orang itu. Di bawah remang cahaya lampu jalan saya pasti salah seorang daripada mereka ialah Cina dan seorang lagi Melayu. Pergaduhan semakin hangat. Saya nampak makin ramai gelandangan lain datang dari seberang jalan dan menyaksikan mereka. Jarak mereka berdua semakin rapat dan mula tuding-menuding jari serta mengangkat tangan.

“Lancau lu, datang tempat orang buat pasal” Kata lelaki cina.

“Woi siapa yang datang sini? Siapa merempat ini tanah hah?” Balas si lelaki melayu pula.

“Apahal mau rasis-rasis ni?”

“Siapa rasis? Memang ini perangai kaum lu.”

“Lancau. Kalau ada berani sini la, kita lawan.” Kata si cina mengacungkan penumbuknya.

“Pukimak. Lu ingat saya takut ka? Mari la. Mari sini.” Balas si lelaki melayu. Tetapi mereka tidak bergaduh pun. Lama-kelamaan suara mereka mengendur dan perlahan-lahan mengundur ke tempat masing-masing.

Saya lihat jam. Sudah pukul 2 pagi. Saya set alarm telefon dan tidur.

Saya tersedar dan bangkit dengan kalut. Jam sudah menunjukkan angka enam. Saya keluar dan mendapati tiada pekerja Bangladesh yang menjaga kaunter. Mungkin dia masih tidur. Saya masuk tandas dan kencing. Kemudian saya ke bilik dan kemas barang. Saya ke bilik air semula untuk mandi. Pekerja Bangladesh masih belum ada.

Selepas mandi saya bersiap. Beg sudah dikemaskan dan ketika itu sudah jam 6.30 pagi. Saya keluar dan pekerja Bangladesh belum ada lagi. Saya mula gelisah. Rasa marah pun ada. Saya turun ke bawah dan cuba membuka pintu tetapi pintu pula berkunci.

Saya mula mundar-mandir dan kemudian naik ke tingkat atas dan bilik kecil belakang kaunternya.  Tapi tidak ada sesiapa. Saya masuk ke bilik saya tadi dan menunggu. Saya hisap sebatang rokok dan lihat jam telefon bimbit. Sudah jam 6.45. Celaka betul. Getus hati saya. Saya makin bengang. Mana mamat ni? Saya keluar dan turun lalu menarik-narik dan menepuk pintu. Tak boleh buka. Saya telefon nombor pejabat hotel. Tidak ada sesiapa yang mengangkatnya. Tatkala itu seorang penghuni bilik sebelah keluar ke tandas. Saya tanya dia ada nampak pekerja kat kaunter tu tak? Dia pun geleng kepala cakap tak tahu.

Saya masuk dalam bilik semula. Jiwa saya panas terbakar. Saya hisap rokok lagi dan kata pada diri saya kalau pekerja tu ada semula memang saya hempuk dia. Memang saya hunjam muka dia. Jam sudah pukul 7.15. Saya merengus marah. Saya sudah terlepas bas. Celaka. Perut saya berasa lapar pula. Saya keluar bilik dan tatkala itu sekonyong-konyongnya keluarlah pekerja Bangladesh itu, memakai kain pelikat yang hampir terlurut menampakkan perut buncitnya yang berbulu, baju t berkolar kain licin berbau hapak dan menggaru-garu kepalanya. Matanya terpisat-pisat dan langkahnya perlahan.

“Woi kau pergi mana?” Kata saya dengan wajah geram. Urat leher dan dahi saya timbul merentang tegang, berdenyut mengalirkan kemarahan.

Dia mengangkat kedua belah tangannya, menyatukan telapak dan seperti mengangkat sembah menyatakan maafnya.

“Aku nak keluar ni. Disebabkan kau aku dah lambat. Kau tahu tak?” Marah saya lagi. Dada saya berombak laju dan darah mengalir seperti aliran elektrik dalam kabel wayar. Tapi pekerja Bangladesh tu masih rileks. Dia menuju ke kaunternya, menguap dan membuka laci.

“Babi lah kau. Menyusahkan orang.” Kata saya kasar. Kunci bilik diletakkan di atas kaunter. Dia mengambilnya dan mengeluarkan segugus kunci kemudian melangkah turun. Aku membontotinya dengan memasang niat untuk menumbuk mukanya. Rasa geram masih bersisa melihat muka selambanya.

“Sial lah kau ni. Macam ni jaga hotel? Pergi balik Bangla sana lah! Gampang. Dasar kaum busuk bau bawang.” Kata saya lagi. Dia membuka pintu dan saya menapak keluar. Saya hampir terlupa yang saya hendak menumbuknya. Saya mengepal penumbuk padu. Bila saya berpaling saya lihat dia tersenyum menampakkan barisan giginya putih dan berkata dengan nada lembut dan penuh kemaafan “Maafkan saya, abang.” Saat itu saya nampak wajah Cik Wan pada mukanya. Genggaman penumbuk saya tadi terlerai.

Penulis, Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali, berumur 28 tahun lepasan UniversitiTeknologi MARA (UiTM); Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maklumat (Perpustakaan dan Maklumat). Kini perkejaannya sebagai pekebun/penternak lembu di Kampung Sungai Badak, Jerantut, Pahang. Beliau boleh dihubungi melalui emelnya husainighazali@gmail.com. Latar penulisannya setakat ini termasuk Novel Menculik Sensasi (Lejen Press,2016), Cerpen Kucing Poten dan Pemuda Yang Tersungkur (jalantelawi.com, 2017). Beliau juga pernah menghasilkan dua buah terjemahan bebas cerpen Julio Cortazar dan Etgar Keret di kitartb.wordpress.com