Gambar ihsan: Uthaya Sankar SB

Baca bahagian terdahulu di sini.

Orang ramai yang melakukan kajian terhadap kelompok Sasterawan Kavyan wajar berwaspada dan berhati-hati supaya tidak perpengaruh dengan data palsu dan fakta rekaan yang dikemukakan oleh mana-mana individu tidak beretika, tidak bertanggungjawab, tidak berwibawa dan tiada integriti.

Sekadar contoh, Raja Rajeswari Seetha Raman yang menulis esei mengenai penulis kaum India di Dewan Sastera (April 2017) mengakui bahawa pihak penulis kaum India di Malaysia “mempertikaikan kajiannya” kerana ia “bukan daripada sumber yang sahih” (Mingguan Malaysia, 23 April 2017).

Daripada pemerhatian saya, terdapat pihak yang seolah-olah menggunakan imaginasi dan halusinasi untuk menulis esei-esei mengenai penulis kaum India. Hal seperti ini amatlah mengecewakan dan wajar dibanteras sepenuhnya.

Sebagai kelompok minoriti dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia, tidaklah keterlaluan sekiranya para penulis kaum India – khususnya mereka yang baharu menulis – mengharapkan sokongan, ruangan dan peluang untuk menyiarkan karya.

Rata-rata Sasterawan Kavyan yang dihubungi mengakui hakikat ruang dan peluang luas yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi tujuan ini. Malah, saya sendiri membantu Raja Rajeswari mendapatkan peluang penyiaran karya di DBP, Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Metro Ahad selepas dia menghubungi saya pada tahun 1998.

Daripada pengalaman saya sejak 1991, serta pengalaman Kavyan sejak diasaskan pada 1999, pelbagai majalah terbitan DBP membuka pintu seluas-luasnya kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya bermutu.

Biasanya, karya-karya yang dihasilkan peserta siri bengkel penulisan anjuran Kavyan akan disunting dan dibaiki sebelum disalurkan kepada editor majalah seperti Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Tunas Cipta, Dewan Budaya, Dewan Kosmik dan Dewan Masyarakat.

Makalah bertajuk “Tiada Janggut Kerana Kunyit” tulisan VK Ezhilarasi Velautham disiarkan di Dewan Budaya, April 2016. Manakala makalah “Keunikan Perayaan Thaipusam” tulisan Thiruselvam Padmanabhan tersiar di Dewan Budaya, Jun 2012.

Kughan Nadarajah pula berjaya menghasilkan beberapa esei selepas mengikuti Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran Kavyan. Antara makalahnya adalah “Rahsia Kehebatan Varma Kalai” (Dewan Budaya, September 2012), “Seni Silambam” (Dewan Budaya, Oktober 2012), “Penjelajahan ke Planet Marikh” (Dewan Kosmik, Januari 2013) dan “Kabadi: Bersaing Tangkis Serangan” (Dewan Budaya, April 2013).

Bagi penulis baharu, Richard Ignacy yang lahir di Parit Buntar, Perak dan kini menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang, peluang penyiaran karya pertama muncul menerusi bimbingan dan tunjuk ajar wakil Kavyan. Sajak berjudul “Mengusir Sangsi” (Tunas Cipta, Mei 2017) menguatkan semangat guru ini untuk terus menghasilkan karya-karya bermutu.

?????????????

Ramakrishnan Ramasamy yang muncul menerusi sajak “Kesenian Yang Tersorok” (Dewan Siswa, Mac 1995) semakin menyerlah selepas menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP. Hasil bimbingan wakil Kavyan, Ramakrishnan berjaya menghasilkan makalah bertajuk “Chetti: Jantung Budaya Pusaka Bangsa” (Dewan Budaya, Mac 2015) dan “Lauk Pindang Ikan Parang” (Dewan Budaya, November 2015).

Walaupun belum ada karya Thanusya Shanmuganathan tersiar di majalah-majalah terbitan DBP, eksekutif runcit di kedai buku MPH ini mengakui hakikat peluang yang dibuka luas oleh DBP kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya bermutu.

Karya Thanusya termuat dalam beberapa antologi cerpen seperti Komplot Menulis (2015), Sedegup Cinta (2015), Untukmu Ibu (2016), Penjara (2016) dan Melodi Bahagia (2016). Beberapa karyanya bersama-sama penulis lain sedang dalam proses penilaian DBP.

Saroja Theavy Balakrishnan merupakan penulis kaum India yang amat penting. Sejak cerpen “Bukit Sekikih Mengaum” menang hadiah penghargaan Pertandingan Menulis Cerpen Ramaja anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada 1988, bekas guru ini terus prolifik berkarya. Selain daripada menghasilkan dua kumpulan cerpen, Saroja Theavy juga menang pelbagai anugerah dalam bidang penulisan.

Bagi Nizha Periaswamy, penguasaan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil bukan masalah. Semasa menjadi mahasiswi di Universiti Sains Malaysia (USM), beliau bersama-sama rakan-rakannya menyertai Baca Cerpen Kavyan pada tahun 2003.

Dalam bidang pekerjaan sebagai wartawan akhbar dan kini editor di sebuah portal berita dalam talian, Nizha banyak menulis berita dan rencana. Kemampuannya terbukti menerusi Anugerah Karya Bahasa Malaysia British Council (2004) serta Anugerah Bulanan Utusan Malaysia (2004-2008). Beliau juga menyertai Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran Kavyan serta berminat menulis rencana berkaitan budaya kaum India.

Kavyan sesungguhnya giat menjalankan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara. Organisasi ini digerakkan oleh sekumpulan kecil penulis dan peminat sastera Bahasa Malaysia yang menyedari kepentingan mengetengahkan sumbangan Sasterawan Kavyan kepada perkembangan bidangan penulisan di Malaysia.

Penglibatan golongan penulis dan bukan penulis (peminat sastera) membuka peluang untuk mereka merasai sendiri suasana pengendalian program berskala kecil dan besar berkaitan bahasa dan sastera. Sekali gus, membuka peluang pembinaan kapasiti dan kepimpinan dalam kalangan remaja dan belia.

Kavyan juga selalu menghantar wakil untuk menyertai acara-acara anjuran pihak lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Program Memartabatkan Bahasa Malaysia anjuran Kavyan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Kebangsaan (SK) di beberapa negeri bertujuan memupuk kecintaan terhadap Bahasa Malaysia, membantu kanak-kanak menulis karangan bermutu, serta menyediakan mereka untuk melangkah dengan penuh yakin ke sekolah menengah.

Selain daripada program bahasa dan sastera, Kavyan turut menjalankan aktiviti sosial dan kebajikan. Contoh terbaik adalah Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak sejak Jun 2016. Program dikendalikan secara bulanan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong Lama (Sangam) dan Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah). Projek ini bertujuan memperkasakan komuniti akar umbi – khususnya kaum India – bukan hanya dari segi penguasaan bahasa dan pendidikan, tetapi juga dari sudut kaunseling, motivasi, kreativiti, lakonan, komunikasi awam dan permainan tradisional.

Walaupun secara asasnya Kavyan menumpukan kepada moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” namun pelbagai aktiviti lain seperti seni, budaya, permainan tradisional, melahirkan pemimpin masyarakat dan bantuan kebajikan turut diselitkan. Wakil Kavyan juga sering diundang ke sekolah-sekolah di seluruh negara untuk mengendalikan program berkaitan bahasa, sastera, motivasi, pengucapan awam, lakonan dan sebagainya.

Maklumat mengenai kesemua aktiviti yang dijalankan sejak 1999 didokumentasi di blog Kavyan untuk rujukan umum. Blog berkenaan – serta siri esei khas ini – menjadi sumber rujukan yang berguna kepada pengkaji, peneliti dan peminat sastera. (Bersambung pada 17 Mei 2017)

Adakah anda setuju atau tidak dengan pendapat penulis? Sila komen dibawah atau emel pendapat anda ke editors@eksentrika.com