Kredit gambar: Uthaya Sankar SB

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said melancarkan rakaman audio lapan buah cerpen karya Uthaya Sankar SB dalam bentuk MP3 pada acara Baca Karya Penulis Malaysia II di Pusat Kebudayaan India, Brickfields, Kuala Lumpur pada 11 Jun 2017.

Rakaman audio berkenaan diusahakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya dalam usaha mencambahkan minat masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang menikmati cerpen Bahasa Malaysia bermutu.

“Sumbangan Uthaya untuk mempersubur kesusasteraan Bahasa Malaysia bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dia melaksanakan, menghadirkan dan melestarikan usaha murni itu sama ada secara sendirian atau bersama-sama Kavyan.

“Satu cabang lain adalah memperhangatkan lagi gerakan mempertingkatkan penggunaan dan penghayatan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur menerusi acara-acara Kavyan,” kata A. Samad Said yang juga Penasihat Agung Kavyan sejak tahun 2003.

Turut hadir pada majlis pelancaran rakaman audio MP3 ini ialah Puan Sumitha Ramasamy dari Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Beliau merupakan rakan Uthaya semasa sama-sama belajar di Universiti Malaysia pada tahun 1990-an dan menjadi sumber inspirasi untuk merakamkan bacaan cerpen dalam bentuk audio untuk didengar oleh golongan cacat penglihatan seperti dirinya.

“Kavyan pernah beberapa kali mengadakan acara baca cerpen di MAB pada tahun 1999. Beberapa wakil OKU penglihatan juga mengambil bahagian dalam acara Baca Cerpen Kavyan pada tahun 2003. Dahulu, kami mengedarkan rakaman dalam bentuk kaset. Kini, rakaman MP3 lebih mudah diedarkan menerusi e-mel dan media sosial,” kata Uthaya yang juga pengasas dan Presiden Kavyan.

Rakaman cerpen dilakukan di studio Rockstar Musika, Petaling Jaya pada 19 Mei 2017. Sebahagian kos penerbitan (rakaman dan penyuntingan) ditanggung menerusi sumbangan ikhlas rakan-rakan Uthaya yang meminta nama mereka dirahsiakan.

Empat buah cerpen daripada buku Kathakali (2009) dan empat lagi daripada buku Kisah Dari Siru Kambam (2013) dibacakan sendiri oleh Uthaya dalam rakaman audio ini.

Cerpen-cerpen berkenaan ialah “Anjing” (Mingguan Malaysia, 26 April 1998), “Bapaku Sasterawan” (Sarina, Mac 2004), “Bapa Krismas” (Mingguan Malaysia, 26 Disember 2004), “Dengarlah, Sayang …” (Pelita Bahasa, Disember 2005), “Doa Tahun Baru” (Menara 6, 1995), “Sebuah Cerita Biasa” (Menara 6, 1995), “Jangan Pandang Sang Bulan” (The Malaysian Insider, 23 & 30 Julai 2012) dan “Chitra Paurnami” (Dewan Sastera, Februari 2013).

Rakaman audio ini diedarkan oleh Kavyan kepada orang ramai dalam usaha menambah minat mendengar dan menghayati karya Bahasa Malaysia bermutu. Orang ramai boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 017-8175310 untuk mendapatkan versi MP3 secara percuma.

Sementara itu, acara Baca Karya Penulis Malaysia II menyaksikan pembacaan karya (fiksyen dan non-fiksyen) dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin oleh 15 peserta.

Selain A. Samad Said dan Uthaya, turut membaca karya pada acara ini ialah Dr Malachi Edwin Vethamani, Azzam Syafiq, Maartandan Suppiah, VK Ezhilarasi Velautham, Rupasree Ganesan, Sumati Muniandy, Anuradha Chelliah dan Mohamad Asri Mat Husin.

Kavyan yang diasaskan pada tahun 1999 mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan memasyarakatkan sastera. Layari www.kavyan.blogspot.my untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti Kavyan.

–Laporan oleh Lalitha Subramaniam

Ingin berkongsi acara berkenaan seni? Email kepada kami! editors@eksentrika.com